Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN AL-FALAK SIRI KE-23 : BURUJ TANDA KEKUASAAN ALLAH

BAYAN FALAK 17 01 01 01 01 1

 

Allah SWT memulakan surah al-Buruj ini dengan bersumpah dengan tiga perkara yang sangat besar dan yang pertamanya dimulai dengan 3 ayat, sebagaimana firman-Nya:

وَٱلسَّمَآءِ ذَاتِ ٱلْبُرُوجِ ‎﴿١﴾‏ وَٱلْيَوْمِ ٱلْمَوْعُودِ ‎﴿٢﴾‏ وَشَاهِدٍ وَمَشْهُودٍ ‎﴿٣﴾

Maksudnya: Demi langit yang mempunyai tempat-tempat peredaran bintang-bintang (1) Dan hari (pembalasan) yang dijanjikan (2) Dan makhluk-makhluk yang hadir menyaksikan hari itu, serta segala keadaan yang disaksikan (3)”

Surah al-Buruj (1-3)

Antara tujuan Allah SWT bersumpah dengan tiga perkara tersebut ialah bertujuan memberi peringatan tentang keagungan penciptaan langit, terperinci penciptaannya dan cantik pembentukannya.

Persoalannya di sini berdasarkan ayat pertama surah al-Buruj ini, apakah sebenarnya buruj di langit yang disumpah oleh Allah SWT dan apakah kepentingan peraturan alam semesta serta apakah yang Allah SWT hendak memperingatkan kepada kita?

Istilah Buruj dalam Bahasa arab

Baraja, Yabruju , Burujan bermakna jelas dan meninggi. Adapun Abraj, Burj, Tabrijan bermakna binaan dan jamaknya Buruj, Abraaj dan Abrajah bermakna istana atau tugu[1]. Al-Buruj pula berasal daripada perkataan Baraj dan jamaknya ialah buruj atau ibraj[2]. Al-Buruj bererti bandar atau istana[3]. Kebiasaannya, lafaz al- Quran yang menggunakan perkataan al-Buruj merujuk kepada sekumpulan bintang-bintang. Terdapat 12 buruj di langit yang diibaratkan sebagai bandar atau istana yang telah dibina di atasnya. Ada juga pendapat yang menyatakan al-Buruj sebagai planet[4].

Istilah Buruj di dalam Al-Quran

Lafaz Buruj yang diikatkan dengan langit ada 3 tempat di dalam al-Quran, firman Allah SWT:

وَلَقَدْ جَعَلْنَا فِى ٱلسَّمَآءِ بُرُوجًا وَزَيَّنَّٰهَا لِلنَّٰظِرِينَ ‎﴿١٦﴾

Maksudnya: “Dan demi sesungguhnya! Kami telah menjadikan di langit: bintang-bintang (yang berbagai bentuk dan keadaan) serta kami hiasi langit itu bagi orang-orang yang melihatnya.”

Surah al-Hijr (16)

Selain itu, terdapat juga dalam surah al-Furqan yang menggunakan istilah buruj sepertimana Firman-Nya:

تَبَارَكَ ٱلَّذِى جَعَلَ فِى ٱلسَّمَآءِ بُرُوجًا وَجَعَلَ فِيهَا سِرَٰجًا وَقَمَرًا مُّنِيرًا ‎﴿٦١﴾‏

Maksudnya: “Maha Berkat Tuhan yang telah menjadikan di langit, tempat-tempat peredaran bintang, dan menjadikan padanya matahari serta bulan yang menerangi.”

Surah al-Furqan (61)

Begitu juga dalam surah al-Buruj, yang menggunakan lafaz buruj dalam ayat pertama dalam surah berkenaan, sepertimana Firman-Nya:

وَٱلسَّمَآءِ ذَاتِ ٱلْبُرُوجِ ‎﴿١﴾

Maksudnya: Demi langit yang mempunyai tempat-tempat peredaran bintang-bintang (1)

Surah al-Buruj (1)

Manakala lafaz Buruj juga bermakna tugu. Terdapat satu tempat di dalam al-Quran, firman Allah SWT:

أَيْنَمَا تَكُونُوا۟ يُدْرِككُّمُ ٱلْمَوْتُ وَلَوْ كُنتُمْ فِى بُرُوجٍ مُّشَيَّدَةٍ ۗ

Maksudnya: “Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh.”

Surah al-Nisa’ (78)

Selain itu, terdapat kata kerja تَبَرَّجْنَ  dan kata nama تَبَرُّجَ memberi makna tegahan dari meninggalkan hijab dan menonjolkan perhiasan, sebagaimana firman-Nya:

وَقَرْنَ فِى بُيُوتِكُنَّ وَلَا تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ ٱلْجَٰهِلِيَّةِ ٱلْأُولَىٰ ۖ

Maksudnya: Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah zaman dahulu.”

