Pilihan Bahasa:

hubungi2maklumbalas2peta2

TINTA MUFTI BIL. 38/2025: BUDAYA SONGSANG MELAWANI FITRAH

TintaMufti.jpg

BUDAYA SONGSANG MELAWANI FITRAH

Mukadimah

Fenomena kecenderungan sejenis yang mencabar fitrah dan nilai kemanusiaan yang sering dirujuk sebagai budaya songsang, semakin mendapat tumpuan umum dan mula diterima sebagai normal oleh sesetengah pihak seperti mana yang berlaku di sesetengah negara barat. Amalan ini sering diuar-uarkan sebagai pilihan gaya hidup alternatif. Walau bagaimanapun, menurut syarak dan prinsip akhlak Islam amalan ini diklasifikasikan sebagai perbuatan yang menyanggahi fitrah (mukhalafah al-fitrah). Normalisasi hubungan sejenis membawa implikasi moral dan sosial yang serius kepada masyarakat.

Syariah Islam menetapkan bahawa hubungan sejenis adalah perbuatan yang dilaknat dan termasuk dalam kategori dosa besar (kaba’ir). Dalam sebuah hadis daripada Ibn ‘Abbas RA, Nabi SAW bersabda:

مَنْ وَجَدْتُمُوهُ يَعْمَلُ عَمَلَ قَوْمِ لُوطٍ، فَاقْتُلُوا الْفَاعِلَ وَالْمَفْعُولَ بِه

Maksudnya: Sesiapa yang kamu dapati melakukan perbuatan kaum Lut, maka bunuhlah kedua-dua pelakunya.

(Riwayat Ibn Majah)

Hadis ini menggambarkan ketegasan syarak dalam menolak perbuatan yang merosakkan fitrah manusia dan membuka pintu kepada keruntuhan moral masyarakat. Dalam riwayat lain, Nabi SAW turut bersabda:

إِنَّ أَخْوَفَ مَا أَخَافُ عَلَى أُمَّتِي عَمَلُ قَوْمِ لُوطٍ

Maksudnya: Sesungguhnya perkara yang paling aku takutkan atas umatku ialah perbuatan kaum Lut.

(Riwayat al-Tirmizi)

Peringatan keras ini menjelaskan bahawa antara tujuan utama maqasid syariah ialah menjaga maruah, akhlak dan kesejahteraan sosial masyarakat. Justeru, setiap amalan yang boleh mengundang kerosakan moral atau menggugat struktur masyarakat wajib dielakkan dan dicegah demi memelihara kesejahteraan ummah keseluruhannya.

Al-Quran merekodkan dengan jelas bahawa hubungan sejenis adalah amalan kaum Nabi Lut AS yang membawa kepada azab dan kehancuran mereka. Allah SWT berfirman:

وَلُوطًا إِذْ قَالَ لِقَوْمِهِ أَتَأْتُونَ الْفَاحِشَةَ مَا سَبَقَكُم بِهَا مِنْ أَحَدٍ مِّنَ الْعَالَمِينَ ﴿٨٠﴾ إِنَّكُمْ لَتَأْتُونَ الرِّجَالَ شَهْوَةً مِّن دُونِ النِّسَاءِ ۚ بَلْ أَنتُمْ قَوْمٌ مُّسْرِفُونَ ﴿٨١﴾ وَمَا كَانَ جَوَابَ قَوْمِهِ إِلَّا أَن قَالُوا أَخْرِجُوهُم مِّن قَرْيَتِكُمْ ۖ إِنَّهُمْ أُنَاسٌ يَتَطَهَّرُونَ ﴿٨٢﴾ فَأَنجَيْنَاهُ وَأَهْلَهُ إِلَّا امْرَأَتَهُ كَانَتْ مِنَ الْغَابِرِينَ ﴿٨٣﴾ وَأَمْطَرْنَا عَلَيْهِم مَّطَرًا ۖ فَانظُرْ كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الْمُجْرِمِينَ

Maksudnya: Dan Nabi Lut juga (Kami utuskan). Ingatlah ketika ia berkata kepada kaumnya: "Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari penduduk alam ini sebelum kamu? "Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas". Dan tidak ada jawab dari kaumnya selain daripada berkata: "Usirlah mereka (Nabi Lut dan pengikut-pengikutnya yang taat) dari bandar kamu ini, sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang (mendakwa) mensucikan diri". Maka Kami selamatkan dia dan keluarganya (serta pengikut-pengikutnya) melainkan isterinya, adalah ia dari orang-orang yang dibinasakan. Dan Kami telah menghujani mereka dengan hujan (batu yang membinasakan). Oleh itu, lihatlah, bagaimana akibat orang-orang yang melakukan kesalahan.

Surah al-A'raf (80-84)

Syeikh Sya’rawi dalam tafsirnya menjelaskan bahawa perbuatan kaum Nabi Luth merupakan satu bentuk penyimpangan yang sangat buruk. Ia adalah perbuatan keji lagi hina, melampaui batas fitrah manusia, bertentangan dengan tatasusila serta bercanggah dengan akal yang waras. Menurut beliau, hanya jiwa yang tidak sihat dan rosak sanggup melakukan perbuatan demikian.[1]

Disebabkan kecenderungan mereka yang menyimpang itu, martabat dan kehormatan mereka jatuh ke tahap yang paling rendah, bahkan lebih rendah daripada haiwan. Ini kerana haiwan jantan mendatangi betina bukan sekadar untuk memenuhi nafsu, tetapi juga bagi meneruskan keturunan. Sebaliknya, manusia yang terlibat dalam hubungan sesama jenis hanya menurut dorongan nafsu semata-mata.

