Pilihan Bahasa:

hubungi2maklumbalas2peta2

TINTA MUFTI BIL. 48/2025: HUKUM COACH CERAI

TintaMufti.jpg

HUKUM COACH CERAI

Mukadimah

Alhamdulilah, segala puji dan syukur kami ucapkan kepada Allah SWT. Selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti baginda sehingga hari kiamat.

Tular isu ‘coach cerai’ di media sosial berhubung isu rumah tangga individu terkenal. Perkara ini telah menyentuh urusan dan pentadbiran hal ehwal Islam iaitu perkahwinan orang Islam yang mana ia perlu dirujuk dan ditangani oleh pihak autoriti yang sah.

Penggunaan istilah dan pendekatan berkaitan kekeluargaan Islam yang mengelirukan seperti ‘coach cerai’ perlu dikawal bagi memastikan kefahaman masyarakat tidak tersasar sehingga membawa kepada kegusaran awam sejajar dengan penegasan yang dibuat oleh Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam kenyataannya.

Kelayakan Memberi Nasihat atau Khidmat Kaunseling Keluarga

Dalam Islam, memberi nasihat atau kaunseling merupakan satu amalan yang mulia namun kelayakan dalam memberi khidmat tersebut juga merupakan perkara yang perlu dititikberatkan. Lebih-lebih lagi apabila nasihat atau kaunseling tersebut menyentuh isu kritikal seperti perkahwinan dan perceraian yang melibatkan hukum syarak, hak serta tanggungjawab suami dan isteri. Islam menegaskan bahawa urusan yang berkait dengan agama hendaklah dirujuk kepada mereka yang berilmu dan memahami hukum syarak sebagaimana firman Allah SWT:

وَمَا أَرْسَلْنَا مِن قَبْلِكَ إِلَّا رِجَالًا نُّوحِي إِلَيْهِمْ ۚ فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Dan tidaklah Kami mengutus Rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad), melainkan dari kalangan orang-orang lelaki, yang Kami wahyukan kepada mereka. Oleh itu bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan ugama jika kamu tidak mengetahui.”

Surah al-Nahl (43)

Nasihat dalam urusan agama yang tidak berpaksikan al-Quran, hadis dan pandangan ulama berisiko membawa kepada kekeliruan walaupun disampaikan dengan niat yang baik. Oleh itu, kelayakan seseorang untuk memberi nasihat dalam hukum perkahwinan dan perceraian orang Islam bukan hanya diukur melalui pengalaman hidup atau kebolehan bercakap tetapi melalui kefahaman yang sahih terhadap syariat Islam.

Pemberian Nasihat yang Tidak Bersandarkan Agama

Nasihat sesama manusia boleh diberikan dengan niat yang baik, namun ia tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada pandangan peribadi semata-mata. Dalam konteks perkahwinan dan perceraian, isu yang dibincangkan melibatkan emosi, tanggungjawab serta ketetapan hukum agama yang mendalam. Nasihat yang tidak bersandarkan panduan agama mungkin sekadar meredakan perasaan tetapi berisiko mengabaikan prinsip dan batas syarak. Hukum memberi nasihat tanpa sandaran agama seperti berikut:

1. Harus dalam perkara umum

Dalam Islam, harus seseorang memberi nasihat dalam perkara teknikal atau pengalaman hidup seperti komunikasi, pengurusan emosi, cara berbincang secara matang dan seumpamanya selagi tidak bercanggah dengan syariat serta tidak menyentuh hukum agama.

2. Tidak harus jika melanggar syariat

Nasihat tidak lagi dibenarkan apabila ia menyimpang daripada garis panduan dan ketetapan syariat seperti menghalalkan perkara yang telah diharamkan termasuk mendorong kepada perceraian tanpa sebab yang dibenarkan menurut syarak. Ia juga tidak dibenarkan apabila nasihat tersebut memperkecilkan kepentingan sifat sabar dan usaha perdamaian (sulh) dalam rumah tangga. Selain itu, nasihat yang mempromosikan kebencian terhadap institusi perkahwinan atau terhadap lelaki dan wanita secara umum turut tergolong sebagai perbuatan yang tidak harus. Begitu juga, menjadi satu kesalahan mengajak untuk melawan wali atau suami mahupun mengingkari keputusan mahkamah syariah tanpa asas yang sah kerana tindakan sedemikian boleh membawa kepada kerosakan dan kekeliruan dalam memahami hukum agama.

