Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-51: BULI: BAGAIMANA PENYELESAIANNYA ?

 

MUKADIMAH

Isu buli timbul lagi di dada-dada akhbar. Yang terbaharu, sebagaimana yang dilaporkan oleh sebuah akhbar tempatan melibatkan seorang pelajar sekolah menengah berusia 14 tahun yang dilaporkan dibuli dan dipukul bertubi-tubi termasuk menggunakan kasut sehingga menyebabkan mangsa menerima lapan jahitan di bibir.

Sekalipun isu buli ini bukanlah isu yang baharu bahkan telah mendapat perhatian ramai pihak, namun ketika ia berulang kembali maka ini adalah suatu yang amat mendukacitakan. Justeru, Bayan Linnas dalam usaha memberi keterangan umum buat manusia tampil mengulas isu ini menurut perspektif agama serta menyatakan beberapa penyelasaian supaya kes ini dapat dikurangkan bahkan dielakkan dari terus berulang.

 

SEJARAH BULI DI MALAYSIA

Kes buli di negara kita bukanlah suatu yang asing. Ia berlaku melibatkan pelajar sekolah menengah tidak kira sekolah berasrama atau sekolah harian, demikian juga turut melibatkan pelajar sekolah rendah, baik lelaki ataupun perempuan. Kesan dari kes-kes buli ini menyebabkan mangsa-mangsa yang terlibat mendapat kecederaan sama ada bersifat kekal atau sementara. Bahkan lebih malang lagi, ada yang menyebabkan kematian.

Tahun lepas kita dikejutkan dengan kematian seorang pelajar kolej di pantai timur. Laporan menyebut bahawa mangsa meninggal dunia akibat salur darah pada leher sebelah kanan pecah dan terkoyak menyebabkan pendarahan menyeluruh pada otak akibat sepakan bertubi-tubi.

Demikian di utara tanah air pada tahun lepas, seorang pelajar berusia 13 tahun dibuli dan dipukul oleh lima orang pelajar lain. Kesannya menyebabkan mangsa tersebut menghadapi pendarahan usus dan buah pinggang.

Pada tahun 2014 pula sebuah video yang memaparkan seorang pelajar berumur 10 tahun dibuli dan dipukul oleh beberapa pelajar sekolah menengah telah menjadi viral di media sosial. Lebih menyedihkan apabila kes buli seumpama ini berlaku di sebuah asrama anak yatim.

 

 

KESAN-KESAN BULI

Perbuatan membuli memang tidak dinafikan akan meninggalkan kesan kepada mangsa yang menghadapinya. Kesan yang terhasil sama ada bersifat kekal atau sementara. Begitu juga kesan terhadap fizikal dan mental mangsa buli. Berikut dikongsikan beberapa kesan-kesan buli terhadap mangsa:

1- Trauma.

Inilah kesan buruk dari sudut emosi bagi mangsa-mangsa yang dibuli. Bahkan dilaporkan beberapa kes yang menceritakan mangsa buli rasa takut untuk kembali ke sekolah. Bahkan terdapat sebuah kes di Kelantan, seorang mangsa buli di salah sebuah sekolah berasa trauma ekoran diugut oleh pelajar-pelajar yang membulinya agar merahsiakan kejadian tersebut.

 

2- Kesan fizikal.

Kesan-kesan fizikal ini melibatkan kecederaan kepada anggota tubuh mangsa buli. Terdapat kesan yang bersifat kekal dan ada juga yang bersifat sementara.

Seorang mangsa buli di Kedah mengalami pendarahan usus dan buah pinggang disebabkan dipukul bertubi-tubi oleh sekumpulan pelajar senior di sekolahnya.

Yang terbaharu, seorang pelajar tingkatan dua dilaporkan menerima lapan jahitan di bibir akibat dibelasah dengan menggunakan kasut secara beramai-ramai. Pihak doktor pula menyatakan bahawa mangsa berisiko mengalami kecacatan kekal.

 

PERSPEKTIF ISLAM TERHADAP BULI

Perkara penting yang perlu semua kita fahami, Islam adalah satu agama yang benar-benar menjaga dan memelihara karamah insaniah (kemuliaan insan). Sebab itu kita dapati bahawa di dalam Islam terdapatnya hukuman qisas yang mana antara takrifannya adalah: Hukuman yang ditentukan kadarnya dari sudut syarak sebagai hak kepada anak Adam.

Dalam menjelaskan hal ini, Allah S.W.T berfirman:

وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِي آدَمَ

Maksudnya: Dan demi sesungguhnya Kami telah muliakan anak Adam.

