Pilihan Bahasa:

hubungi2maklumbalas2peta2

TINTA MUFTI BIL. 59/2026: PERANCANGAN KEWANGAN MENJELANG HARI TUA: ANTARA IKHTIAR, TAWAKAL DAN KEBERGANTUNGAN KEPADA ALLAH SWT

TintaMufti.jpg

Kemiskinan di usia tua merupakan isu yang semakin membimbangkan dan wajar diberi perhatian serius oleh semua. Peningkatan kos sara hidup, jangka hayat yang semakin panjang, serta perubahan struktur sokongan keluarga menyebabkan sebahagian warga emas berdepan kesukaran untuk memenuhi keperluan asas kehidupan. Lebih merisaukan, terdapat dalam kalangan mereka yang terpaksa bergantung sepenuhnya kepada ihsan ahli keluarga atau bantuan masyarakat akibat kegagalan merancang kewangan sejak usia muda.

Dalam Islam, rezeki setiap manusia telah ditetapkan dan ditulis oleh Allah SWT sejak sebelum seseorang itu dilahirkan ke dunia lagi sebagai sebahagian daripada ketentuan-Nya yang Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana. ‘Abdullah bin Masʻud RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إنَّ أحدَكم يُجْمَعُ خَلْقُهُ في بطنِ أمِّه أربعينَ يومًا ، ثم يكونُ علقةً مثلَ ذلك ، ثم يكونُ مضغةً مثلَ ذلك ، ثم يُرسلُ اللهُ تعالى إليه الملكَ فينفخُ فيه الروحَ، ويُؤمرُ بأربعِ كلماتٍ : رزقُه و أجلُه و عملُه و شقيٌّ أم سعيدٌ

Maksudnya:Sesungguhnya seseorang dari kamu dikumpulkan penciptaannya di dalam perut ibunya sebagai setitis air mani dalam masa empat puluh hari, kemudian menjadi segumpal darah dalam masa empat puluh hari berikutnya, kemudian menjadi seketul daging dalam masa empat puluh hari yang berikutnya, kemudian dihantar kepadanya malaikat, lalu ditiup kepadanya rohnya dan ditulis baginya akan empat kalimah, iaitu ditentukan akan rezekinya, ajalnya, amalannya dan sama ada ia seorang yang celaka atau seorang yang berbahagia.

[Riwayat al-Bukhari]

Sungguhpun tawakal merupakan satu tuntutan di dalam Islam, namun tawakal sebenar yang dituntut tidak pernah menafikan kewajipan untuk berusaha dan merancang, bahkan kedua-duanya saling melengkapi antara satu sama lain. Hal ini demikian kerana mizan bertawakal adalah termasuk mizan akidah dan iman yang menuntut kita mempercayai bahawa rezeki manusia sememangnya datang dari Allah SWT, tanpa menafikan mizan berusaha dan beramal di dunia yang menuntut kepada al-akhzu bilasbab, iaitu dengan melaksanakan sebab-sebab yang dibenarkan syarak sebelum menyerahkan natijah dan hasil akhirnya kepada Allah SWT dengan penuh kebergantungan dan reda. Rasulullah SAW sendiri mengajar umatnya agar mengikat unta terlebih dahulu sebelum bertawakal, seperti yang dapat difahami daripada hadis yang diriwayatkan oleh ‘Amru bin Umayyah RA berikut:

قال رجُلٌ لِلنَّبيِّ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم: أُرسِلُ ناقتي وأتوكَّلُ ؟ قال : ( اعقِلْها وتوكَّلْ )

Maksudnya:Seorang lelaki bertanya kepada Nabi Muhammad SAW: “Adakah aku harus melepaskan untaku dan bertawakal?” Maka Baginda SAW bersabda: “Ikatlah ia terlebih dahulu, kemudian bertawakallah.

