CADANGAN GARIS PANDUAN SUKAN EKSTREM MENURUT ISLAM
Pengenalan
Sejak akhir-akhir ini, laporan semasa telah mencatatkan beberapa kes kematian dan kecederaan yang berlaku disebabkan penglibatan dalam aktiviti sukan terutamanya sukan yang bersifat ekstrim. Sebagai contoh, terdapat kematian yang berpunca daripada aktiviti seperti pendakian gunung, kematian mengejut ketika bermain futsal, badminton dan kecederaan kekal yang terhasil daripada sukan sedemikian. Dari sudut bahasa, istilah sukan ekstrem dalam bahasa Melayu turut dikenali sebagai sukan lasak. Menurut Kamus Dewan Bahasa, sukan lasak ialah sukan yang melibatkan aktiviti yang kasar dan kadang kala ganas seperti lumba motocross, memanjat gunung, berakit atau bersampan di jeram dan seumpamanya[1]. Sementara dalam pengistilahan bahasa Inggeris, sukan lasak merupakan sukan yang mengandungi elemen berbahaya dan berisiko terhadap keselamatan diri[2]. Dengan perkataan yang lain, sukan lasak boleh difahami sebagai aktiviti sukan yang menggunakan kudrat fizikal individu secara maksimum, terdedah kepada risiko kecederaan dan kemalangan hingga boleh mengakibatkan kematian. Lantaran itu, kewujudan ciri-ciri yang berbahaya dalam sukan lasak ini telah menimbulkan persoalan mengenai keharusan untuk terlibat dengannya menurut perspektif Islam.
Islam menganjurkan umatnya agar sentiasa menjaga kesihatan supaya tubuh badan mampu untuk melaksanakan ibadah dan amalan kebaikan. Hal ini selari dengan saranan hadis Nabi SAW yang menggambarkan Allah SWT menyukai hamba-Nya yang kuat berbanding yang lemah. Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda:
الْمُؤْمِنُ الْقَوِيُّ خَيْرٌ وَأَحَبُّ إِلَى اللَّهِ مِنَ الْمُؤْمِنِ الضَّعِيفِ
Maksudnya: “Orang mukmin yang kuat lebih baik dan lebih disukai oleh Allah SWT berbanding orang mukmin yang lemah.”
(Riwayat Ibn Majah)
Secara asasnya, hukum bagi sukan adalah harus di sisi syarak. Pengharamannya hanya berlaku sekiranya terdapat elemen yang diharamkan syarak seperti perjudian, pertaruhan dan seumpamanya sebagaimana hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Hanzalah RA, sabda Nabi SAW:
يَا حَنْظَلَةُ سَاعَةً وَسَاعَةً وَلَوْ كَانَتْ تَكُونُ قُلُوبُكُمْ كَمَا تَكُونُ عِنْدَ الذِّكْرِ لَصَافَحَتْكُمُ الْمَلاَئِكَةُ حَتَّى تُسَلِّمَ عَلَيْكُمْ فِي الطُّرُقِ
Maksudnya: “Wahai Hanzalah! Ada masa untuk urusan keduniaan, ada masa untuk beribadah. Dan jika hati kamu sentiasa sama seperti kamu sedang mengingati Allah SWT, para malaikat akan bersalam denganmu dan memberi salam kepadamu di pertengahan jalan”.
(Riwayat Muslim)
Imam Nawawi, ketika menafsirkan hadis ini yang turut diriwayatkan dengan lafaz berbeza dalam Sahih Muslim. Beliau menjelaskan bahawa kita tidak dituntut untuk beribadah sepanjang masa. Oleh itu, apabila Hanzalah berasa bimbang dirinya telah menjadi munafik kerana lalai daripada mengingati Allah SWT. Lalu Rasulullah SAW menjelaskan bahawa terdapat masa yang diperuntukkan untuk ibadah dan terdapat juga masa yang perlu diperuntukkan untuk kehidupan dunia serta berhibur bersama keluarga.
