IRSYAD AL-FATWA HAJI DAN KORBAN SIRI KE-43: ADAKAH SAH KANAK-KANAK MENYEMBELIHH HAIWAN KORBAN

ifhk_43.JPG

Soalan

Assalamualaikum, saya ingin bertanya satu soalan, pada raya haji akan datang saya ingin menunaikan ibadah korban disamping itu saya ingin mengajar anak saya untuk menyembelih haiwan tersebut. Persoalan saya adakah boleh kalau anak saya melakukan sembelihan itu dan adakah dikira sah korban tersebut.

Ringkasan Jawapan

Hukum sembelihan yang dilakukan oleh kanak-kanak yang mumaiyiz adalah sah dan halal. Sementara itu, bagi kanak-kanak yang belum mumaiyiz  sembelihan mereka juga sah dan halal dimakan sekiranya mereka berkebolehan dan berkemampuan, namun hukumnya adalah makruh.

Oleh itu, bagi mereka yang ingin melakukan penyembelihan, sebaiknya dari kalangan yang telah mencapai umur baligh dan berakal atau kanak-kanak yang sudah mumaiyiz supaya mencapai tahap yang paling afdal dalam ibadah.

Huraian Jawapan

Ibadah korban merupakan satu ibadah yang bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan menyembelih haiwan ternakan yang ditentukan syarak pada hari raya Aidiladha dan hari-hari tasyrik. Oleh itu, syariat telah menentukan bahawa haiwan korban mestilah disembelih supaya halal untuk dimakan dengan memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan. Firman Allah SWT:

إِلَّا مَا ذَكَّيْتُمْ وَمَا ذُبِحَ عَلَى النُّصُبِ

Maksudnya: kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya),

(Surah al-Maidah, 3)

Bagi menjawab persoalan di ajukan, seharusnya diperhatikan tentang syarat bagi seorang penyembelih sebagaimana yang telah ditetapkan syarak. Oleh itu, dalam menjelaskan persoalan ini, antara syarat-syarat bagi seorang penyembelih itu mestilah beragama Islam. Dr. Muhammad Zuhaili menyebut di dalam karyanya:

أن يكون الذابح مسلما أو كتابيا

Maksudnya: Sesungguhnya penyembelih itu mestilah seorang yang muslim atau ahli kitab[1]

Dr. Muhammad Zuhaili menjelaskan lagi bahawa tidak disyaratkan seseorang penyembelih itu mestilah baligh atau hanya dikhususkan untuk orang dewasa sahaja. Ini jelas bahawa syarak tidak meletakkan had umur tertentu dalam syarat bagi seorang penyembelih untuk menjadikan haiwan sembelihan itu halal dimakan.

ولا يشترط البلوغ فتحل ذبيحة الصبي المميز لأن قصده صحيحة بدليل صحة العبادة منه ان كان مسلما

Maksudnya: Tidak disyaratkan baligh (bagi penyembelih), maka sembelihan kanak-kanak yang mumaiyiz  adalah halal dimakan. Ini kerana tujuannya adalah sahih dengan dalil sah ibadah daripadanya sekiranya dia itu seorang muslim.[2]

Sementara itu, dalam keadaan yang lain sekiranya kanak-kanak tersebut masih belum mumaiyiz  melakukan penyembelihan maka binatang sembelihan itu halal dimakan sekiranya kanak-kanak tersebut berkemampuan untuk sembelih. Namun, hukum sembelihan tersebut adalah makruh kerana berkemungkinan berlakunya kesilapan terhadap penyembelihan tersebut. Hal ini sebagaimana yang disebut oleh Imam al-Khatib al-Syirbini di dalam kitabnya:

(وَكَذَا) صَبِيٌّ (غَيْرُ مُمَيِّزٍ وَمَجْنُونٌ وَسَكْرَانُ) يَحِلُّ ذَبْحُهُمْ (فِي الْأَظْهَرِ) ؛ لِأَنَّ لَهُمْ قَصْدًا وَإِرَادَةً فِي الْجُمْلَةِ، لَكِنْ مَعَ الْكَرَاهَةِ كَمَا نَصَّ عَلَيْهِ فِي الْأُمِّ، وَصَرَّحَ بِهِ فِي التَّنْبِيهِ خَوْفًا عَنْ عُدُولِهِمْ عَنْ مَحَلِّ الذَّبْحِ

Maksudnya: Begitu juga kanak-kanak (yang belum mumaiyiz , orang gila dan orang yang mabuk) sembelihan mereka halal dimakan (mengikut pandangan yang muktamad), ini kerana secara umumnya mereka mempunyai tujuan dan kehendak. Walau bagaimanapun hukumnya adalah makruh seperti yang disebut di dalam kitab al-Umm. Perkara ini dijelaskan di dalam kirab al-Tanbih disebabkan khuatir dari berlakunya kesilapan pada bahagian penyembelihan tersebut.[3]

Oleh itu, sebaiknya penyembelihan dilakukan oleh mereka yang sudah mencapai umur baligh dan berakal. Imam al-Nawawi menyatakan di dalam kitabnya:

الْأَفْضَلُ أَنْ يَكُونَ الذَّابِحُ بَالِغًا عَاقِلًا فَإِنْ ذَبَحَ صَبِيٌّ مُمَيِّزٌ حَلَّتْ ذَبِيحَتُهُ عَلَى الْمَذْهَبِ

Maksudnya: Afdal penyembelih itu dalam kalangan orang yang baligh dan berakal, sekiranya kanak-kanak yang mumaiyiz  melakukan penyembelihan maka sembelihannya adalah halal menurut pandangan yang muktamad [4]

Kesimpulan

Berbalik kepada persoalan di atas serta penerangan yang diberikan, dapat disimpulkan bahawa sah dan halal sembelihan yang dilakukan oleh kanak-kanak yang mumaiyiz . Sementara itu, bagi kanak-kanak yang belum mumaiyiz  sembelihan mereka juga sah dan halal dimakan sekiranya mereka berkebolehan dan berkemampuan, namun hukumnya adalah makruh.

Oleh itu, bagi mereka yang ingin melakukan penyembelihan, sebaiknya dari kalangan yang telah mencapai umur baligh dan berakal atau kanak-kanak yang sudah mumaiyiz supaya dapat mencapai tahap yang paling afdal dalam ibadah.

Wallahu’alam

 

[1] Rujuk, al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, Dr. Muhammad Zuhaili, Dar al-Qalam, 1432H, 2/582

[2] Rujuk, al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, Dr. Muhammad Zuhaili, Dar al-Qalam, 1432H, 2/584

[3] Rujuk Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifah Ma’ani Alfaz al-Minhaj, Syamsuddin al-Khatib al-Syirbini, Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1415H, 6/98

[4] Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, Abu Zakaria Mahyuddin al-Nawawi, Dar Fikr, t.t.t, 9/76


Print   Email