LABUAN, 26 Oktober 2026 – Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan (JMWP) Cawangan Labuan melalui Unit Istinbat telah menganjurkan Program Muzakarah Pemegang Tauliah Mengajar Agama Islam Wilayah Persekutuan Labuan Siri 2/2026.
Program tersebut telah dirasmikan oleh Sahibus Samahah Dr. Haji Mohd Aizam bin Mas’od, Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan Labuan. Dalam ucapan perasmian, beliau telah mengupas kepentingan tauliah dalam pengajaran agama Islam serta mengingatkan para pemegang tauliah agar sentiasa mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada para pemegang tauliah dan agensi-agensi yang terlibat atas kerjasama strategik yang terjalin. Usaha ini diharapkan dapat memperkukuh hubungan silaturahim, memantapkan ukhuwah Islamiah serta meningkatkan kerjasama dalam usaha memartabatkan pengajaran agama Islam di Wilayah Persekutuan Labuan.
Program turut diisi dengan sesi ceramah yang disampaikan oleh Puan Norsheha binti Radzuan dari Jabatan Pendakwaan Syar’ie Wilayah Persekutuan Labuan. Ceramah tersebut bertajuk “Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 [Akta 505] dan Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 [Akta 559]”, yang memberikan pendedahan berkaitan peruntukan undang-undang Islam dan kesalahan jenayah syariah.
Semoga penganjuran program ini dapat memberikan manfaat kepada semua peserta, meningkatkan kefahaman mengenai perundangan Islam serta memperkukuh hubungan silaturahim dan kerjasama antara pemegang tauliah, agensi kerajaan dan masyarakat demi kepentingan bersama.