Pilihan Bahasa:

hubungi2maklumbalas2peta2

TINTA MUFTI BIL. 8/2025: PERJANJIAN HUDAIBIYAH – APLIKASI PADA MASA KINI

TintaMufti.jpeg

 

PERJANJIAN HUDAIBIYAH – APLIKASI PADA MASA KINI

Sulh al-Hudaibiyah atau Perjanjian Hudaibiyah merupakan satu memorandum persepakatan gencatan senjata antara masyarakat Islam dengan kaum Quraisy. Perjanjian ini terpatri pada 1 Zulkaedah akhir tahun ke-6 Hijrah bertempat di Hudaibiyah.

Permulaan perjalanan Baginda SAW untuk menunaikan umrah setelah menerima mimpi yang menggambarkan Baginda SAW dan para sahabat memasuki Masjidil Haram melaksanakan ibadah umrah dan bertawaf dalam keadaan aman. Lalu Baginda SAW memberitahu khabar gembira tersebut kepada para sahabat dan mencadangkan supaya membuat persediaan untuk menunaikan ibadah umrah. Baginda keluar bersama golongan Muhajirin dan Ansar yang menghimpunkan seramai lebih kurang 1400 orang menuju ke kota Mekah.[1] Perkara ini telah dirakamkan dalam al-Quran. Firman Allah SWT:

لَّقَدْ صَدَقَ ٱللَّـهُ رَسُولَهُ ٱلرُّءْيَا بِٱلْحَقِّ ۖ لَتَدْخُلُنَّ ٱلْمَسْجِدَ ٱلْحَرَامَ إِن شَآءَ ٱللَّـهُ ءَامِنِينَ مُحَلِّقِينَ رُءُوسَكُمْ وَمُقَصِّرِينَ لَا تَخَافُونَ ۖ فَعَلِمَ مَا لَمْ تَعْلَمُوا۟ فَجَعَلَ مِن دُونِ ذَٰلِكَ فَتْحًا قَرِيبًا

Maksudnya : “Demi sesungguhnya! Allah tetap menyatakan benar RasulNya dalam perkara mimpi itu dengan kenyataan yang sebenar; iaitu sesungguhnya kamu tetap akan memasuki Masjid Al-Haraam - insya Allah (pada masa yang ditentukanNya) - dalam keadaan aman (menyempurnakan ibadah umrah kamu) dengan mencukur kepala kamu, dan kalau (tidak pun) menggunting sedikit rambutnya, serta kamu tidak merasa takut (akan pengkhianatan musuh sehingga kamu keluar balik dari situ). (Allah menangguhkan berlakunya kenyataan itu) kerana Ia mengetahui (adanya faedah dalam penangguhan itu) yang kamu tidak mengetahuinya; maka Ia menyediakan sebelum (terlaksananya mimpi) itu, satu kemenangan yang dekat (masa berlakunya)”.

(Surah al-Fath : 27)

Terdapat beberapa faktor penyebab berlakunya Perjanjian Hudaibiyah antaranya ketegangan ketika berita tentang pergerakan kaum Muslimin sampai ke pengetahuan Quraisy yang menganggapnya sebagai ancaman terhadap kedaulatan mereka di Mekah. Selain itu juga berita terbunuhnya Saidina Usman bin Affan yang dihantar sebagai utusan meningkatkan lagi ketegangan antara kaum Muslimin dengan Quraisy.

Bagi meredakan ketegangan kedua belah pihak, kaum Quraisy mengutuskan Suhail bin Amr untuk merealisasikan perjanjian damai dan gencatan senjata antara kedua belah pihak, dalam masa yang sama perjanjian tersebut mesti memihak kepada pihak Quraisy. Perbincangan antara Suhail dengan Baginda SAW mengambil masa yang panjang sehingga kedua belah pihak bersetuju terhadap syarat berikut:

  1. Baginda Rasulullah perlu pulang pada tahun tersebut dan tidak dibenarkan memasuki Mekah. Pada tahun berikutnya, umat Islam dibenarkan memasuki Mekah dan tinggal di sana selama tiga hari. Mereka hanya dibenarkan membawa senjata musafir seperti pedang yang tersarung, manakala pihak Quraisy tidak boleh menghalang mereka dalam apa jua keadaan sekalipun.
  2. Sesiapa yang berhasrat untuk berada di bawah perlindungan dan jaminan Nabi Muhammad SAW, maka diizinkan. Begitu juga sebaliknya, sesiapa yang ingin bernaung di bawah perlindungan dan jaminan kaum Quraisy juga diizinkan. Kabilah-kabilah yang memilih untuk bersekutu dengan mana-mana pihak ini akan dianggap sebagai sebahagian daripada pihak tersebut. Oleh yang demikian, sebarang konflik yang dicetuskan oleh kabilah-kabilah tersebut akan dianggap sebagai konflik terhadap pihak yang mereka sertai.
  3. Sesiapa sahaja dalam kalangan Quraisy yang datang kepada Muhammad tanpa kebenaran walinya iaitu melarikan diri kepada Muhammad, hendaklah dikembalikan kepada pihak Quraisy. Manakala sesiapa sahaja yang bersama Muhammad jika datang kepada Quraisy iaitu melarikan diri daripada Muhammad, tidak akan dikembalikan.
  4. Gencatan senjata selama 10 tahun telah dipersetujui antara kedua belah pihak. Dalam tempoh ini, kedamaian akan dinikmati oleh semua. Setiap pihak bertanggungjawab untuk menghalang sebarang bentuk kekacauan.

