Pilihan Bahasa:

hubungi2maklumbalas2peta2

TINTA MUFTI BIL. 66/2026: SUARA SEBAGAI AMANAH DAN WASILAH DAKWAH

TintaMufti.jpg

 TINTA MUFTI : SUARA SEBAGAI AMANAH DAN WASILAH DAKWAH

Mukadimah

Hari Suara Sedunia (World Voice Day) yang diraikan pada 16 April setiap tahun bukan sekadar sambutan, namun terdapat mesej utama bagi meningkatkan kesedaran global tentang kepentingan suara dan penjagaannya. Antara aspek lain yang perlu ditekankan termasuklah kesihatan suara dan adab dalam melontarkan nada kerana ia merupakan nadi kepada komunikasi yang berkesan dalam hubungan sosial seharian serta menyumbang kepada peningkatan kualiti hidup.[1] Sementara itu, dakwah melalui lisan tidak akan menembusi jiwa-jiwa tanpa kehadiran lontaran suara yang dinamik. Perkara tersebut membuktikan bahawa syiar islam tersebar dengan penyampaian susunan kata sebagai wasilah penghubung umat Islam. Tambahan pula, seni vokal juga berperanan sebagai aplikasi dalam pelbagai bidang kehidupan.

Kesihatan Suara sebagai Amanah Syarak

Tanpa disedari, salah satu amanah Allah SWT terhadap tubuh kita yang sering diabaikan ialah penjagaan suara dan kesihatannya.[2] Ironinya, kesedaran penjagaan suara masih rendah, walaupun suara penting untuk komunikasi dan ibadah.[3] Setiap juzuk penciptaan anggota tubuh manusia bukanlah sia-sia. Setiap anggota memainkan peranan penting dalam kehidupan harian. Justeru itu, peliharalah amanah ini termasuk suara dan kesihatannya seperti yang ditegaskan dalam sabda Nabi SAW:

فَإِنَّ لِجَسَدِكَ عَلَيْكَ حَقًّا

Maksudnya: “Tubuh badanmu mempunyai hak ke atas dirimu.”[4]

Riwayat Bukhari

Berdasarkan hadis diatas, Al-Muhalab menyatakan bahawa hak tubuh untuk mengekalkan tenaga yang cukup untuk meneruskan aktiviti. Sekiranya seseorang memaksa dirinya dengan seluruh tenaganya hingga keletihan, ia akan terhalang daripada beribadah dan menjadi lemah.[5] Menjalankan dakwah dengan lisan juga sebagai satu ibadah umum.

Adab Melontarkan Suara

Antara adab melontarkan suara ketika berbicara dalam urusan harian termasuklah tidak meninggikan suara dengan memekik sebaliknya bertutur dengan nada yang sederhana dan berhemah. Hal ini berdasarkan petunjuk dalil firman Allah SWT:

وَاقْصِدْ فِي مَشْيِكَ وَاغْضُضْ مِنْ صَوْتِكَ إِنَّ أَنْكَرَ الْأَصْواتِ لَصَوْتُ الْحَمِيرِ

Maksudnya“Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai.”

Surah Luqman (19)

Ayat diatas menunjukkan perintah untuk merendahkan suara dan larangan meninggikannya ketika berbicara kerana suara yang paling buruk dan paling dibenci adalah suara keldai yang cukup dikenali dengan kedunguan suaranya yang kuat memekik. Ini merupakan adab yang Allah SWT ajarkan kepada hamba-Nya supaya mereka meninggalkan perbuatan menjerit atau meninggikan suara di hadapan manusia. Tujuannya adalah agar tidak meremehkan orang lain atau meninggalkan perbuatan berteriak sama sekali. Dahulu, orang Arab berbangga dengan suara yang lantang dan dianggap paling dihormati, manakala suara yang lembut sering dipandang rendah.[6]

Sehubungan itu, melembutkan dan merendahkan suara adalah adab penting yang sering diabaikan. Syariah telah melarang meninggikan suara tanpa alasan munasabah. Lebih-lebih lagi, penting untuk membezakan adab suara dalam komunikasi harian mengikut suasana. Nada suara di pasar berbeza dengan adab di masjid. Di masjid, suara perlu direndahkan untuk menghormati orang yang sedang beribadah dan menjaga kesucian rumah Allah SWT. Sebaliknya, kebisingan dan nada tinggi di pasar menandakan kemeriahan suasana dan sifatnya bersifat sosial. Yang pasti, orang yang meninggikan suara, marah atau menjerit tanpa sebab tergolong dalam tegahan syarak dan diumpamakan seperti suara keldai.

Dakwah dari lisan ke hati

Menelusuri sejarah Islam, al-Quran disampaikan melalui suara Jibril AS dan disebarkan serta dihafal secara lisan oleh para sahabat RA. Selain itu, laungan azan lima kali sehari menjadi peringatan masuknya waktu solat. Contoh-contoh ini jelas menunjukkan bahawa syiar Islam berkembang bukan sahaja melalui tulisan, tetapi juga melalui lontaran suara. Suara berperanan sebagai wasilah yang menghubungkan hati umat Islam, menyampaikan mesej, meneguhkan penghayatan ibadah serta dakwah.

