Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

KUNJUNGAN HORMAT DELEGASI-DELEGASI DARIPADA HAL EHWAL ISLAM MAYBANK DAN TANYALAHUTAZ.COM

PUTRAJAYA, 5 MEI 2025 – Sahibus Samahah Datuk Prof. Madya Dr. Luqman bin Haji Abdullah, Mufti Wilayah Persekutuan telah menerima kunjungan hormat daripada dua delegasi dalam usaha memperkukuh jalinan kerjasama strategik berkaitan dakwah dan kefatwaan. Delegasi pertama diketuai oleh Amir Izzuddin bin Muhammad, Ketua Pegawai Eksekutif tanyalahustaz.com. Fokus perbincangan melibatkan penerokaan potensi teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam memperluas akses masyarakat kepada ilmu-ilmu agama, khususnya berkaitan fatwa dan kefahaman hukum Islam. Kerjasama ini dilihat berpotensi besar untuk menyediakan platform digital yang interaktif, mudah diakses dan berpaksikan rujukan autoritatif daripada institusi mufti.

Delegasi kedua hadir daripada Bahagian Hal Ehwal Islam Maybank yang diketuai oleh Muhammad Airil Rizman bin Izhar. Perbincangan tertumpu kepada isu-isu hukum-hakam dalam sektor perbankan Islam serta cadangan program dakwah yang bersifat holistik, khususnya kepada warga kerja Maybank dan masyarakat setempat agar kefahaman terhadap kewangan Islam dapat diperkasa melalui pendekatan yang berterusan.

Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan menyambut baik kedua-dua inisiatif ini dan berharap agar hubungan strategik bersama sektor swasta dan platform digital keagamaan akan dapat menyumbang ke arah penyebaran maklumat agama yang lebih menyeluruh, berintegriti serta berteraskan maqasid syariah. Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan juga komited untuk terus membuka ruang kolaborasi yang bersifat inklusif dan progresif demi manfaat umat Islam di Wilayah Persekutuan dan seluruh negara.