Surah al-Ahzab (33)

وَٱلْقَوَٰعِدُ مِنَ ٱلنِّسَآءِ ٱلَّٰتِى لَا يَرْجُونَ نِكَاحًا فَلَيْسَ عَلَيْهِنَّ جُنَاحٌ أَن يَضَعْنَ ثِيَابَهُنَّ غَيْرَ مُتَبَرِّجَٰتِۭ بِزِينَةٍ ۖ وَأَن يَسْتَعْفِفْنَ خَيْرٌ لَّهُنَّ ۗ وَٱللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ ‎﴿٦٠﴾

Maksudnya: Dan mana-mana perempuan tua yang telah putus kedatangan haid, yang tidak mempunyai harapan berkahwin lagi maka tidak ada salahnya mereka menanggalkan pakaian luarnya, dengan tidak bertujuan mendedahkan perhiasan mereka; dalam pada itu perbuatan mereka menjaga kehormatannya (dengan tidak menanggalkan pakaian luarnya itu adalah) lebih baik bagi mereka; dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

Surah al-Nur (60)

Pandangan sebahagian ulama tafsir

Dalam menafsirkan ayat pertama surah al-burj ini “وَالسَّمَاءِ ذَاتِ الْبُرُوجِ” para ulama tafsir mengemukakan pandangan yang hampir sama. Syeikh Ali al-Sabuni menyatakan di dalam kitabnya, Sofwah al-Tafasir iaitu “Allah SWT bersumpah dengan langit yang cantik yang mempunyai tempat yang tinggi menjadi tempat turunnya bintang ketika mengorbit, dan dinamakan tempat ini burujan disebabkan terangnya serta disamakan dengan kedudukan istana kerana ketinggiannya yang menjadi tempat persinggahan bagi bintang-bintang”[5].

Buruj dalam ilmu falak

Buruj ialah gugusan bintang yang berada jauh dari kita, digambarkan oleh manusia sejak dari dahulu dengan beberapa rupa bentuk tertentu untuk membezakan di antara satu dengan yang lain, dan diberikan padanya nama yang berlainan. Apabila buruj ini berada di atas garisan zodiak (laluan edaran matahari)  akan membentuk 12 bentuk buruj yang berlainan  dapat dilihat pada bulan-bulan tertentu dalam masa setahun. Contohnya, seperti Aries yang dapat dilihat bermula pada 21 Mac, Taurus pada 21 April dan seterusnya mengikut tertib Aries, Taurus, Gemini, Cancer, Leo, Virgo, Libra, Scorpius, Sagittarius, Capricornus, Aquarius dan Pisces.

Secara umum, manusia menentukan musim dan arah berdasarkan buruj. Contohnya, Buruj Biduk dan Belantik sentiasa mengarah ke Utara, manakala buruj Pari mengarah ke Selatan. Buruj juga bertindak sebagai kompas bagi menentukan arah untuk pelaut dan pengembara. Ahli-ahli astronomi menggunakan bentuk-bentuk buruj bagi mengkaji sifat-sifat bintang yang lain. (Rujuk Pengenalan Ilmu Falak, Baharuddin Zainal)

Hakikat buruj ini, ruang langit dunia sangat luas dan jarak di antara satu planet atau bintang dengan yang lain diukur dengan tahun cahaya, pada pandangan mata ia kelihatan seolah-olah dekat, walhal bintang dalam setiap kelompok buruj ini berjauhan, malah ada sebahagiannya yang jauh tetapi dilihat dekat. Buruj-buruj ini seolah bergerak dengan pergerakan yang perlahan di langit dari timur ke barat seiring dengan pergerakan matahari di atas orbitnya, dan sejajar juga dengan putaran bumi di atas paksinya dari barat ke timur. Sehingga kini, terdapat 88 buruj yang telah dikenalpasti oleh Kesatuan Astronomi Antarabangsa (International Astronomical Union)[6].

Kepentingan Buruj-buruj di langit

1) Buruj sebagai panduan dalam kegelapan (malam) di darat dan di laut.

وَهُوَ ٱلَّذِى جَعَلَ لَكُمُ ٱلنُّجُومَ لِتَهْتَدُوا۟ بِهَا فِى ظُلُمَٰتِ ٱلْبَرِّ وَٱلْبَحْرِ ۗ قَدْ فَصَّلْنَا ٱلْـَٔايَٰتِ لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ ‎﴿٩٧﴾‏

Maksudnya:Dan Dia lah yang menjadikan bintang-bintang bagi kamu supaya kamu berpedoman kepadanya dalam kegelapan (malam) di darat dan di laut. Sesungguhnya kami telah jelaskan tanda-tanda kebesaran (Kami) satu persatu bagi orang-orang yang mengetahui.”