Baginda SAW telah meminta Saidina Ali RA untuk menulis butiran perjanjian tersebut semasa proses penulisannya. Terdapat beberapa bantahan daripada pihak Quraisy yang diwakili oleh Suhail dengan meminta untuk menukarkan beberapa perkara. Dengan sikap toleransi Baginda SAW yang tinggi, Baginda SAW bersetuju untuk menukar lafaz "Bismillahirrahmanirrahim" kepada "Bismikallahumma", serta menukar gelaran "Rasulullah" kepada "Muhammad bin Abdullah", demi memastikan rundingan dapat diteruskan tanpa pertumpahan darah.

Perjanjian Hudaibiyah pada zahirnya dilihat menyebelahi pihak Quraisy oleh sebahagian para sahabat dan menimbulkan sedikit kegelisahan dan kerisauan. Ini kerana mereka menyangka akan dapat menunaikan umrah pada tahun tersebut. Keresahan ini dizahirkan secara terbuka oleh Saidina Umar bin al-Khattab RA yang akhirnya mendapat ketenangan setelah dijelaskan bahawa janji Allah tetap akan berlaku, walaupun bukan pada tahun itu. Sebagaimana firman Allah SWT yang diturunkan setelah perjanjian tersebut:

إِنَّا فَتَحْنَا لَكَ فَتْحًا مُّبِينًا

Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah membuka bagi perjuanganmu (wahai Muhammad) satu jalan kemenangan yang jelas nyata”.

(Surah al-Fath: 1)

Pengajaran dan Iktibar

  1. Konsep bermesyuarat dan syura dalam Islam: Baginda SAW berbincang dan bermesyuarat dengan para sahabat dalam pelbagai perkara ketika peristiwa Perjanjian Hudaibiyah. Ini menunjukkan pensyariatan syura serta kepentingan seorang pemimpin untuk berpegang dengannya.
  2. Pensyariatan perjanjian damai antara umat Islam dengan seterunya: Para ulama mengeluarkan hukum dibenarkan berdamai antara umat Islam dengan musuh yang diperanginya untuk satu tempoh yang tertentu berdasarkan kepada peristiwa ini. Jumhur ulama termasuk dalam kalangan Mazhab Syafie lebih cenderung kepada pandangan bahawa sesuatu perjanjian damai tidak boleh dilakukan melainkan tempohnya diketahui.
  3. Meminta bantuan daripada orang bukan Islam tanpa melibatkan peperangan: Nabi SAW mengutuskan perisik Bisyr bin Sufyan bertemu kaum Quraisy untuk mendapatkan maklumat tentang mereka. Sedangkan Bisyr adalah seorang musyrik daripada kabilah Khuza'ah.
  4. Daripada perdamaian menuju kemenangan: Peristiwa Hudaibiyah inilah yang merupakan titik tolak kepada pembukaan lembaran baru Islam serta tersebarnya Islam ke seluruh jazirah (semenanjung) tanah arab.
  5. Hikmah kelembutan Rasulullah SAW dalam rundingan: Sifat ini terserlah ketika perjanjian dimeterai atau ditulis antara Rasulullah SAW dengan Suhail.

Peristiwa Perjanjian Hudaibiyah ini mengajar supaya sentiasa bertenang dalam sesuatu tindakan, bersabar dalam menghadapi sesuatu keputusan demi mencapai matlamat yang lebih baik dan sentiasa melihat kepentingan pada masa hadapan dalam membuat sesuatu keputusan terutamanya dalam situasi yang mencabar. Tindakan secara berlembut dan merancang secara bijak lebih memberi kesan yang baik untuk jangka masa panjang sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dalam Perjanjian Hudaibiyah. Umat Islam perlu mengambil iktibar daripada sejarah Perjanjian Hudaibiyah khususnya bagaimana Rasulullah SAW menggunakan strategi yang bijaksana dalam menghadapi cabaran.

Rujuk artikel: https://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/bayan-linnas/2898-bayan-linnas-siri-ke-157-sulh-al-hudaibiyah-fiqh-pengajaran-dan-iktibar

Wallahu’alam

 

SAHIBUS SAMAHAH USTAZ AHMAD FAUWAZ BIN FADZIL
7 MUHARRAM 1447 / 3 JULAI 2025

 

Rujukan:

[1] Muhammad Sa’id Ramadan al-Buti, Fiqh al-Sirah al-Nabawiyyah. (Damsyik: Dar al-Fikr, 1426H) Hlm. 230

كان في شهر ذي القعدة، آخر سنة ست للهجرة. وسببها أنّ النّبي صلّى الله عليه وسلم أعلن في المسلمين أنه متوجّه إلى مكة معتمرا، فتبعه جمع كبير من المهاجرين والأنصار بلغ عددهم ألفا وأربع مئة تقريبا