
BARAH TUNTUTAN PALSU, PEMUSNAH INTEGRITI DAN PENGHANCUR NEGARA
Pendahuluan
Ketirisan kewangan bukan lagi isu abstrak dalam wacana pentadbiran negara. Ia telah dikenal pasti sebagai ancaman serius yang menjejaskan keberkesanan institusi dan kepercayaan rakyat. Dalam Majlis Amanat YAB Perdana Menteri Bersama Ketua-Ketua Agensi Penguatkuasaan, YAB Perdana Menteri menegaskan bahawa ketirisan kewangan berlaku dalam pelbagai bentuk, sama ada melalui penyalahgunaan kuasa, kelemahan kawalan, mahupun manipulasi sistem yang disengajakan.[1]
Dalam konteks ini, tuntutan palsu wajar difahami sebagai salah satu manifestasi nyata ketirisan kewangan tersebut. Ia kelihatan kecil pada zahirnya, namun bersifat berulang dan sistemik. Apabila dibiarkan, maka ia menghakis integriti institusi secara beransur-ansur. Kesannya bukan sahaja melibatkan kerugian dana awam, tetapi turut merosakkan kepercayaan terhadap keseluruhan ekosistem tadbir urus.
Dari perspektif Islam, isu ini berkait langsung dengan maqasid tadayyun, iaitu tujuan agama ditegakkan dalam kehidupan bermasyarakat. Agama tidak diturunkan untuk ritual semata-mata, tetapi untuk membina sistem kehidupan yang berasaskan amanah dan keadilan. Apabila pengurusan harta dicemari penipuan, maka fungsi agama sebagai etika sosial menjadi lumpuh. Kegagalan ini seterusnya menggugat maqasid umran, iaitu kelangsungan pembangunan dan kesejahteraan peradaban.
Eksploitasi harta dan hakisan kepercayaan awam
Sebagai asas kepada larangan eksploitasi harta, al-Quran menegaskan secara jelas prinsip pemilikan dan keadilan dalam urusan kewangan. Allah SWT berfirman:
وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ وَتُدْلُوا بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا فَرِيقًا مِّنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالْإِثْمِ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ
Maksudnya: “Dan janganlah kamu makan harta sesama kamu dengan jalan yang batil dan janganlah kamu hulurkan (urusan itu) kepada para hakim dengan maksud supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta orang lain secara dosa, sedangkan kamu mengetahui.”
Surah al-Baqarah (188)
Berdasarkan ayat ini, Muhammad Abu Zahrah menegaskan bahawa pengambilan harta secara batil akan membunuh umat secara perlahan. Hal ini berlaku sebaik sahaja amalan tersebut tersebar dan diterima sebagai kebiasaan. Kesannya, kerosakan bermula dengan suburnya fasad sehingga hak-hak manusia terhapus. Rentetan itu, keadilan tidak lagi dihormati manakala kezaliman mula mengambil alih peranan undang-undang. natijahnya, umat kehilangan kekuatan dan mudah ditundukkan oleh ancaman luar.[2]
Muhammad Abu Zahrah turut menekankan bahawa larangan tersebut bersifat kolektif. Hal ini bermakna ia bukan sekadar nasihat individu, tetapi perintah sosial kepada seluruh masyarakat. Oleh yang demikian, semua urusan kewangan wajib berasaskan penghormatan terhadap hak. Harta sama sekali tidak boleh diambil kecuali dengan sebab yang sah. Tegasnya, riba, penipuan, manipulasi, perjudian, kecurian dan perampasan semuanya termasuk dalam kategori al-batil tanpa pengecualian.[3]
Oleh itu, tuntutan palsu dalam realiti semasa ialah wajah kontemporari al-bāṭil. Ia sering dilindungi oleh prosedur. Ia disamarkan melalui kelompongan sistem. Kesannya jelas dan berlapis. Kepercayaan awam terhakis. Apabila keyakinan terhadap keadilan sistem runtuh, maka maqasid tadayyun gagal berfungsi kerana agama tidak lagi dilihat sebagai asas integriti sosial.
Implikasi terhadap sektor awam dan swasta
Dalam mengawal kerosakan yang bersifat kolektif ini, al-Quran meletakkan prinsip tanggungjawab bersama sebagai garis pemisah antara pembinaan dan kehancuran sosial. Allah SWT berfirman:
وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ
Maksudnya: “Dan hendaklah kamu tolong-menolong dalam kebajikan dan ketakwaan dan janganlah kamu tolong-menolong dalam dosa dan pencerobohan.”
Surah al-Mā’idah (2)
Dalam sektor awam, tuntutan palsu merosakkan teras tadbir urus. Hal ini mengakibatkan dana awam diselewengkan daripada tujuan asal. Kesannya, keutamaan dasar menjadi kabur dan perbelanjaan meningkat tanpa nilai sebenar. Malangnya, sistem kawalan yang wujud tetap gagal berfungsi sebaik sahaja integriti pelaksana runtuh. Justeru itu, penjawat awam yang beramanah mula berdepan kelesuan moral ekoran pelanggaran yang tidak ditangani secara adil dan konsisten.