Surah al-Isra (70)

 

Ketika menafsirkan ayat ini, al-Hafiz Ibn Kathir rahimahullah berkata: Allah S.W.T mengkhabarkan bahawa Dia memuliakan anak Adam dengan cara Dia menciptakan mereka dengan sebaik-baik kejadian. Rujuk Tafsir al-Quran al-Azhim (5/97).

Manakala larangan dan balasan buat mereka yang memukul orang lain adalah tersangat banyak seperti yang disebutkan di dalam al-Quran dan hadis-hadis. Firman Allah S.W.T:

وَوُضِعَ ٱلۡكِتَٰبُ فَتَرَى ٱلۡمُجۡرِمِينَ مُشۡفِقِينَ مِمَّا فِيهِ وَيَقُولُونَ يَٰوَيۡلَتَنَا مَالِ هَٰذَا ٱلۡكِتَٰبِ لَا يُغَادِرُ صَغِيرَةٗ وَلَا كَبِيرَةً إِلَّآ أَحۡصَىٰهَاۚ وَوَجَدُواْ مَا عَمِلُواْ حَاضِرٗاۗ وَلَا يَظۡلِمُ رَبُّكَ أَحَدٗا

Maksudnya: Dan diletakkan kitab (buku amalan), maka kau dapat melihat golongan yang melakukan dosa-dosa berasa takut terhadap apa yang terdapat di dalamnya. Dan mereka berkata: “Alangkah celakanya kami ini, kitab apakah ini yang tidak terlepas dosa kecil dan dosa besar melainkan kesemuanya tercatat !”, mereka mendapati apa yang telah mereka kerjakan sebelum ini dan Tuhan kamu tidak pernah menzalimi seseorang pun.

Surah al-Kahf (49)

 

Di dalam sebuah hadis sahih daripada Abu Hurairah R.anhu beliau meriwayatkan dari Nabi S.A.W baginda bersabda:

إِنَّ الْمُفْلِسَ مِنْ أُمَّتِي يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِصَلاَةٍ وَصِيَامٍ وَزَكَاةٍ وَيَأْتِي قَدْ شَتَمَ هَذَا وَقَذَفَ هَذَا وَأَكَلَ مَالَ هَذَا وَسَفَكَ دَمَ هَذَا وَضَرَبَ هَذَا فَيُعْطَى هَذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ وَهَذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ فَإِنْ فَنِيَتْ حَسَنَاتُهُ قَبْلَ أَنْ يُقْضَى مَا عَلَيْهِ أُخِذَ مِنْ خَطَايَاهُمْ فَطُرِحَتْ عَلَيْهِ ثُمَّ طُرِحَ فِي النَّارِ ‏

Maksudnya: Sesungguhnya orang muflis dari kalangan umatku adalah sesiapa yang datang pada hari kiamat dengan solat, puasa, dan zakat. Dia juga datang dalam keadaan pernah mencela orang ini, menuduh orang ini, memakan harta orang ini, menumpahkan darah orang ini, memukul orang ini. Maka diberikan kepada orang-orang tersebut kebaikan-kebaikan dirinya. Sekiranya kebaikannya sudah habis dalam keadaan perhitungan ke atasnya belum lagi habis, maka diambil kejahatan-kejahatan mereka itu tadi lalu dicampakkan kepadanya dan kemudiannya dia dicampak ke dalam neraka.

Riwayat Muslim (2581)

 

Kata al-Imam al-Nawawi rahimahullah ketika mensyarahkan hadis ini: Sangat benarlah Nabi S.A.W. Kerana sesungguhnya inilah sebenar-benar muflis. Adapun seorang yang muflis di dunia, maka sesungguhnya dunia itu datang dan pergi. Boleh jadi seseorang itu asalnya fakir, lalu dia berubah menjadi kaya ataupun sebaliknya. Akan tetapi, sebenar-benar muflis itu adalah ketika seorang itu muflis atas segala kebaikan yang dia telah berpenat lelah dalam mengerjakannya. Di hadapannya hari kiamat yang amalan kebaikannya akan menjadi saksi. Kemudian kebaikan tersebut diambil oleh si fulan dan si fulan. Pada hadis ini menunjukkan ancaman terhadap perbuatan melakukan kejahatan ke atas makhluk. Rujuk Riyadh al-Solihin, Al-Nawawi (1/251).

