Pilihan Bahasa:

hubungi2maklumbalas2peta2

KUNJUNGAN HORMAT JABATAN MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN KE ZOO NEGARA-MENELADANI WARISAN KEILMUAN ISLAM: AL-JAHIZ TOKOH ZOOLOGI

Kuala Lumpur, 4 Ogos 2026 – Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan (JMWP) telah mengadakan lawatan ke Zoo Negara sebagai salah satu usaha memperkukuh hubungan dan meningkatkan kefahaman mengenai pemeliharaan serta pemuliharaan hidupan liar.

Delegasi Zoo Negara telah diketuai oleh En. Ahmad Nizam bin Zainuddin, Pengarah Zoology Hospital dan Veterinar.

Lawatan tersebut turut memberi peluang kepada warga JMWP untuk meninjau secara lebih dekat pengurusan dan penjagaan haiwan serta usaha yang dilaksanakan dalam memastikan kebajikan hidupan liar sentiasa terpelihara.

Selain itu, lawatan ini turut membuka ruang kepada JMWP untuk menghayati kebesaran dan keunikan ciptaan Allah SWT melalui kepelbagaian spesies haiwan yang terdapat di Zoo Negara. Hal ini selaras dengan tuntutan Islam agar manusia menghargai, menyayangi, dan memelihara alam sekitar serta makhluk ciptaan Allah SWT.

Lawatan ini secara tidak langsung turut mengimbau keagungan sejarah keilmuan Islam dalam bidang zoologi yang dipelopori oleh tokoh tersohor, Al-Jahiz (776–868 M). Beliau merupakan ilmuwan Islam terawal yang menghasilkan karya monumental mengenai hidupan liar menerusi bukunya, Kitab al-Hayawan (Buku Haiwan).

Menerusi karya tersebut, Al-Jahiz bukan sekadar mencatatkan perihal biologi haiwan, malah mengutarakan konsep penting yang mendahului zamannya:

i.Pemerhatian Ekologi & Rantaian Makanan: Beliau mengkaji interaksi antara spesies, penyesuaian haiwan terhadap alam sekitar, serta konsep peniruan (mimicry) dan pertahanan diri haiwan.

ii.Prinsip Ihsan terhadap Haiwan: Al-Jahiz menekankan hak-hak haiwan untuk mendapatkan perlindungan dan layanan yang wajar, selari dengan ajaran al-Quran dan Sunnah.

iii.Tafakur Kebesaran Allah SWT: Beliau menjadikan pengajian sains zoologi sebagai wahana untuk mentafakuri keagungan dan kebijaksanaan Allah SWT sebagai Pencipta Seluruh Alam.

Penerapan kefahaman sains zoologi moden yang dipraktikkan di Zoo Negara hari ini disifatkan sebagai kesinambungan praktikal kepada tradisi keilmuan yang diasaskan oleh tokoh-tokoh ilmuwan Islam terdahulu seperti Al-Jahiz.

JMWP berharap agar lawatan seumpama ini dapat memberikan pendedahan dan kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan menjaga kelestarian alam sekitar serta memelihara hidupan liar sebagai sebahagian daripada amanah manusia sebagai khalifah di muka bumi.