Menurut Syeikh Yusuf al-Qaradawi, hukum asal bagi semua jenis sukan ini adalah harus dan dibenarkan dalam syariat, selagi mana ia tidak mengandungi unsur yang dilarang atau kemudaratan yang jelas, yang boleh menyebabkan ia menjadi haram. Sebahagian daripada sukan ini telah sabit keharusannya melalui hadis-hadis sahih dan hasan, seperti larian, berenang, memanah, bermain tombak, menunggang kuda, gusti dan sebagainya, yang telah pun dibincangkan sebelum ini. Manakala sebahagian lagi adalah harus berdasarkan prinsip syarak yang masyhur, iaitu hukum asal bagi urusan keduniaan adalah harus selagi tiada dalil yang melarangnya. Tambahan pula, segala bentuk aktiviti yang dapat menguatkan tubuh badan dan memberi manfaat kesihatan adalah sesuatu yang dituntut oleh syariat, malah boleh menjadi sunat, dan dalam keadaan tertentu boleh mencapai tahap wajib bergantung kepada keperluan terhadapnya.[3]
Walaupun sukan lasak mengandungi unsur risiko dan bahaya, ia tetap tidak diharamkan secara mutlak dalam Islam selagi tidak bercanggah dengan prinsip syarak. Islam sentiasa menekankan kepentingan menjaga kesihatan dan kekuatan fizikal sebagai satu aset untuk melaksanakan tanggungjawab agama dan sosial. Justeru, penglibatan dalam sukan, termasuk sukan lasak, perlulah disertai dengan sikap berhati-hati, pematuhan terhadap langkah keselamatan, serta niat yang betul agar tidak membawa kepada kemudaratan yang ditegah oleh agama.
Oleh itu, isu ini perlu dinilai dengan mizan yang tertentu bagi menjaga nyawa seorang manusia daripada disia-siakan dengan perkara-perkara yang tidak selari dengan panduan syarak.
Perbahasan Hukum Berkenaan Sukan Ekstrem
Bagi penentuan hukum syarak ke atas sukan ekstrem, perkara yang perlu diteliti dari sudut pandang mizan syarak khususnya aspek maqasid syariah yang lima iaitu menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta sebagaimana yang disebut oleh Imam al-Ghazali:
وَهُوَ أَنْ يَحْفَظَ عَلَيْهِمْ دِينَهُمْ وَنَفْسَهُمْ وَعَقْلَهُمْ وَنَسْلَهُمْ وَمَالَهُمْ، فَكُلُّ مَا يَتَضَمَّنُ حِفْظَ هَذِهِ الْأُصُولِ الْخَمْسَةِ فَهُوَ مَصْلَحَةٌ، وَكُلُّ مَا يُفَوِّتُ هَذِهِ الْأُصُولَ فَهُوَ مَفْسَدَةٌ وَدَفْعُهَا مَصْلَحَةٌ.
Maksudnya: “Iaitu dengan memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta mereka. Maka, segala perkara yang mengandungi penjagaan terhadap lima asas ini dianggap sebagai maslahat dan segala perkara yang menyebabkan hilangnya asas-asas ini dianggap sebagai mafsadah, manakala menolak kemudaratan tersebut merupakan satu bentuk maslahat”.[4]
Hal ini kerana Islam merupakan satu agama yang amat mementingkan dan menjaga keselamatan manusia daripada terjebak kepada kebinasaan. Firman Allah SWT:
وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ
Maksudnya: “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.”
Surah Al-Baqarah (195)
Selain itu juga Nabi SAW juga telah berpesan kepada umatnya agar sentiasa menghindarkan diri daripada kemudaratan dan juga memudaratkan sebagaimana sabda Baginda SAW:
لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ
Maksudnya: “Tidak boleh seseorang itu memberi kemudaratan atau membalas kemudaratan dengan kemudaratan”.