 

KENYATAAN MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

 

Kami nyatakan bahawa sesuatu perkara itu apabila ia bertentangan dengan agama dan nilai kemanusiaan, maka ia adalah tertolak dan tidak boleh diterima sama sekali.

Allah S.W.T mengajar kita untuk menjadi seorang hamba yang taat kepada perintah-Nya, saling menghormati sesama manusia, berkasih sayang antara satu sama lain, serta menjaga hak-hak karamah insaniah. Ingatlah, apabila kita membuli orang lain boleh jadi kita juga bakal dibuli oleh orang lain dalam hari-hari yang mendatang. Boleh jadi anak-anak kita juga akan menjadi mangsa buli pada masa hadapan kelak.

Hendaklah setiap mereka yang terlibat dengan perbuatan buli ini merasa insaf, bahawa setiap tindakan dan amalan kita di atas bumi ini akan dinilai oleh Allah S.W.T. Dari sekecil-kecil perbuatan sehinggalah sebesar-besar perkara kesemuanya itu tidak terlepas dari catatan dan hitungan Malaikat. Tambahan pula perbuatan menzalimi manusia yang lain tanpa hak. Firman Allah S.W.T:

وَوُضِعَ ٱلۡكِتَٰبُ فَتَرَى ٱلۡمُجۡرِمِينَ مُشۡفِقِينَ مِمَّا فِيهِ وَيَقُولُونَ يَٰوَيۡلَتَنَا مَالِ هَٰذَا ٱلۡكِتَٰبِ لَا يُغَادِرُ صَغِيرَةٗ وَلَا كَبِيرَةً إِلَّآ أَحۡصَىٰهَاۚ وَوَجَدُواْ مَا عَمِلُواْ حَاضِرٗاۗ وَلَا يَظۡلِمُ رَبُّكَ أَحَدٗا

Maksudnya: Dan diletakkan kitab (buku amalan), maka kau dapat melihat golongan yang melakukan dosa-dosa berasa takut terhadap apa yang terdapat di dalamnya. Dan mereka berkata: “Alangkah celakanya kami ini, kitab apakah ini yang tidak terlepas dosa kecil dan dosa besar melainkan kesemuanya tercatat !”, mereka mendapati apa yang telah mereka kerjakan sebelum ini dan Tuhan kamu tidak pernah menzalimi seseorang pun.

Surah al-Kahf (49)

 

Dalam surah yang lain Allah S.W.T berfirman:

ٱلۡيَوۡمَ نَخۡتِمُ عَلَىٰٓ أَفۡوَٰهِهِمۡ وَتُكَلِّمُنَآ أَيۡدِيهِمۡ وَتَشۡهَدُ أَرۡجُلُهُم بِمَا كَانُواْ يَكۡسِبُونَ

Maksudnya: Pada hari ini kami kunci mati ke atas mulut-mulut mereka, dan Kami jadikan tangan-tangan mereka berbicara, dan kaki-kaki mereka menjadi saksi terhadap apa yang telah mereka kerjakan dahulu.

Surah Yaasin (65)

 

Ketika mana kita menyedari hakikat ini, bahawa segala amalan kita akan dihitung dan dipertanggungjawabkan, maka sudah tentulah kita akan merasa insaf. Disuburkan pula dengan rasa hormat serta kasih sayang sesama manusia yang lain. Ingatlah bahawa kita semua akan kembali menemui Tuhan kita. Sekiranya baik segala amalan kita di dunia ini maka kita pasti akan mendapat kebaikan di akhirat sana. Sebaliknya, jika amal-amal buruk sahaja yang kita bawa sepanjang perjalanan di dunia ini, buruk jugalah balasan yang bakal kita terima.

Akhir kalam, sebagai seruan kepada diri sendiri, keluarga, sahabat handai, dan masyarakat, marilah kita sama-sama membulatkan tekad agar dapat kita hidup dalam keadaan tolong-menolong, saling berkasih sayang, serta hormat-menghormati antara sesama manusia. Jauhilah perbuatan buli-membuli dan mainkanlah peranan masing-masing sebagai ibubapa, guru-guru, tokoh-tokoh masyarakat dalam membasminya. Semoga Allah S.W.T merahmati kita semua serta menjadikan segala perbuatan dan tingkah laku kita ini bakal menjadi saham amal soleh buat kita di akhirat kelak. Ameen.

 

Akhukum Fillah,

S.S DATUK DR. ZULKIFLI BIN MOHAMAD AL-BAKRI

MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

24 FEBRUARI 2016 BERSAMAAN 15 JAMADIL AWAL 1437 H