Suara adalah anugerah Rabbani dan kurniaan yang amat bernilai daripada Allah SWT. Ia merupakan aset utama dan alat fitrah yang paling ampuh bagi seorang sebagai khatib atau pemidato. Seorang yang dikurniakan suara lantang, lunak dan indah lebih berupaya menyampaikan ucapan dengan cemerlang. Suara seperti ini memudahkan kefahaman dan memberi pencerahan berbanding mereka yang tidak memiliki nikmat serupa.[7]

Selain itu, dakwah melalui lisan tidak akan menembusi jiwa tanpa lontaran suara yang dinamik. Oleh yang demikian, medan dakwah tidak akan sempurna tanpa wasilah seni vokal yang mampu menggetarkan hati pendengar. Hal ini selari dengan kaedah fiqh:

ما لا يتم الواجب إلا به فهو واجب

Maksudnya: “Suatu kewajipan yang tidak sempurna melainkan dengannya maka ia juga wajib”

Petunjuk dalam menyampaikan dakwah menunjukkan bahawa lontaran suara yang dinamik sangat penting. Suara perlu disesuaikan mengikut mesej yang disampaikan sama ada untuk memberi khabar gembira (targhib) atau menyampaikan peringatan (tarhib). Hal ini jelas berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Jabir RA:

وَعَنْ جَابِرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: «كَانَ رَسُولُ اللَّهِ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - إذَا خَطَبَ احْمَرَّتْ عَيْنَاهُ وَعَلَا صَوْتُهُ، وَاشْتَدَّ غَضَبُهُ، حَتَّى كَأَنَّهُ مُنْذِرُ جَيْشٍ يَقُولُ: صَبَّحَكُمْ وَمَسَّاكُمْ

Maksudnya: “Setiap kali Rasulullah SAW menyampaikan khutbah, matanya menjadi merah, suaranya keras dan baginda menunjukkan kemarahan seolah-olah   baginda sedang memberi amaran peringatan kepada tentera. Baginda SAW akan berkata, "Musuh akan menyerang kamu pada waktu pagi dan musuh akan mara ke arah kamu pada waktu petang".

Riwayat Muslim

Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa hadis ini menjadi sandaran bagi seorang sebagai khatib atau pemidato supaya khutbah atau ucapan beliau memberi pengaruh dan menembusi hati pendengar. Seseorang tersebut disarankan melontarkan suara dengan lantang, menggunakan bahasa yang jitu dan padat serta memastikan intonasi penyampaian selari dengan mesej yang dibicarakan, sama ada ketika memberi khabar gembira (targhib) atau menyampaikan peringatan (tarhib).[8] Hadis ini juga menegaskan bahawa penggunaan nada suara perlu sesuai dengan konteks. Apabila memberi amaran, sedikit peningkatan suara wajar bagi menzahirkan ketegasan dan meneguhkan perhatian pendengar.

Hal ini membuktikan bahawa suara mempunyai impak yang besar dalam menentukan sama ada berkesan atau sebaliknya. Ukurannya bukanlah semata-mata pada kelunakan atau keburukan suara itu secara zahir, tetapi terletak pada kedalaman, kemantapan dan sejauh mana ia dilatih untuk menggambarkan makna serta keberkesanannya dalam memindahkan emosi. Sesungguhnya, lafaz atau kata-kata dan intonasi suara saling bersinergi dalam menterjemahkan makna-makna kejiwaan.[9]

Apabila perkataan yang menggambarkan kesakitan, kesedihan dan dukacita didengar secara kosong iaitu tanpa nada, maka ia tidak akan membangkitkan apa-apa perasaan dalam diri. Namun jika perkataan itu disampaikan oleh seseorang yang sedang menderita, di mana suaranya sarat dengan kesakitan, maka ia pasti menyentuh hati pendengar. Rasa pilu dan kesedihan akan terasa, seolah-olah pendengar turut merasai penderitaan orang yang meluahkan perasaannya melalui alunan suaranya.[10]

Penutup

Tuntasnya, paradigma masyarakat terhadap penjagaan suara perlu diubah daripada sekadar rutin kesihatan fizikal kepada satu strategi penyampaian yang kritikal. Kualiti vokal yang mapan adalah penentu utama sama ada sesuatu mesej itu sekadar singgah di telinga atau tembus ke dalam jiwa pendengar. Justeru, amat jelas kelihatan signifikan penjagaan suara agar dakwah dapat disampaikan dengan berkesan dan mampu menunaikan fungsinya untuk komunikasi seharian. Tanpa instrumen suara yang sihat, rantaian penyampaian maklumat akan terganggu, sekaligus merencatkan keberkesanan interaksi antara manusia.