(Riwayat Ibn Majah)
Sukan ekstrem lazimnya akan memberi kemudaratan terhadap tubuh badan dan nyawa. Dalam hal ini, para ulama telah membahaskan isu keterlibatan individu dalam sukan dan permainan yang ekstrem dan merbahaya. Menurut Ibn ‘Abidin, salah seorang ulama besar mazhab Hanafi:
وَكَذَا يَحِلُّ كُلُّ لَعِبٍ خَطَرٍ لِحَاذِقٍ تَغْلِبُ سَلَامَتُهُ كَرَمْيٍ لِرَامٍ وَصَيْدٍ لِحَيَّةٍ وَيَحِلُّ التَّفَرُّجُ عَلَيْهِمْ حِينَئِذٍ
Maksudnya: “Begitu juga, dibenarkan bagi sukan yang berbahaya bagi pemain profesional yang keselamatannya terjamin seperti pemanah, pemburu ular, dan diharuskan juga menonton aktiviti mereka ketika itu.”[5]
Mengikut pandangan Syeikh Yusuf al-Qaradawi, hukum asal bagi sukan atau permainan yang berisiko tinggi adalah harus. Ini dengan syarat sukan tersebut memiliki peraturan yang diiktiraf oleh pakar serta individu yang mahir dalam bidang berkenaan. Sukan ini juga mestilah boleh dipelajari, dikuasai dan dilatih secara sistematik sehingga seseorang itu mampu menjadi mahir dan profesional. Di samping itu, risiko yang ada boleh dielakkan atau diminimumkan melalui pematuhan langkah keselamatan yang telah ditetapkan, sehingga jarang berlaku kemudaratan yang besar.[6]
Menurut beliau lagi, secara asasnya sukan ekstrem adalah harus bagi individu yang benar-benar mahir dan berkemahiran tinggi serta mempunyai sangkaan kuat bahawa dirinya selamat daripada risiko yang membahayakan. Ini juga tertakluk kepada matlamat yang dibenarkan oleh syarak iaitu apabila penglibatan dalam sukan tersebut bertujuan memberi manfaat kepada masyarakat dan individu serta tidak disalahgunakan untuk mencederakan orang lain, melakukan pemerasan, menceroboh harta dan kehormatan, menzalimi orang awam atau menyokong kezaliman serta pihak yang menindas.[7]
Hal ini demikian kerana dalam prinsip syariah, sesuatu perkara yang bertujuan kepada keharaman, maka segala bentuk jalan atau wasilah yang membawa kepadanya turut dihukum haram. Syeikh Yusuf al-Qaradawi menyebutkan satu kaedah iaitu:
أن ما أدى إلى الحرام فهو حرام ، وما أعان على الحرام فهو حرام
Maksudnya: “Segala perkara yang menjadi penyebab kepada perkara haram adalah haram atau membantu pelaksanaan dalam perkara haram maka perbuatan tersebut juga haram”.
Beliau membuat kesimpulan bahawa sebarang penglibatan dalam sukan atau permainan yang berisiko tinggi mestilah berteraskan matlamat yang sah dan diiktiraf oleh syarak, di samping memberi faedah yang sepadan atau melebihi tahap risiko yang mungkin dihadapi, sama ada dari sudut manfaat fizikal, mental mahupun spiritual.[8]
Cadangan Garis Panduan bagi Sukan Ekstrem
- Sukan lasak tidak diharamkan secara mutlak dalam Islam selagi tidak melanggar prinsip-prinsip syarak.
- Islam menggalakkan penjagaan kesihatan dan kekuatan fizikal sebagai keperluan untuk melaksanakan tanggungjawab agama dan sosial.
- Penglibatan dalam sukan lasak mestilah dilakukan dengan penuh berhati-hati.
- Kepatuhan terhadap langkah keselamatan amat penting bagi mengelakkan kemudaratan.
- Niat yang betul dalam bersukan perlu dititikberatkan agar tidak terjerumus kepada perkara yang ditegah agama.
- Menilai tahap kecergasan diri sebelum melibatkan diri dalam sebarang aktiviti sukan ekstrem
- Tidak mengakibatkan kemusnahan terhadap alam sekitar seperti menjejaskan habitat semulajadi bagi haiwan, merosakkan tanaman dan tumbuhan, mencemarkan saliran air dan seumpamanya. Pelaksanaan aktiviti sukan yang tidak mengambil kira aspek kelestarian alam sekitar bukan sahaja boleh mengakibatkan kemusnahan alam, malah berisiko mengancam kehidupan manusia seperti ketidakjaminan sumber makanan, minuman dan ekonomi.
