Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Qalam Mufti #8 : Sikap Ulama’ Terhadap Ikhtilaf Fiqhi

Isu khilaf sentiasa berlaku dalam masyarakat termasuk dalam kalangan ulama’ dan fuqaha’. Ikhtilaf atau dalam bahasa kita dengan khilaf[1] memberi maksud ibarat daripada pelbagai pendapat ahli ijtihad dan ulama’ dalam masalah yang tiada dalil qath’ie daripada umat ini.

Apabila dinyatakan berkenaan fiqhi pula, Imam al-Syafi’e mentakrifkannya sebagai ilmu dengan semua hukum syara’ yang amali diambil daripada dalil-dalil yang tafsili. (Lihat al-Mustasfa oleh al-Ghazali, 1/15 dan al-Ihkam oleh al-Amidi, 1/8)

Berdasarkan dua takrif di atas, kita nyatakan dengan pelbagai pendapat ahli ijtihad dan sudut pandang yang berbeza dalam perkara cabang agama atau dalam permasalahan fiqhi yang ijtihadi atau permasalahan khilaf furu’ yang tiada dalil qath’ie daripada nas-nas syara’.

 

Pembahagian Hukum

Seperti yang dimaklumi, hukum terbahagi kepada dua:

  • Qath’ie iaitu yang putus dan jazim.
  • Zhanni iaitu yang zhan, boleh diijtihadkannya.

Yang kedua ini termasuk dalam hadis Nabi SAW:

إِذَا حَكَمَ الْحَاكِمُ فَاجْتَهَدَ ثُمَّ أَصَابَ فَلَهُ أَجْرَانِ‏‏ وَإِذَا حَكَمَ فَاجْتَهَدَ ثُمَّ أَخْطَأَ فَلَهُ أَجْرٌ

Maksudnya: “Apabila seorang hakim melakukan hukum lalu dia berijtihad dan kemudiannya dia benar maka untuknya dua ganjaran pahala. Sekiranya beliau menghakimi dan berijtihad, kemudian dia tersilap maka baginya satu pahala.”

Riwayat al-Bukhari (7352) dan Muslim (1716)

Oleh kerana kehidupan manusia secara waq’ie dan realiti boleh jadi berubah dari semasa ke semasa dengan pelbagai sebab, maka menjadi keperluan ijtihad hukum zanni seperti ini. Inilah hakikat fiqh.

Seperti yang ditakrifkan, kefahaman yang mendalam dengan nas-nas, ijtihad dalam mendapatkan semua makna, illah, tujuan atau semua hukum yang diistinbatkan daripada nas secara ijtihad atau daripada ma’qul nas yang juz’ie yang tiada nas atau ma’qul daripada jumlah nas. (Lihat Buhuth Muqaranah oleh Dr. Fathi Duraini, 1/16)

Dr Yusuf al-Qaradawi berkata: Salafus soleh dari kalangan ulama’ dan yang terkemudian telah menunjukkan bahawa ikhtilaf dalam cabang syariah adalah terpuji dan ia telah dilalui oleh para ulama’ sejak sekian lama. (Lihat Fatawa Mua’asirah, 2/124)

Kecuali perlu diperingatkan daripada golongan yang mendahului tokoh daripada nas-nas syarak. Yang ini perlu diingkari pada saat yang sama adanya gambaran yang silap dan mauqif sebahagian yang taksub bersandarkan kepada pendapat-pendapat yang tertentu sama ada melampau atau teramat cuai. (Lihat Dirasat fi al-Ikhtilafat al-Fiqhiyyah oleh al-Bayanuni, hlm. 16-20)

 

Pendapat Ulama’ Berkenaan Khilaf

Kami nukilkan kenyataan daripada sebahagian ulama’ berkenaan khilaf:

  • Qatadah berkata: “Sesiapa yang tiada mengetahui khilaf, nescaya dia tidak mencium bauan feqah.”
  • Hisyam bin Ubaid al-Razi berkata: “Sesiapa yang tidak mengetahui bacaan, dia bukan qari dan sesiapa yang tidak mengetahui khilaf fuqaha’ maka dia bukan faqih.”
  • Atha’ berkata: “Tidak sayugia bagi seseorang memberi fatwa sehingga dia mengetahui berkenaan khilaf ulama’.”

Dengan sebab itulah Imam al-Syatibi menyimpulkan sepertimana kata beliau: “Justeru dijadikan ulama’ ilmu untuk ma’rifah isu khilaf.” (Lihat al-Muwafaqat, 4/524)

Khilaf pada cabang selepas ittifaq pada asal, ia tidak lain kecuali kerana khilaf pada cara untuk sampai kepada hakikat, bukan pada zat hakikat itu. (Lihat Athar al-Ikhtilaf oleh Dr. Mustafa al-Khin, hlm. 7)

Ingin kami katakan, isu khilaf perlu diraikan dengan lapang dada, rahmat dan kasih sayang seperti yang ditunjukkan oleh salafus soleh. Umar bin Abdul Aziz pernah berkata:

مَا أُحِبُّ أَنَّ أَصْحَابَ رَسُول اللَّهِ لَمْ يَخْتَلِفُوا ؛ لِأَنَّهُ لَوْ كَانَ قَوْلاً وَاحِدًا كَانَ النَّاسُ فِي ضِيقٍ ، وَأَنَّهُمْ أَئِمَّةٌ يُقْتَدَى بِهِمْ ، فَلَوْ أَخَذَ أَحَدٌ بِقَوْل رَجُلٍ مِنهُمْ كَانَ فِي سَعَةٍ

Maksudnya: “Sesuatu yang saya tak suka adalah apabila sahabat-sahabat Rasulullah tidak berikhtilaf dalam sesuatu masalah. Ini kerana apabila mereka bersepakat (ijma’) atas sesuatu hukum, orang yang menyalahinya akan dikira sebagai mereka yang (sesat dan salah). Sedangkan apabila mereka berikhtilaf, maka orang ramai akan mengambil pandangan daripada para sahabat yang berlainan, ini akan menjadi hukum itu mempunyai keluasan.” (Lihat Jami’ Bayan al-‘Ilm oleh Ibn ‘Abd al-Bar, 3/120 dan al-Muwafaqat, 4/125)

Khilaf hendaklah disertakan dengan penghormatan dan adab yang tinggi. Kaedah menyebut:

لَا إِنكَار عَلَى مُجْتَهِد فِي مَسَائِل الخِلَاف

Maksudnya: “Tidak ada keingkaran pada mujtahid dalam masalah khilaf.”

Kaedah seperti ini adalah diterima sebagaimana sepakat mereka sebagai hujjah pemutus dan khilaf mereka sebagai rahmat keluasan. (Lihat al-Mughni oleh Ibn Qudamah, 1/4)

Semoga ulama’ dan umat Islam sentiasa berada di bawah payung kerahmatan Ilahi.

 

 

[1] Namun yang lebih tepat ialah ‘ikhtilaf’.


Print   Email
  • A A
    Reset | PT Sans
  • A- A A+