Pilihan Bahasa:

hubungi2maklumbalas2peta2

TINTA MUFTI BIL. 3/2025: INSTITUSI FATWA DAN ASATIZAH PEMELIHARA KEAMANAN DALAM MASYARAKAT

logo_tinta_mufti.png

 

INSTITUSI FATWA DAN ASATIZAH PEMELIHARA KEAMANAN DALAM MASYARAKAT

Antara aspek Maqasid Syariah yang hampir dilupakan adalah maqsad keamanan (hifz al-amn). Kestabilan negara dan keamanan sosial dan merupakan asas kepada penerusan kehidupan Islam yang harmoni dan berkembang. Maqasid ini ialah asas penting yang memungkinkan usaha menjaga lima daruriyyat lain agama, nyawa, akal, keturunan, dan harta agar dapat dilaksanakan dengan sempurna.

Hal ini kerana, apabila sesebuah negara berada dalam kekacauan, institusi agama akan lumpuh, rumah ibadat terganggu, nyawa terancam, dan masyarakat akan hidup dalam ketakutan. Maka, keamanan bukan sekadar keperluan fizikal, tetapi merupakan asas kepada imarah (pembangunan) dan ibadah.Oleh itu, dalam menjaga maqsad keamanan ini, terdapat dua aspek yang perlu dipelihara iaitu

1. Maqsad keamanan masyarakat

2. Maqsad keamanan negara dan pemerintah

Dalam kerangka pembangunan masyarakat Islam yang harmoni dan beradab, dua entiti utama yang memainkan peranan besar adalah institusi fatwa dan golongan asatizah.Kedua-duanya seharusnya bersinergi menjadi tonggak utama dalam menyampaikan mesej Islam yang sahih, seimbang, dan membina.

Institusi fatwa bukan sekadar menjawab persoalan hukum, tetapi berfungsi memayungi umat agar kekal berada dalam landasan syariah yang aman dan stabil.

Dalam masa yang sama, para asatizah khususnya mereka yang diberikan tauliah mengajar di sesebuah negeri juga memikul tanggungjawab besar dalam menyampaikan ilmu agama Islam dan menerjemahkan fatwa untuk kefahaman masyarakat. Para asatizah bukan sahaja mengajar tentang hukum, tetapi membentuk pandangan masyarakat terhadap agama. Mereka ialah duta rahmat Islam di lapangan masyarakat. Justeru, penyampaian mereka harus:

  • Menyampaikan ilmu bersandarkan kepada data dan fakta bukan sekadar berlandaskan emosi dan sentimen peribadi semata-mata.
  • Menyampaikan ilmu dengan kefahaman terhadap fiqh waqi’ (realiti semasa) supaya nasihat dan panduan yang diberikan bersifat membina, relevan dan mampu menjadi solusi kepada permasalahan masyarakat
  • Menjaga bahasa dan adab, agar tidak mencetuskan kebencian atau keresahan
  • Mengelakkan pendekatan keras seperti suka membid'ah atau mengkafirkan sesama muslim
  • Memperkukuh penyampaian ilmu melalui pembacaan kitab turath dan kontemporari yang diiktiraf keilmuannya oleh para ulama. Jangan hanya bergantung kepada ceramah atau kandungan di media sosial yang adakalanya bersifat populis tetapi kurang membantu dari sudut pembinaan ilmu.

Justeru, keamanan harus dilihat sebagai suatu nilai penting dalam syariah yang wajib dipelihara dan dihargai. Setiap tutur kata, hukum yang diungkap, dan pendapat yang dilontarkan perlu ditimbang dengan penuh cermat dan bijaksana agar tidak menggugat kestabilan yang telah dibina sekian lama. Marilah kita bersama-sama menjunjung tinggi maqasid keamanan ini dengan penuh rasa amanah dan tanggungjawab demi kesejahteraan ummah dan negara.

SAHIBUS SAMAHAH USTAZ AHMAD FAUWAZ BIN FADZIL
20 ZULHIJAH 1446 / 20 JUN 2025