Pilihan Bahasa:

hubungi2maklumbalas2peta2

PROGRAM MUZAKARAH PEMEGANG TAULIAH MENGAJAR AGAMA ISLAM WILAYAH PERSEKUTUAN SIRI 4 TAHUN 2026

PUTRAJAYA, 3 NOVEMBER 2026 – Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan (JMWP) telah menganjurkan Program Muzakarah Pemegang Tauliah Mengajar Agama Islam Wilayah Persekutuan Siri 4 Tahun 2026 bertempat di Auditorium Ibnu Sina, Masjid Putra, Putrajaya.

Program anjuran JMWP ini telah disempurnakan perasmiannya oleh YB Senator Dr. Zulkifli bin Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Majlis turut dihadiri oleh Mufti dan Timbalan Mufti negeri, wakil-wakil daripada jabatan dan agensi kerajaan serta para peserta muzakarah.

Penganjuran muzakarah pada kali ini menghimpunkan peserta daripada pelbagai latar belakang, merangkumi golongan agamawan, ahli akademik, golongan profesional serta masyarakat awam. Penyertaan dalam muzakarah ini merupakan salah satu keperluan yang perlu dipenuhi oleh para pemohon dalam proses mendapatkan Tauliah Mengajar Agama Islam Wilayah Persekutuan. Program ini juga menjadi platform untuk memberikan pendedahan dan memperkukuh kefahaman peserta berhubung syarat-syarat pengajaran agama Islam serta tanggungjawab yang perlu dilaksanakan sebagai pemegang tauliah.

Muzakarah pada kali ini menampilkan tiga sesi pembentangan utama yang memberi tumpuan kepada pematuhan syarat-syarat tauliah, isu agama dan keselamatan negara serta cabaran akidah dan pemikiran semasa, iaitu Syarat-Syarat Pemegang Tauliah Mengajar Agama Islam Wilayah Persekutuan, Isu Agama dan Keselamatan Negara dan Ancaman Akidah dan Cabaran Pemikiran Semasa.

Majlis turut diserikan dengan acara simbolik penyerahan Tauliah Mengajar Agama Islam Wilayah Persekutuan kepada wakil penerima yang disempurnakan oleh YB Menteri sendiri.

Penyerahan ini melambangkan pengiktirafan kepada individu yang telah memenuhi keperluan pentauliahan, di samping menekankan amanah dan tanggungjawab yang perlu dipikul dalam menyampaikan pengajaran agama Islam kepada masyarakat.

Selain pengisian muzakarah, YB Menteri turut menyempurnakan Majlis Pelancaran Buku Fiqh Pelaburan Emas, sebuah penerbitan baharu hasil usaha sama strategik antara Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan dan Bursa Malaysia. Penerbitan ini merupakan antara usaha untuk memperluas kefahaman masyarakat mengenai hukum-hakam dan prinsip Syariah berkaitan urus niaga serta pelaburan emas, selaras dengan perkembangan instrumen kewangan dan keperluan masyarakat semasa. Acara akhir ialah tayangan video Korporat Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan yang julung kali ditayangkan kepada hadirin dan ditutup dengan sesi bergambar.

Secara keseluruhannya, penganjuran Program Muzakarah Pemegang Tauliah Mengajar Agama Islam Wilayah Persekutuan Siri 4 Tahun 2026 merupakan sebahagian daripada usaha berterusan JMWP dalam memperkukuh pengurusan dan pembangunan sistem pentauliahan mengajar agama Islam di Wilayah Persekutuan. Program ini juga berperanan dalam meningkatkan kefahaman dan kompetensi bakal pemegang tauliah, sekali gus memastikan penyampaian ilmu agama Islam kepada masyarakat dilaksanakan secara berautoriti, berdisiplin dan bertanggungjawab.