Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

QALAM MUFTI #53: AYUH, SEMANGAT HARIMAU MALAYA!

harimau malaya.JPG

Pasukan Bola Sepak Malaysia telah dijadualkan untuk menerima kunjungan pasukan Thailand (Khamis, 14 November 2019) dan pasukan Indonesia (Selasa, 19 November 2019). Sesungguhnya seluruh rakyat Malaysia akan bersama menyokong dan mendoakan kemenangan agar berpihak kepada pasukan kebanggaan kita, Harimau Malaya.

 

Kepada Harimau Malaya:

  • Kami doakan semoga anda semua dapat mempamerkan permainan terbaik dan sepenuh hati. Contohilah, semangat lagenda kita, Allahyarham Mokhtar Dahari, sentiasa bersemangat memberikan aksi yang terbaik beliau bagi menjulang nama Malaysia. Apa jua yang berlaku, anda membawa nama Malaysia. Maka, usah biarkan titisan peluh anda mengalir dengan sia-sia.
  • Para pemain juga harus berjiwa besar dan tidak pantas merendah diri dengan lawan yang mungkin mempunyai reputasi yang lebih baik daripada kita. Contohilah sifat para tentera Islam dahulu, walaupun dipandang enteng oleh dunia saat itu, mereka berperang dengan penuh bersemangat hingga berjaya mengalahkan tentera Rom dan Parsi yang mempunyai reputasi yang hebat ketika itu.

 

Kepada "Ekor" Harimau Malaya:

  • Andalah hakikatnya pemain ke-12 Harimau Malaya. Amat diharapkan supaya kita dapat menjaga adab dan mempamerkan akhlak yang baik kepada para pemain dan penyokong pasukan pelawat nanti. Sokonglah sejiwa murni, elakkanlah provokasi, biarlah kita dicontohi dan disegani.
  • Semoga dengan asbab akhlak yang baik kita nanti, kemenangan akan berpihak buat Harimau Malaya. Mudah-mudahan kita berjaya menjadi contoh yang terbaik yang akhirnya mengharumkan nama Agama dan Negara di mata dunia.

 

Ayuh, Harimau Malaya! Berikan yang terbaik dan semoga berjaya. Anda tetap dan sentiasa menjadi kebanggaan kami rakyat Malaysia.