Mutawalli al-Sya‘rāwī menjelaskan bahawa larangan bekerjasama dalam dosa merangkumi pelbagai bentuk pencerobohan dan kezaliman (‘udwān). Antaranya termasuklah pencerobohan terhadap masa apabila seseorang menerima gaji tanpa menunaikan amanah kerja. Begitu juga pencerobohan terhadap hak melalui rasuah dan pengambilan tidak sah. Semua ini menggoncang masyarakat. Bagi membentuk masyarakat beriman yang sihat, prinsip kekhalifahan dan tanggungjawab memakmurkan bumi (istikhlāf) mesti dipelihara. Manusia diperintah memakmurkan bumi, bukan merosakkannya.[4]
Sektor swasta turut menerima kesan berpanjangan. Penyelewengan menjadi norma yang terselindung, lalu merosakkan persaingan sihat. Impaknya, pihak patuh undang-undang terhimpit. Sebaliknya, pihak bersekongkol mendapat kelebihan tidak sah. Kesannya, iklim pelaburan menjadi rapuh. Keyakinan pelabur akhirnya merosot ekoran kegagalan integriti sistem.
Dalam kerangka ini, Ibnu Khaldun menjelaskan bahawa pencerobohan terhadap harta manusia memusnahkan harapan untuk berusaha. Hal ini mengakibatkan tangan-tangan menjadi kaku sebaik sahaja hasil kerja dirampas atau dimanipulasi. Lanjutan daripada itu, aktiviti ekonomi merosot dan pasaran menjadi lesu. Kesannya, pembangunan akan runtuh ekoran usaha yang terhenti secara total. Negara pula menerima tempias kerosakan kerana negara hanyalah gambaran kepada peradaban rakyatnya. Tegasnya, inilah kegagalan maqasid umran dalam bentuk yang paling nyata.
Penutup
Barah tuntutan palsu bukan kesalahan kecil atau terpencil. Ia merupakan manifestasi ketirisan kewangan yang merosakkan maqasid tadayyun dan maqasid umran. Kegagalan agama yang berfungsi sebagai etika sosial akan melemahkan negara dari dalam. Impaknya, pembangunan yang terpisah daripada nilai amanah akan terus rapuh. Hal ini membuktikan barah tersebut sedang meruntuhkan integriti awam tanpa disedari.
Masyarakat awam wajib menolak normalisasi salah laku. Sikap berdiam diri terhadap penyelewengan adalah bentuk kerjasama dalam melakukan dosa. Sehubungan itu, kesedaran moral dan keberanian melapor menjadi tanggungjawab bersama. Penolakan terhadap budaya kompromi mestilah bersifat total. Hanya melalui ketegasan ini, ancaman terhadap integriti awam dapat dibendung sepenuhnya.
Agensi kerajaan pula perlu memastikan penguatkuasaan berlaku secara telus. Reformasi integriti tidak memadai dengan slogan atau prosedur kosmetik semata-mata. Sebaliknya, ia menuntut keberanian mutlak untuk memutuskan rantaian perlindungan salah laku. Pemulihan amanah sebagai teras pentadbiran akan menghidupkan semula roh agama. Natijahnya, integriti kita kembali pulih. Sistem negara menjadi bersih dan masa depan rakyat lebih terjamin.
SAHIBUS SAMAHAH USTAZ AHMAD FAUWAZ BIN FADZIL
22 SYAABAN 1447H / 10 FEBRUARI 2026
[1] Pejabat Perdana Menteri Malaysia, Teks Ucapan YAB Perdana Menteri: Majlis Amanat YAB Perdana Menteri Bersama Ketua-Ketua Agensi Penguatkuasaan (Putrajaya: PMO, 2026), https://www.pmo.gov.my/ms/ucapanterkini/teks-ucapan-yab-perdana-menteri-majlis-amanat-yab-perdana-menteri-bersama-ketua-ketua-agensi-penguatkuasaan/.
[2] Muhammad Abu Zuhrah, Zahrah al-Tafāsīr (Kaherah: Dār al-Fikr al-‘Arabī, t.t.), 2: 628. Teks asal:
فأخذ أموال الناس بالباطل، وشيوع ذلك، واستمراؤه يقتل الأمة؛ لأنه يشيع فيها الفساد، ضياع الحقوق، وألا يحترم العدل، ويسود الظلم، وبذلك تفنى الأمم، وتذهب قوتها أمام من يتربص بها الدوائر .
[3] Ibid, 2: 629. Teks asal:
وقوله: (وَلا تَاكلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ) أمر عام للجماعة الإسلامية، بأن يكون التعامل المالي بينها على أساس من احترام كل حق الآخرين، وألا يأخذ مالاً إلا بحقه، فلا يأخذه بربا أو غش أو تدليس أو بميسر، أيا كان شكله، ولا بسرقة أو غصب.
[4] Muhammad Mutawalli al-Sya‘rāwī, Tafsīr al-Sya‘rāwī (Kaherah: Akhbār al-Yawm, 1991), 5: 2910. Teks asal:
وقوله الحق: {وَتَعَاوَنُواْ عَلَى البر والتقوى وَلاَ تَعَاوَنُواْ عَلَى الإثم والعدوان} ضَمِن عمارة الكون وضَمِن منع الفساد في الكون. فالذي يرتشي والذي يسهل عملية الرشوة، وهو الوسيط والسفير بين الراشي والمرتشي ويُسمَّى الرائش والذي يحمل الخمر والذي يدلس، كل هؤلاء متعاونون على الإثم والعدوان، حتى البواب الذي يجلس على باب عمارة ويعلم أن بها شقة تدار لأعمال مشبوهة ويأخذ ثمن ذلك هو متعاون على الإثم.