Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

QALAM MUFTI #26: MERAKAM GAMBAR YANG SEDANG TERBAKAR

isu kebakaran.JPG

Alhamdulillah, kami rafakkan setinggi kesyukuran kepada-Nya, selawat dan salam ke atas Jujungan Nabi SAW, keluarga dan para sahabat serta yang mengikut jejak langkah hingga ke hari kesudahan.

Sebagai respon kepada isu yang berlegar dalam media sosial semalam berkaitan dengan situasi seseorang yang terbakar, Maka kami suka menyatakan beberapa noktah seperti berikut:

Pertamanya, kami rakamkan ucapan takziah kepada keluarga Puan Khatijah Abdul Karim atas apa yang terjadi kepada suaminya. Kami berdoa kepada Allah semoga Almarhum Mohammad Suhaimi Khamis ditempatkan bersama orang-orang yang soleh. Amin.

Keduanya, kami terpanggil untuk membuat sedikit ulasan berkenaan dengan rakaman gambar Almarhum yang tersebar sekarang ini. Kami berpendapat perbuatan tersebut adalah amat tidak wajar kerana sekalipun niat yang baik, tetapi bukan itu caranya. Sepatutnya sesiapa yang berada dalam kondisi seperti itu hendaklah berusaha seupaya mungkin untuk menolong atau dengan apa cara sekalipun kerana ia termasuk di dalam nas Ilahi:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa”

Surah al-Maidah (2)

Syeikh al-Maraghi berkata: Oleh itu, manusia antara satu sama lain wajib memberi pertolongan dalam urusan yang membawa kepada kebaikan. Pertolongan itu sama ada antara individu atau pun masyarakat, dalam soal kehidupan dunia atau kehidupan akhirat. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 3/1474)

Syeikh al-Sobuni berkata: Iaitu bertolong-tolonganlah kamu dalam perkara melakukan kebaikan dan kebajikan dan meninggalkan kemungkaran serta (bertolong-tolonganlah dalam) perkara yang membawa ketaatan kepada Allah SWT. (Lihat Sofwah al-Tafasir, 1/301)

Justeru, kami menyeru kepada masyarakat agar menghulurkan bantuan kepada Puan Khatijah Abdul Karim dan keluarganya untuk membantu dalam meringankan beban yang ditanggungnya dalam meneruskan sisa-sisa kehidupan yang berbaki.

Ketiganya, rakaman tersebut boleh melukakan hati keluarga serta sahabat handai Almarhum dan akan dibuat pelbagai andaian serta persepsi. Sepatutnya memberi perasaan gembira kepada kaum keluarga. Itulah yang sebenarnya. Tetapi dengan munculnya rakaman ini akan menyebabkan jiwa keluarga tersebut tertekan.

Keempatnya, akan ada tafsiran dan pelbagai pandangan yang kadang kala tidak diselidiki terlebih dahulu seterusnya mengiyakan apa yang dinyatakan. Natijahnya, ia akan meleret keluar daripada tajuk utama.

Kelimanya, akan ada orang yang menggunakan gambar tersebut dalam apa jua bentuk yang setidak-tidaknya boleh memanipulasikan mengikut kehendak dan tujuan tertentu.

Justeru, kami syorkan hendaklah sesiapa yang mempunyai perasaan kasih sayang kepada Almarhum dan keluarganya perlu dipadam gambar dan rakaman seperti itu kerana kadang-kadang ia dilihat membuka aib keluarga Almarhum jua.

Semoga kita semua diselamatkan daripada fitnah dan juga diberi taufik dan hidayah. Amin.

Marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah agar kita diberi kefahaman dalam memanfaatkan media sosial atau aplikasi dengan memahami feqahnya, mana yang boleh dan mana yang sepatutnya tidak didedahkan.

Permohonan maaf amat sesuai dan sepatutnya dikemukakan kepada kaum keluarga Almarhum.

Kami ingin berpesan kepada masyarakat Malaysia bahawa bukan semua perkara sesuai untuk dirakam, kemudian dikongsi bahkan kadang-kala wajib tidak dirakam dan tidak dikongsi.

Kami menutup Qalam Mufti pada kali ini dengan berdoa kepada Allah SWT untuk Almarhum Mohammad Suhaimi Khamis:

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ , وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ , وَأَكْرِمْ نُزُلَهُ , وَوَسِّعْ مُدْخَلَهُ , وَاغْسِلْهُ بِالْمَاءِ وَالثَّلْجِ وَالْبَرَدِ , وَنَقِّهِ مِنَ الْخَطَايَا كَمَا يُنَقَّى الثَّوْبُ الأَبْيَضُ مِنَ الدَّنَسِ ، وَأَدْخِلْهُ دَارًا خَيْرًا مِنْ دَارِهِ , وَأَهْلا خَيْرًا مِنْ أَهْلِهِ , وَزَوْجًا خَيْرًا مِنْ زَوْجِهِ , وَأَدْخِلْهُ الْجَنَّةَ , وَأَعِذْهُ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ , وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