PUTRAJAYA, 15 September 2026– Forum Kesihatan Mental: Tanda-Tanda Awal dan Kaedah Intervensi Menurut Perspektif Syariah berlangsung di Auditorium Ibnu Sina, Masjid Putra, di sini hari ini, bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan mengenal pasti tanda-tanda awal masalah kesihatan mental serta mendapatkan bantuan yang sewajarnya.
Program tersebut telah dirasmikan oleh Sahibus Samahah Tuan Haji Ahmad Fauwaz bin Ali@Fadzil dan menampilkan Encik Mohd Shahezam bin Mohamed Sunar dari Kementerian Kesihatan Malaysia serta Ustaz Mohd Elyas bin Ismail, Pendakwah sebagai panel.
Forum dikendalikan oleh Ustaz Mohd Radhi bin Abdul Ghani dari Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan selaku moderator.
Perbincangan memberi tumpuan kepada tanda-tanda awal masalah kesihatan mental, peranan sokongan, isu stigma, kepentingan mendapatkan bantuan serta kaedah intervensi menurut perspektif syariah.
Penganjuran forum ini mencerminkan usaha berterusan dalam meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap isu kesihatan mental secara lebih menyeluruh dengan menggabungkan pendekatan kesihatan dan nilai-nilai Islam.
Pendekatan tersebut penting dalam membentuk masyarakat yang lebih prihatin, empati dan terbuka dalam menangani isu kesihatan mental, selain menggalakkan individu yang berdepan cabaran untuk mendapatkan bantuan daripada pihak yang bersesuaian.