Surah al-An’am (97)

Dengan susunan bintang-bintang yang membentuk buruj ini, penduduk bumi dapat mengenal pasti empat kutub bumi. Contohnya bintang Qutbi (kutub) atau dikenali sebagai Polaris digunakan untuk menentukan kutub utara. (Rujuk Pengenalan Ilmu Falak, Baharuddin Zainal)

2) Buruj sebagai perhiasan langit dunia

وَلَقَدْ جَعَلْنَا فِى ٱلسَّمَآءِ بُرُوجًا وَزَيَّنَّٰهَا لِلنَّٰظِرِينَ ‎﴿١٦﴾‏

Maksudnya: Dan demi sesungguhnya! Kami telah menjadikan di langit: bintang-bintang (yang berbagai bentuk dan keadaan) serta kami hiasi langit itu bagi orang-orang yang melihatnya.”

Surah al-Hijr (16)

Firman Allah SWT dalam ayat yang lain,

إِنَّا زَيَّنَّا ٱلسَّمَآءَ ٱلدُّنْيَا بِزِينَةٍ ٱلْكَوَاكِبِ ‎﴿٦﴾‏

Maksudnya:Sesungguhnya Kami telah menghiasi langit yang dekat (pada penglihatan penduduk bumi) dengan hiasan bintang-bintang.”

Surah al-Saffat (6)

Kemudian, Allah SWT juga telah berfirman di dalam kitab-Nya,

فَقَضَىٰهُنَّ سَبْعَ سَمَٰوَاتٍ فِى يَوْمَيْنِ وَأَوْحَىٰ فِى كُلِّ سَمَآءٍ أَمْرَهَا ۚ وَزَيَّنَّا ٱلسَّمَآءَ ٱلدُّنْيَا بِمَصَٰبِيحَ وَحِفْظًا ۚ ذَٰلِكَ تَقْدِيرُ ٱلْعَزِيزِ ٱلْعَلِيمِ ‎﴿١٢﴾‏

Maksudnya: Lalu Ia menjadikannya tujuh langit, dalam dua masa; dan Ia memberitahu kepada tiap-tiap langit akan urusan dan keperluannya masing-masing. Dan Kami hiasi langit yang dekat (pada pandangan mata penduduk bumi) dengan bintang-bintang yang bersinar cemerlang serta memelihara langit itu dengan sebaik-baiknya. Demikianlah ketentuan Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui.”

Surah Fussilat (12)

Begitu juga di dalam surah Fussilat, Allah SWT menyebut,

وَلَقَدْ زَيَّنَّا ٱلسَّمَآءَ ٱلدُّنْيَا بِمَصَٰبِيحَ وَجَعَلْنَٰهَا رُجُومًا لِّلشَّيَٰطِينِ ۖ وَأَعْتَدْنَا لَهُمْ عَذَابَ ٱلسَّعِيرِ ‎﴿٥﴾

Maksudnya: Dan demi sesungguhnya! Kami telah menghiasi langit yang dekat (pada penglihatan penduduk bumi) dengan bintang-bintang, dan Kami jadikan bintang-bintang itu punca rejaman terhadap Syaitan-syaitan; dan Kami sediakan bagi mereka azab neraka yang menjulang-julang.”

Surah al-Mulk (5)

Dan bagi setiap buruj dan bintang yang bercahaya dengan sendirinya mahupun planet dan bulan yang memantulkan cahaya merupakan wasilah yang penting dalam menerangi kegelapan malam.

Rujukan

[1]Al-Maany,https://www.almaany.com/ar/dict/ar-ar/%D8%A7%D9%84%D8%A8%D8%B1%D9%88%D8%AC/, Ogos 2022.

[2]Al-Maany,https://www.almaany.com/ar/dict/ar-ar/%D8%A7%D9%84%D8%A8%D8%B1%D9%88%D8%AC/, Ogos 2022.

[3]Al-Maany,https://www.almaany.com/ar/dict/ar-ar/%D8%A7%D9%84%D8%A8%D8%B1%D9%88%D8%AC/, Ogos 2022.

[4] Ibn Manzur, Muhammad bin Mukarram. (1994). Lisan al-’Arabiy. Beirut: Dar al-Sodir.

[5] Al-Sobuni, Muhammad bin Ali. (1997). Sofwah al-Tafasir. Kaherah: Dar al-Sobuni. 3/515.

أي وأُقسم بالسماء البديعة ذات المنازل الرفيعة، التي تنزلها الكواكب أثناء سيرها قال المفسرون: سميت هذه المنازل بروجاً لظهروها، وشبهت بالصور لعلوها وارتفاعها لأنها منازل للكواكب السيارة

[6] International Astronomical Union, https://www.iau.org/public/themes/constellations/. Ogos 2022.