Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

QALAM MUFTI #21: KAMI MENYOKONG LARANGAN MEROKOK DI PREMIS MAKANAN

LARANGAN MEROKOK.JPG

Petang semalam, sebelum mengisi slot ceramah di Masjid al-Khairiah, saya sempat singgah di sebuah kedai makan. Didapati masih ada segelintir perokok yang merokok di dalam kedai makan walaupun larangan merokok di premis awam telah dikuatkuasakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia mulai 1 Januari 2019.

Isu berkenaan rokok, vape dan shisha telah kami ulas dengan panjang lebar dalam tempoh empat tahun yang lalu. Antaranya:

Kami amat menyokong larangan tersebut dan dalam isu merokok ini, sebagai tambahan kami katakan seperti berikut:

  • Merokok boleh memendekkan umur

Menurut anggaran, 3,500 dari setiap 10,000 kematian setiap tahun di Malaysia adalah berkaitan dengan merokok.[9] Ini menunjukkan 35% kematian adalah berpunca daripada merokok.

  • Merokok menyebabkan penyakit kronik

Rokok boleh mengakibatkan gangguan pada tahap kesuburan lelaki, risiko strok (angin ahmar), serangan sakit jantung dan boleh mengakibatkan kanser paru-paru. Asap rokok mengeluarkan hampir 4,000 bahan kimia beracun dan 53 dari bahan kimia ini boleh mengakibatkan kanser. [10]

  • Merokok menjadikan orang sekeliling turut terkena tempias penyakit disebabkan asap rokok.

Pada hakikatnya, 60-75% dari asap rokok akan disedut oleh orang yang tidak merokok.[11] Berbanding dengan asap yang dihisap oleh perokok, asap yang disedut oleh perokok pasif mengandungi 2 kali ganda nikotin, 3 kali ganda tar, 5 kali ganda karbon monoksida dan 50 kali ganda bahan kimia merbahaya.[12]

  • Merokok menjadikan seseorang pencemar, tidak berdisiplin malah mudah melakukan vandalisme.

Tabiat seperti membuang habuk dan puntung rokok di merata-rata tempat seperti pinggan makan, lantai dan tangga laluan awam menjadikan kawasan awam kotor dan menyakitkan mata pengunjung lain. Begitu juga puntung rokok yang dibuang ke dalam lubang tandas. [13]

  • Perokok adalah saudara syaitan kerana amalan membazir yang dilakukan. Perokok juga dianggap sebagai orang kaya yang memiskinkan diri sendiri.

Dilaporkan, rakyat Malaysia membelanjakan RM1.5 bilion setiap tahun untuk membeli rokok.[14] Kalaulah dibina masjid dengan kos 10 juta sebuah, nilai tersebut boleh menampung 150 buah masjid. Maka selesailah isu kekurangan masjid hanya dalam setahun.

  • Merokok adalah permulaan kepada penagihan dadah.

Rokok mengandungi nikotin yang menyebabkan ketagihan seperti juga heroin dan kokain. Menghisap rokok berulang kali boleh menyebabkan ketagihan. Dicatatkan, lebih kurang 50% lelaki Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas adalah perokok manakala 20% remaja adalah perokok. Rekod menunjukkan 85 % remaja akhirnya menjadi ketagih kepada rokok. Tembakau yang terdapat di dalam rokok mempunyai hubungkait yang rapat sebagai penyebab penyakit seperti barah dan penyakit jantung dan boleh terjebak dalam penyalahgunaan dadah. [15]

Menurut satu kajian oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), 90 peratus kes penagihan dadah berpunca daripada merokok.[16] Ini menunjukkan satu hubungkait yang rapat antara merokok dengan penagihan dadah.

 

Antara hujah yang sering dipertahan oleh perokok ialah:

  • Merokok adalah hak asasi setiap individu

Jawapan kami, ya mungkin benar. Akan tetapi, bagaimana dengan hak asasi orang sekelilingnya? Mereka juga turut memiliki hak dalam mendapatkan udara yang segar dan bersih, tanpa dicemari oleh asap rokok yang berkepul-kepul.

  • Merokok boleh menghilangkan stress

Ia sebenarnya tidak betul, kerana pada hakikatnya ia memberi kesan dalam tempoh yang sekejap sahaja. Selain itu, ia malah boleh menambahkan lagi stress apabila duit mula berkurangan kerana dihabiskan untuk membeli rokok.

Oleh itu, hentikanlah amalan merokok demi kebaikan kita semua. Kami juga telah membaca laporan pada pada 3 Januari 2018 di mana seorang pekerja restoran telah ditampar oleh pelanggannya yang merokok selepas beliau menegur secara baik kepada tiga lelaki yang sedang menghisap rokok di tempat makan tersebut.[17] Kejadian seumpama ini tidak sepatutnya menyebabkan orang ramai merasa takut untuk menegur para perokok yang tidak mematuhi peraturan yang telah dikuatkuasakan ini.

Buat para perokok pula, gunalah peluang yang ada untuk berhenti merokok sebelum terlambat. Kasihanilah diri anda dan orang sekeliling. Semoga satu masa nanti, Malaysia akan menjadi negara yang sifar merokok.

Hidup sihat tanpa asap rokok!

 

Nota Hujung:

[1] Lihat http://muftiwp.gov.my/en/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/2314-al-kafi-715-apakah-hukum-solat-berimamkan-seorang-perokok

[2] Lihat http://muftiwp.gov.my/ms/artikel/bayan-linnas/2634-bayan-linnas-siri-ke-18-merokok-hukum-dan-penyelesaiannya

[3] Lihat http://muftiwp.gov.my/en/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum-cat/1905-irsyad-fatwa-ke-63-hukum-penggunaan-rokok-elektronik-vapor

[4] http://muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/1900-hukum-menghisap-shisha

[5] Lihat http://muftiwp.gov.my/en/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/2622-al-kafi-817-hukum-bekerja-di-kilang-membuat-mesin-untuk-penghasilan-rokok

[6] Lihat http://muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/2251-al-kafi-693-hukum-perkahwinan-berwalikan-seorang-perokok

[7] Lihat http://muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-fatwa/edisi-ramadhan/2033-hukum-merokok-ketika-berpuasa

[8] Lihat http://muftiwp.gov.my/en/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/2713-al-kafi-869-hukum-merokok-di-dalam-tandas

[9] Lihat http://www.myhealth.gov.my/fakta-mengenai-tembakau-a-merokok/

[10] Lihat http://www.infosihat.gov.my/index.php/isu-semasa/43-bahaya-merokok

[11] Lihat http://www.infosihat.gov.my/index.php/isu-semasa/43-bahaya-merokok

[12] Lihat http://www.myhealth.gov.my/fakta-mengenai-tembakau-a-merokok/

[13] Lihat http://www.sinarharian.com.my/global/masih-ramai-perokok-tiada-hati-nurani-1.276306

[14] Lihat http://www.infosihat.gov.my/index.php/isu-semasa/43-bahaya-merokok

[15] Lihat http://www.myhealth.gov.my/fakta-mengenai-tembakau-a-merokok/

[16] Lihat http://www.kk.usm.my/index.php/en/news/888-ketagihan-nikotin-mudaratkan-kesihatan-remaja

[17] Lihat http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/larangan-merokok-pelayan-ditampar-tegur-pelanggan-1.815127