Pilihan Bahasa:

hubungi2maklumbalas2peta2

TINTA MUFTI BIL. 24/2025: ISU SAMAN-MENYAMAN ATAS FITNAH

TintaMufti.jpg

 

ISU SAMAN-MENYAMAN ATAS FITNAH

Pada masa kini, perbuatan fitnah iaitu dengan mendakwa atau mengada-adakan tuduhan untuk memburukkan seseorang atau sesuatu pihak sangat berleluasa dalam masyarakat terutama di media sosial yang boleh tersebar dengan begitu pantas. Melakukan fitnah terhadap seseorang mukmin merupakan perbuatan yang haram dan ditegah. Allah SWT berfirman:

وَٱلَّذِينَ يُؤۡذُونَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ وَٱلۡمُؤۡمِنَٰتِ بِغَيۡرِ مَا ٱكۡتَسَبُواْ فَقَدِ ٱحۡتَمَلُواْ بُهۡتَٰنٗا وَإِثۡمٗا مُّبِينٗا

Maksudnya:Dan orang yang mengganggu serta menyakiti orang lelaki yang beriman dan orang perempuan yang beriman dengan perkataan atau perbuatan yang tidak tepat dengan sesuatu kesalahan yang dilakukannya, maka sesungguhnya mereka telah memikul kesalahan menuduh secara dusta, dan berbuat dosa yang amat nyata.”

Surah al-Ahzab (58)

Menurut Imam Ibn Kathir, ayat ini menjelaskan berkenaan dosa orang yang menuduh seseorang melakukan sesuatu yang dia tidak bersalah dan tidak pernah lakukan iaitu fitnah[1]. Tersebarnya fitnah-memfitnah memberikan kesan yang sangat buruk kepada masyarakat sehinggakan sesuatu berita palsu itu boleh dipercayai dan dipegang oleh sebahagian orang walaupun ia telah dibuktikan salah. Perkara ini boleh membawa kepada keganasan lain seperti buli siber, ugutan jenayah dan sebagainya.

Dalam Islam, syarak tidak menetapkan hukuman tertentu bagi pemfitnah melainkan hukuman hudud bagi orang yang menyatakan tuduhan zina tanpa membawa empat orang saksi. Perkara ini disebut sebagai hudud qazaf yang mengenakan hukuman 80 sebatan. Namun, syarak membenarkan pemerintah atau mahkamah untuk meletakkan hukuman bagi jenayah atau dosa yang tidak ditetapkan hukuman tertentu oleh syarak yang dinamakan hukuman takzir.

Apabila seseorang difitnah menyebabkan maruah dan reputasi tercemar, maka Islam membenarkan untuk mendapatkan keadilan dengan melalui proses undang-undang. Menyaman atas fitnah bukan tindakan membalas dendam, tetapi adalah bentuk tuntutan hak dan menghindari kezaliman.

Dari sudut perundangan Malaysia, terdapat peruntukan undang-undang iaitu Akta Fitnah 1957 yang membenarkan individu yang difitnah untuk menuntut saman sivil bagi menuntut ganti rugi atas kerosakan reputasi kerana fitnah yang dibuat. Dalam hal ini, plaintif perlu membuktikan bahawa kenyataan tersebut adalah fitnah, merujuk kepadanya secara langsung atau tidak langsung dan telah disebarkan kepada pihak ketiga. Jika perkara ini dapat dibuktikan, mahkamah boleh mengenakan ganti rugi terhadap pemfitnah bergantung kepada budi bicaranya .

Tindakan saman fitnah terhadap pemfitnah mempunyai hak syarak untuk membela nama baiknya bagi menghentikan penyebaran maklumat palsu dan membolehkan menuntut ganti rugi jika berlaku kerosakan terhadap maruah dan kehidupan. Hal ini selaras dengan konsep haqq al-Difa’ iaitu hak untuk membela diri dengan cara yang sah dan teratur daripada kezaliman dan tuduhan palsu. Selain itu, ia juga bertepatan dengan konsep pemeliharaan maruah yang merupakan salah satu daruriat yang dipelihara oleh syariah.

Yusuf al-Qaradawi menyatakan bahawa setiap individu dalam negara Islam mempunyai hak untuk mempertahankan maruah, harta[2] dan diri mereka melalui undang-undang syarie atau sivil yang tidak bertentangan dengan prinsip Islam. Selain itu, Dr. Wahbah al-Zuhaili pula menyebut bahawa menuntut hak melalui sistem kehakiman adalah sebahagian daripada hak sah individu dalam Islam selagi mana tidak melampaui batas dan dilakukan melalui saluran yang dibenarkan.[3]

Kesimpulannya, fitnah bukan sahaja merosakkan individu, malah menjejaskan keharmonian masyarakat secara umumnya. Justeru, tindakan menyaman atas fitnah tidak wajar dianggap sebagai permusuhan, sebaliknya sebagai ikhtiar menegakkan hak dan mendapatkan keadilan melalui sistem yang dibenarkan oleh syarak dan undang-undang negara. Islam mengiktiraf hak keperluan seseorang untuk melindungi maruah dan nama baiknya daripada dicemari. Islam tidak melarang seseorang mencari keadilan bahkan menggalakkan usaha menuntut keadilan apabila berlaku kezaliman terhadap dirinya. Dalam era digital ini, setiap individu perlu bertanggungjawab terhadap kata-kata dan tulisannya, kerana dosa dan implikasi undang-undang tidak mengenal sempadan sama ada di dunia mahupun di alam maya.

Terdapat individu hari ini difitnah melalui media sosial sama ada dituduh curang, mencuri, bahkan membunuh atau terlibat dengan kegiatan tidak bermoral tanpa sebarang bukti. Lebih-lebih lagi, masyarakat hari ini begitu mudah menjadi hakim menghakimi individu yang dituduh atau difitnah di media sosial walaupun belum dibicarakan dan dibuktikan bersalah. Fitnah seperti ini bukan sahaja memalukan, malah boleh menyebabkan seseorang kehilangan kerja, reputasi, dan ketenteraman hidup. Maka, tindakan menyaman bukan semata-mata soal duit, tetapi soal memulihkan nama dan kehormatan yang telah dicemarkan di samping mendidik masyarakat awam agar tidak menyebarkan budaya fitnah.

WaAllahua’lam

 

SAHIBUS SAMAHAH USTAZ AHMAD FAUWAZ BIN FADZIL
3 RABIULAKHIR 1447H / 25 SEPTEMBER 2025

 

Rujukan: 

[1] Ibnu Kathir, Tafsir al-Quran al-’Azim (Arab Saudi: Dar Ibn al-Jauzi, 1431H), 6:246.

[2] Al-Qaradawi, Yusuf. (1997). Fiqh al-Dawlah fi al-Islam: Manhajun Jadid li al-Fikr al-Siyasi al-Islami. Beirut: Mu'assasat al-Risalah.

[3] Al-Zuhaili, Wahbah. (1985). Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu. Damsyik: Dar al-Fikr al-Mu’asir.