Dari lensa maqasid tadayyun, pemeliharaan suara adalah manifestasi ketaatan dalam menjaga amanah Tuhan serta menjamin kelangsungan penghayatan beragama. Suara yang sihat dan terpelihara merupakan prasyarat kepada kesempurnaan ibadah lisan, sama ada dalam melunakkan bacaan al-Quran, melaungkan azan, mahupun menyampaikan kuliah agama dengan jelas dan bertenaga. Dengan itu, penjagaan suara sebagai amanah adalah sebahagian daripada pemeliharaan maqasid syariah dan kesempurnaan ibadah, demi memastikan syiar Islam terus berkembang dan tersebar di setiap pelusuk dunia tanpa sebarang halangan fizikal yang boleh dielakkan.

Manakala dalam kerangka maqasid umran, keupayaan berkomunikasi dengan baik adalah asas kepada pembinaan struktur sosial yang harmoni dan progresif. Dalam usaha membina masyarakat yang bertamadun, memelihara kesihatan suara tidak mungkin boleh diabaikan untuk memastikan sistem pendidikan dapat terus berlangsung dengan berkesan dan pemindahan ilmu berlaku tanpa cacat cela. Hal ini kerana penggunaan vokal berperanan dalam pelbagai bidang terutamanya yang memaksimumkan suara dalam urusan sehariannya dalam menyampaikan maklumat, sekaligus menjadikan suara sebagai aset ketamadunan yang wajib dilestarikan.

SAHIBUS SAMAHAH USTAZ AHMAD FAUWAZ BIN FADZIL

29 REJAB 1447H / 19 JANUARI 2026

 

[1] Universiti Kebangsaan Malaysia, “Masyarakat Perlu Ambil Berat Penjagaan Suara,” diakses pada 16 Januari 2026, https://www.ukm.my/tncpi/masyarakat-perlu-ambil-berat-penjagaan-suara/.

[2] Institute of Islamic Understanding Malaysia (IKIM), “Cermat Dalam Penjagaan Kesihatan,” diakses pada 16 Januari 2026, https://www.ikim.gov.my/en/cermat-dalam-penjagaan-kesihatan/.

[3] American Academy of Otolaryngology–Head and Neck Surgery, “Clinical Practice Guideline: Hoarseness (Dysphonia),” Otolaryngology–Head and Neck Surgery, diakses pada 16 Januari 2026, https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/19729111/.

[4] Al-Bukhari, Ṣaḥīḥ al-Bukhārī, Kitab al-Ṣawm, https://sunnah.com/bukhari:5199.

[5] Ibn Battal, Syarah Sahih al-Bukhari. Jilid 4, Halaman 119

قال المهلب: وحق الجسم أن يترك فيه من القوة ما يستديم به العمل، لأنه إذا أجهد نفسه قطعها عن العبادة وفترت،

[6] Mustafa al-Maraghi, Tafsir al-Maraghi, (Mesir, 1946) Jilid 21 Halaman 87

وهذا أدب من الله لعباده بترك الصياح وجوه الناس تهاونا بهم، أو بترك الصياح جملة. وقد كانت العرب تفخر بجهارة الصوت، فمن كان منهم أشد صوتا كان أعز، ومن كان أخفض كان أذل

[7] Ismail Ali Muhammad, al-Khatabah fi Maukib al-Da'wah al-Islamiyyah: Buhuth fi I'dad al-Khatib al-Da'iyah, (Mansurah: Dar al-Kalimah, 2010), 98. Teks asal:

والصوت منحة ربانية ، وهبة جليلة من الله تعالى ، وهو بالنسبة للخطيب رأس ماله ، وأقوى أدواته الفطرية ، والخطيب الذي وهبه الله تعالى صوتاً قوياً ، عذباً جميلاً ، لا شك في أنه يكون أجدر بالإلقاء الجيد ، و والإفهام والإفصاح أكثر من آخر ليس عنده مثل هذه النعمة .

[8] Yahya ibn Sharaf al-Nawawi, Al-Minhaj Sharh Sahih Muslim ibn al-Hajjaj (Beirut: Dar Ihya al-Turath al-Arabi),6: 156 Teks asal:

قال النووي رحمه الله تعالى: «يُستدَل به على أنه يستحب للخطيب أن يفخِّم أمر الخطبة، ويرفع صوته، ويجزل كلامه، ويكون مطابقًا للفصل الذي يتكلم فيه من ترغيب وترهيب»

[9] Muhammad Abu Zahrah, Al-Khatabah: Usuluha, Tarikhuha fi Azhar Usuriha ‘inda al-‘Arab (Kaherah: Matba’at al-Ulum, 1934), 170, Teks asal:

فدل ذلك على أن للاصوات أثرا كبيرا في حسن وقع الكلام أو قبحه ، وليس المرجع في ذلك جمالها وقبحها، ولكن عمقها وركوزها ، ورياضتها على تصوير المعاني ، وجودة نقل الخواطر ؛ فأن الألفاظ والأصوات تتعاونان في الدلالة على المعاني النفسية .

[10] Ibid., Teks asal:

فألفاظ التألم والحزن والغم مثلا إذا سمعتها مجردة ما أثارت في نفسك شيئا ، فأذا سمعتها من متألم ، واشترك صوت متأثر بالآلام اللفظ، أثارت في نفسك خواطر الأسى ، ومواضع الحزن ، وأحسست بالألم العميق تشترك فيه مع من حكى لك آلام نفسه في مع نغمات صوته .