- Hendaklah mendapatkan nasihat daripada jurulatih bagi peralatan dan kaedah perlaksanaan sukan tersebut.
- Sebarang penglibatan dalam sukan atau permainan yang berisiko tinggi hendaklah mengangkat reputasi dan nama baik negara.
Rujukan:
[1] “Sukan lasak”, laman sesawang Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM), diakses pada 24 Jun 2025, https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=sukan+lasak&d=175768&
[2] “Extreme sport”, laman sesawang Cambridge Dictionary, diakses pada 24 Jun 2025, https://dictionary.cambridge.org/dictionary/english/extreme-sport
[3] Dr. Yusuf al-Qaradawi, Mausu’ah al-A’mal al-Kamilah. (Beirut:Dar al-Syamiah, 1444H) Jld. 18 Hlm. 405
والأصل في هذه الألعاب كلها: الجواز والمشروعية، ما لم تشتمل على محظور أو مفسدة، فيطرأ عليها التحريم.
وبعض هذه الألعاب قد ثبتت مشروعيتها بأحاديث صحاح وحسان. مثل : العدو ، والسباحة ، واللهو بالسهام ، واللعب بالحراب ، وركوب الخيل ، والمصارعة وغيرها ، وقد تحدثنا عنها من قبل .
وبعضها مباح بناء على المبدأ الشرعي المعروف ، وهو والأعمال الدنيوية هو الإباحة . أن الأصل في الأشياء
بالإضافة إلى أن كل ما يقوي البدن ، ويعود عليه بالعافية ، فهو أمر مشروع ، بل مستحب ، وقد يصل أحيانا إلى درجة الوجوب ، حسب درجة الحاجة إليه.
[4] Abu Hamid Muhammad bin Muhammad al-Ghazali, al-Mustasfa. (t.tp: Dar al-Kutub al-’Ilmiyyah, 1413H) Hlm. 174
المستصفى (ص: 174)
[5] Ibn ‘Abidin, Rad al-Mukhtar ala Al-Dur al-Mukhtar. (Beirut: Dar al-Fikr, 1412H) Jld. 6 Hlm. 404
[6] Dr. Yusuf al-Qaradawi, Mausu’ah al-A’mal al-Kamilah. (Beirut:Dar al-Syamiah, 1444H) Jld. 18 Hlm. 426
الأصل في هذه الألعاب التي تتضمن مخاطرات عالية : أن كل لعبة من هذه الألعاب إذا كان لها أصول وقواعد معترف بها عند أهلها المتخصصين فيها ، والمعروفين بها ، ويمكن اكتسابها وأخذها عنهم ، وتعلمها منهم ، ويستطيع أن يمهر فيها الماهرون ، ويتفوق المتفوقون ، كما يمكن تفادي أخطارها ، أو التقليل منها ، . وفق سنن الأسباب والمسببات ، بحيث لا يقع فيها ضرر كبير إلا نادرا ..
[7] Ibid.
أقول : الأصل في هذه الألعاب هو الجواز لمن حذقها وأتقنها ، وغلب على ظنه السلامة من أخطارها . إذا كان الهدف منها مشروعا ، بحيث يهدف من وراء اكتساب هذه المخاطرة إلى إفادة المجتمع ، وإفادة أفراده ، ولا يهدف إلى توظيف هذه المخاطرة في إيذاء الخلق ، أو ابتزازهم ، أو الاعتداء على أموالهم وحرماتهم ، أو ظلم الخلق ، أو تأييد ظالم طاغية ، أو نحو ذلك .
[8] Ibid.
فلا بد أن يكون هدف هذا العمل أو هذه الرياضة أو هذه اللعبة مشروعا ، وأن يكون من ورائها نفع مرجو للاعب أو للمجتمع ، يكافئ الخطر المخشو منها أو يزيد عليه ، سواء كان نفعا ماديا أو معنويا .