Mendapatkan Khidmat Nasihat dan Kaunseling melalui Saluran yang Betul

Islam tidak menafikan perceraian, namun ia diletakkan sebagai jalan terakhir setelah usaha perdamaian dilakukan dengan hikmah dan keadilan. Dalam isu perceraian, al-Quran menekankan keperluan islah (perdamaian) apabila berlaku perselisihan antara suami dan isteri sebagaimana firman-Nya:

وَإِنِ امْرَأَةٌ خَافَتْ مِن بَعْلِهَا نُشُوزًا أَوْ إِعْرَاضًا فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِمَا أَن يُصْلِحَا بَيْنَهُمَا صُلْحًا ۚ وَالصُّلْحُ خَيْرٌ ۗ

Maksudnya: “Dan jika seorang perempuan bimbang akan timbul dari suaminya "nusyuz" (kebencian), atau tidak melayaninya, maka tiadalah salah bagi mereka (suami isteri) membuat perdamaian di antara mereka berdua (secara yang sebaik-baiknya), kerana perdamaian itu lebih baik (bagi mereka daripada bercerai-berai).”

Surah al-Nisa’ (128)

Melalui pendekatan islah tersebut, masyarakat Malaysia terutamanya umat Islam boleh mendapatkan khidmat runding cara dan kaunseling keluarga melalui pihak yang berkelayakan dan berilmu bukan semata-mata melalui pandangan individu yang tidak terikat dengan disiplin ilmu dan hukum. Antara pihak yang diiktiraf dalam bidang runding cara terutamanya berhubung isu keluarga Islam ialah para kaunselor bertauliah, pegawai kaunseling keluarga Islam, pegawai hal ehwal Islam serta pihak berautoriti seperti mahkamah syariah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN). Golongan ini bukan sahaja terlatih dari sudut psikologi dan pengurusan emosi, malah memahami batasan hukum syarak serta keutamaan konsep islah sebelum mengambil sebarang keputusan drastik. Pendekatan yang digunakan juga lebih menyeluruh dan adil tanpa mengabaikan aspek agama, akhlak dan kesejahteraan jangka panjang.

Sebaliknya, mendapatkan nasihat melalui saluran yang tidak jelas kelayakannya khususnya daripada individu yang tidak mempunyai asas ilmu agama atau latihan profesional boleh mendatangkan risiko yang besar. Nasihat yang bersifat emosional, berat sebelah atau bertentangan dengan syariat berpotensi mendorong kepada keputusan tergesa-gesa dan menambah keretakan dalam rumahtangga. Lebih membimbangkan apabila individu yang sedang tertekan menerima sokongan yang mengesahkan kemarahan atau kekecewaan tanpa bimbingan yang benar dan boleh membawa kepada tindakan yang akhirnya disesali.

Penutup

Isu ‘coach cerai’ yang tular memberi pengajaran bahawa memberi nasihat berkaitan perkahwinan dan perceraian memerlukan ilmu, kefahaman dan bimbingan yang tepat. Nasihat yang tidak bersandarkan syariat atau datang daripada pihak yang tidak berkelayakan bukan sahaja boleh mengelirukan, malah berpotensi merosakkan rumah tangga dan menjejaskan kesejahteraan emosi pasangan. Masyarakat perlu sedar bahawa Islam menekankan pendekatan berhemah melalui islah dan rundingan yang adil sebelum mengambil sebarang tindakan drastik. Oleh itu, mendapatkan nasihat daripada pihak berautoriti seperti kaunselor bertauliah, jabatan agama Islam negeri atau mahkamah syariah bukan sahaja melindungi hak dan tanggungjawab suami isteri, malah memastikan setiap keputusan dibuat dengan hikmah, berpandukan syariat dan memberi manfaat jangka panjang. Kesedaran ini penting untuk membina masyarakat yang bijak dalam menilai nasihat, memelihara institusi keluarga dan mengelak daripada kerosakan yang boleh dielakkan.

Wallahu a'lam

 

SAHIBUS SAMAHAH USTAZ AHMAD FAUWAZ BIN FADZIL
29 JAMADILAKHIR 1447H / 20 DISEMBER 2025