Perkahwinan antara lelaki dan wanita ditetapkan oleh syariat Islam sebagai landasan fitrah untuk membentuk keluarga, melahirkan zuriat dan mengekalkan kestabilan sosial. Antara hikmah utama penetapan ini termasuklah:

  1. Memelihara Keturunan (hifz al-nasl): Menjamin kesinambungan umat dan keturunan.
  2. Mengawal Syahwat: Menyediakan saluran yang halal untuk memenuhi keperluan naluri.
  3. Membina Kesejahteraan: Mencapai ketenangan emosi dan rohani dalam ikatan perkahwinan.

Rasulullah SAW turut bersabda:

تَزَوَّجُوا الوَدُودَ الوَلودَ ، فإني مُكَاثِرٌ بكم الأنبياءَ يومَ القيامةِ

Maksudnya: Berkahwinlah kamu dengan wanita penyayang dan yang subur (boleh melahirkan anak), kerana sesungguhnya aku berbangga dengan banyaknya umatku pada hari Kiamat.

(Riwayat Imam Ahmad)

Amalan songsang bukan sekadar menolak hikmah yang terkandung dalam kejadian manusia, bahkan merosakkan struktur semula jadi manusia itu sendiri. Hubungan sejenis adalah penyimpangan daripada fitrah semula jadi dan boleh mengakibatkan kekeliruan identiti serta masalah psikososial dalam kalangan masyarakat.

Apabila budaya songsang dinormalisasikan, ia membawa implikasi besar antaranya:

  • Hilangnya sifat malu (haya’) yang merupakan cabang iman.
  • Kecelaruan identiti dan gangguan nilai generasi muda.
  • Melemahkan maruah diri dan integriti moral seorang Muslim.
  • Membuka ruang kepada normalisasi maksiat yang lain.

Ancaman Hubungan Sejenis Kepada Maqasid Syariah dan Kestabilan Negara

Akhlak merupakan tunjang utama kekuatan ummah. Kemerosotan akhlak secara langsung akan meruntuhkan ketahanan moral dan spiritual masyarakat. Dalam konteks kerangka Maqasid Syariah, amalan hubungan sejenis (songsang) membawa implikasi negatif yang serius terhadap dua aspek kritikal pembinaan negara:

Maqasid al-Tadayyun (Pemeliharaan dan Keteguhan Agama)

  1. Melemahkan Kefahaman Agama: Amalan menormalisasikan perkara yang jelas haram akan mengikis asas kefahaman agama.
  2. Mencabar Kewibawaan Syarak: Ia secara terbuka menentang dan meragui kewibawaan nas-nas syarak.
  3. Menimbulkan Kekeliruan: Garis panduan antara halal dan haram menjadi kabur, mengundang kekeliruan dalam masyarakat.

Maqasid al-‘Umran (Pemeliharaan dan Kestabilan Sosial serta Tamadun)

  1. Mengancam Institusi Kekeluargaan: Konsep keluarga yang hakiki berteraskan hubungan lelaki dan wanita akan terancam.
  2. Menjejaskan Kelangsungan Generasi: Kadar kelahiran merosot, sekali gus menjejaskan kesinambungan generasi dan populasi negara.
  3. Meruntuhkan Struktur Sosial: Asas struktur sosial masyarakat akan menjadi rapuh dan tidak kukuh.

Perlu diingat bahawa kestabilan dan kemajuan sesebuah negara tidak hanya bergantung kepada kekuatan ekonomi, tetapi lebih utama pada kekuatan institusi kekeluargaan dan moral yang dipegang teguh oleh setiap rakyatnya.

Penutup

Budaya songsang merupakan ancaman serius terhadap nilai fitrah, akhlak individu dan masa depan negara. Justeru, antara langkah-langkah komprehensif perlu diambil bagi membendung gejala ini adalah seperti berikut:

  1. Pengukuhan Pendidikan: Memberikan pendidikan yang didasarkan pada ilmu dan kefahaman syariah yang mendalam.
  2. Pemerkasaan Institusi Kekeluargaan: Menguatkan peranan dan fungsi institusi keluarga sebagai benteng utama.
  3. Penyebaran Dakwah Berhikmah: Melaksanakan penerangan agama secara bijaksana, berhikmah dan berkesan.
  4. Kolaborasi Strategik: Mewujudkan kerjasama yang erat antara ibu bapa, masyarakat dan pihak berkuasa.
  5. Perumusan Dasar Negara: Membina dasar-dasar negara yang selaras dengan tujuan syarak dalam memelihara agama (Maqasid al-Tadayyun) dan membangunkan peradaban negara (Maqasid al-‘Umran).

Apabila masyarakat teguh berpandukan nilai agama yang sahih, negara akan menikmati keamanan, kemakmuran dan sentiasa berada dalam keberkatan Allah SWT. Justeru, pertahankanlah keamanan yang telah terbina ini dan janganlah ia diruntuhkan dengan budaya dan perilaku songsang yang tidak bermoral dan bercanggah dengan kelestarian manusia.

Wallahu a‘lam.

 

SAHIBUS SAMAHAH USTAZ AHMAD FAUWAZ BIN FADZIL
10 JAMADILAKHIR 1447H / 1 DISEMBER 2025

Rujukan:

[1] Muhammad Mutawali al-Sya’rawi, Tafsir al-Sya’rawi (Mutabi’ Akhbar al-Yaum, t.t.), jld. 7: hlm. 4228..