Language :  
Theme Color: blue green oren
Text Size : 
A- A A+
FAQ

ABU_AYYUPP.JPG

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Pada 22 Januari yang lalu, kami berkesempatan menziarahi kota Uthmaniyah di Istanbul, Turki. Kami mengambil peluang untuk menziarahi makam Abu Ayyub al-Ansari yang terletak di Bandar Istanbul. Kami terbaca semula kisah semangat jihad beliau yang luar biasa bagi mentahqiqkan hadis Nabi SAW diperolehinya. Tetapi, selepas 800 tahun, barulah Kota Konstantinopel dapat dibuka oleh Sultan Muhammad al-Fatih.

Justeru, dalam Qalam Mufti kali ini, kami terpanggil untuk berkongsi dalam menekuni manaqib serta sirah perjalanan hidup Abu Ayyub al-Ansari R.A. Semoga ia memberi manfaat kepada semua.

Abu Ayyub al-Ansari merupakan salah seorang sahabat Rasulullah SAW yang terkenal dari kalangan Ansar. Namanya ialah Khalid bin Zaid bin Kulaib bin Tsa'labah bin Abdi Amr bin ‘Auf bin Ghanm bin Malik bin al-Najjar bin Tsa'labah bin al-Khazraj. (Lihat Siyar A’lam al-Nubala’, 3/354)

Beliau adalah generasi awal yang memeluk Islam dari kalangan sahabat. Sebelum Nabi SAW berhijrah ke Madinah, Abu Ayyub mengikuti Bai’ah al-Aqabah yang kedua. Ini sepertimana dinyatakan oleh Ibn Ishaq. (Lihat Siyar A’lam al-Nubala’, 3/356)

Abu Ayyub meriwayatkan hadis langsung daripada Nabi SAW. Antara sahabat yang meriwayatkan hadis daripada beliau ialah al-Barra bin Azib, Zaid bin Khalid, Abdullah bin Abbas, Anas bin Malik dan lain-lain. Ramai tabi’in turut meriwayatkan hadis daripada beliau.

Semasa peristiwa penghijrahan Nabi SAW, rumah beliau telah dipilih oleh Nabi SAW sebagai tempat tinggal sementara di perkampungan Bani Najjar sehinggalah pembangunan Masjid Nabawi selesai. Apabila proses pembinaan masjid tersebut dan bilik isteri Nabi selesai, barulah Baginda SAW berpindah dari rumah Abu Ayub.

Syeikh Sofiyyurahman al-Mubarakfuri menceritakan: Hari tersebut adalah hari bersejarah dan gemilang. Orang-orang Ansar bukanlah golongan yang memiliki harta yang banyak, namun setiap dari mereka bercita-cita semoga Rasulullah SAW singgah ke rumah mereka. Rasulullah hanya menjawab kepada mereka, "Biarlah kuda ini bergerak mengikut arahnya.” Kuda Baginda terus bergerak sehingga tiba di tapak masjid al-Nabawi yang ada sekarang ini. Sampai di situ, kuda Rasulullah pun berhenti. Namun Rasulullah tidak terus turun. Tiba-tiba kuda Baginda bangun semula dan berjalan lagi ke hadapan. Kemudian berpatah balik semula ke belakang ke tempat pertama tadi.

Ketika itu barulah Rasulullah turun darinya. Tempat itu adalah kawasan kediaman Bani al-Najjar, keluarga bapa saudara Rasulullah sebelah ibunya. Semua yang hadir di situ lalu mempersilakan Rasulullah untuk tinggal di rumah mereka. Namun, Abu Ayub al-Ansari terlebih dahulu segera menuju ke binatang tunggangan Baginda lalu menuntunnya masuk ke dalam kawasan rumahnya.

Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bertanya:

أَيُّ بُيُوتِ أَهْلِنَا أَقْرَبُ ، فَقَالَ أَبُو أَيُّوبَ: أَنَا يَا نَبِيَّ اللَّهِ، هَذِهِ دَارِي وَهَذَا بَابِي، قَالَ : فَانْطَلِقْ فَهَيِّئْ لَنَا مَقِيلًا، قَالَ: قُومَا عَلَى بَرَكَةِ اللَّهِ

Maksudnya: "Manakah rumah keluarga kami yang terdekat?” Lalu Abu Ayyub berkata: “Saya wahai Rasulullah. Inilah rumah saya dan ini pintunya.” Lalu Nabi berkata: “Kalau begitu, marilah pergi dan sediakan tempat berteduh untuk kami.” Abu Ayyub menjawab: “Silakan dengan keberkatan Allah.”

Riwayat al-Bukhari (3911)

Baginda SAW menetap di rumah Abu Ayyub sehinggalah proses pembinaan Masjid Nabawi dan ruang-ruang sebagai bilik isteri-isteri Rasulullah SAW selesai. Setelah siapnya pembinaan bilik tersebut, barulah Baginda berpindah dari rumah Abu Ayyub. (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, 117-118)

Abu Ayyub al-Ansari merupakan salah seorang sahabat yang turut serta dalam peperangan Badar, Uhud, Khandaq dan perang-perang seterusnya. Dikatakan, tidak ada satu perang pun di zaman Rasulullah yang beliau tidak ikuti. (Lihat al-Sirah al-Nabawiyyah oleh Ibn Hisyam, 2/30)

Setelah Rasulullah SAW wafat, beliau tetap terlibat dalam jihad. Perang terakhir yang diikuti oleh beliau adalah pada zaman pemerintahan Muawiyah bin Abi Sufyan.

Abu Ayyub meninggal dunia di tanah Rom (Konstantinopel) ketika zaman pemerintahan Khalifah Muawiyah. (Lihat al-Sirah al-Nabawiyyah oleh Ibn Kathir, 2/209)

Kewafatannya adalah ketika menyertai pasukan yang dipersiapkan oleh Muawiyah dalam usaha menakluki Konstantinopel di bawah pimpinan anaknya, Yazid. Ketika itu, usia beliau mencecah 80 tahun. Namun, beliau tetap bersemangat dalam meraih pahala jihad.

Namun, sebaik pasukan Islam hampir tiba di sana, beliau telah jatuh sakit yang membawa kepada kematian beliau. Yazid sempat datang menziarahinya dan bertanya: “Adakah padamu ada apa-apa keinginan?” Lalu beliau menjawab: “Sampaikan salamku kepada pasukan kaum Muslimin. Katakan pada mereka, tempuhilah wilayah musuh sejauh mungkin dan bawalah jasadku bersama kamu semua.”

Apabila beliau meninggal, mereka pun lalu membawa jasadnya bersama. Kemudian mereka menguburkannya berhampiran dengan Konstantinopel. (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 8/65 dan Siyar A’lam al-Nubala’, 3/356)

Dikatakan bahawa pada pagi hari pengebumian Abu Ayyub, orang-orang Rom berkata:  “Wahai orang-orang Arab, (kami melihat) berlaku sesuatu pada kamu semalam.” Mereka menjawab, “Telah wafat salah seorang sahabat yang agung dari Nabi kami, yang terlebih dahulu memeluk Islam.” (Lihat Usd al-Ghabah oleh Ibn al-Athir, 3/142)

Al-Waqidi menyatakan:  “Abu Ayyub meninggal dunia pada tahun di mana Yazid memimpin pasukan yang dihantar oleh ayahnya ke Konstantinopel. Sungguh telah sampai khabar kepadaku bahawa orang-orang Rom mencari makamnya. Kemudian mereka meminta hujan dengan perantaranya.” (Lihat Siyar A’lam al-Nubala’, 3/356)

Begitulah kisah seorang tokoh yang begitu bersemangat dalam menyahut seruan Nabi SAW serta berkorban dalam mengembangkan syiar Islam sehingga ke penghujung usia. Semoga semangat Abu Ayyub memberi satu inspirasi kepada kita semua dalam menyebarkan dakwah Islam. Amin.