[Riwayat Ibn Hibban]

Sehubungan dengan itu, perancangan kewangan juga merupakan salah satu aspek yang turut ditekankan oleh Islam. Sungguhpun kita dituntut untuk bertawakal dan meyakini rezeki yang telah ditetapkan oleh Allah SWT, namun Islam turut menuntut kita untuk membuat perancangan kewangan. Jika disorot kisah Nabi Yusuf AS yang diceritakan di dalam Surah Yusuf ayat ke-47 hingga ke-49 kita dapat mengambil pengajaran bahawa perancangan pengurusan kewangan adalah salah satu perkara yang dituntut, seperti Baginda AS merancang simpanan hasil pertanian pada waktu senang untuk menghadapi masa sukar.

Dalam konteks Malaysia, pelbagai perancangan kewangan boleh dilakukan oleh setiap individu dalam menghadapi masa tua, sama ada melalui program-program yang disediakan oleh agensi Kerajaan seperti caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), mahupun melalui agensi-agensi swasta seperti simpanan persaraan, perlindungan takaful serta perancangan harta bagi menjamin kestabilan dan kelangsungan kehidupan pada usia emas.

Selain itu, antara perkara lain yang boleh dilakukan untuk menghadapi usia tua ialah dengan merancang perbelanjaan iaitu dengan berjimat dan hanya berbelanja mengikut keperluan. Sikap berbelanja melebihi kemampuan hanya memenuhi kehendak adalah bercanggah dengan tuntutan syarak untuk bersederhana dan tidak boros. Tambahan pula, sikap ini boleh menyebabkan pertambahan hutang yang tidak baik dan membebankan bukan sahaja diri sendiri, malahan ahli keluarga dan waris yang terpaksa menanggung bebanan hutang tersebut.

Dalam menghadapi usia tua, individu yang mempunyai lebihan kewangan disarankan untuk membuat perancangan rapi dengan melabur dalam instrumen pelaburan patuh syariah yang sah dan berdaftar. Segala pelaburan yang ingin dibuat pula mestilah berdasarkan ilmu yang betul, bukannya dibuat secara rawak. Pada masa yang sama, masyarakat perlu menjauhi skim cepat kaya yang menjanjikan pulangan luar biasa tanpa risiko kerana ia sering bercanggah dengan prinsip syariah dan berpotensi membawa kerugian besar.

Selain itu, sikap berhati-hati amat penting bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan atau scammer dengan sentiasa menyemak kesahihan tawaran pelaburan, tidak mudah terpengaruh dengan janji manis, serta mendapatkan nasihat daripada pihak berautoriti sebelum membuat sebarang keputusan kewangan. Segala tawaran pelaburan yang tersebar di Internet mesti disemak dahulu melalui pihak pengawal selia seperti Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, bukan bergantung sepenuhnya kepada penceritaan ataupun dakwaan yang dibuat oleh individu atau syarikat yang menawarkan pelaburan tersebut.

Sebagai penutup, perancangan kewangan menjelang usia tua merupakan satu keperluan yang perlu diberi perhatian serius dengan mengimbangi antara ikhtiar, perancangan yang bijaksana dan tawakal kepada Allah SWT. Islam menuntut umatnya berusaha mengurus harta secara sederhana, berhemah dan patuh syariah, tanpa mengabaikan kebergantungan penuh kepada ketentuan-Nya.

Semua lapisan masyarakat sama ada yang masih muda mahupun yang sudah hampir ke usia persaraan dinasihatkan untuk meningkatkan literasi kewangan dengan mempelajarinya daripada sumber yang betul. Diharapkan dengan kesedaran ini dapat membentuk masyarakat yang lebih bersedia menghadapi usia emas dengan kehidupan yang sejahtera, bermaruah dan diberkati, serta terhindar daripada kesempitan hidup pada hari tua.

 

Wallāhu A’lam

 

SAHIBUS SAMAHAH USTAZ AHMAD FAUWAZ BIN FADZIL

17 REJAB 1447H / 7 JANUARI 2026