Pilihan Bahasa:

hubungi2maklumbalas2peta2

TINTA MUFTI BIL. 79/2026: SAMBUTAN TAHUN BAHARU CINA, ANTARA TUNTUTAN SILATURAHIM DAN BATASAN SYARAK

TintaMufti.jpg

 

SAMBUTAN TAHUN BAHARU CINA, ANTARA TUNTUTAN SILATURAHIM DAN BATASAN SYARAK

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, Tuhan semesta alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, serta para sahabat baginda.

Malaysia merupakan tanah air yang unik apabila kepelbagaian kaum, agama dan budaya menjadi identiti negara yang tidak dapat dipisahkan. Realiti ini menuntut setiap rakyat dalam negara ini untuk memiliki tahap toleransi dan persefahaman yang tinggi. Saban tahun, sambutan perayaan kaum seperti Tahun Baharu Cina menjadi salah satu peluang untuk mengukuhkan jalinan sosial antara umat Islam dan masyarakat Tionghoa dalam kerangka semangat kewarganegaraan yang harmoni.

Dalam meraikan realiti kehidupan masyarakat secara majmuk, umat Islam seharusnya mengambil pendekatan wasatiyyah atau sederhana. Sederhana yang dimaksudkan di sini ialah sikap yang berpaksikan ilmu dan kefahaman yang mendalam, bukannya penilaian yang didorong oleh emosi atau prejudis semata-mata. Tuntutan mengambil sikap bersederhana telah dinyatakan menerusi firman Allah SWT:

وَكَذَٰلِكَ جَعَلْنَاكُمْ أُمَّةً وَسَطًا لِّتَكُونُوا شُهَدَاءَ عَلَى النَّاسِ

Maksudnya: “Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah).”

Surah al-Baqarah (183)

Dalam kaedah fiqh, kita diperintahkan untuk jelas dalam meletakkan hukum; perkara yang nyata halal mengikut syarak maka ia adalah halal, manakala perkara yang haram juga adalah jelas haram. Sikap berhati-hati (ihtiyat) amat digalakkan, namun ia tidak seharusnya membawa kepada sikap ekstrem sehingga mengharamkan perkara budaya yang asalnya adalah harus (mubah).

MENGHORMATI PERBEZAAN DAN TUNTUTAN UNTUK BERBUAT BAIK

Syariat Islam amat menitikberatkan penghormatan terhadap perbezaan kaum dan budaya. Sebagai umat yang ditarbiyah dengan akhlak yang luhur, kita dituntut untuk sentiasa berbuat baik sesama manusia, terutamanya kepada rakan dan jiran tetangga. Hal ini selaras dengan firman Allah SWT:

لَّا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ أَن تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ

Maksudnya: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu.”

Surah al-Mumtahanah (8)

Dalil ini menjelaskan keharusan untuk berbuat baik dan berlaku adil kepada orang bukan Islam selagi mana mereka tidak memusuhi agama Islam. Antara amalan mulia yang boleh dipraktikkan termasuklah:

  • Menuturkan perkataan yang baik: Memberikan ucapan selamat yang bersifat kesejahteraan umum dan tidak menyakitkan hati.
  • Pemberian hadiah: Amalan bertukar hadiah atau memberi 'angpao' kepada kanak-kanak sebagai tanda kegembiraan.
  • Menjamu makanan: Menghadiri jemputan makan besar (reunion dinner) selagi mana hidangan yang disediakan adalah halal dan tidak melibatkan ritual agama.

MENJAUHI UNSUR TASYABBUH DAN KHURAFAT

Islam merupakan sebuah agama yang meraikan fitrah kehidupan manusia sebagai makhluk sosial yang memerlukan interaksi dan perhubungan antara satu sama lain. Walau bagaimanapun, batasan dari sudut akidah perlu dijadikan garis sempadan yang utama demi memelihara keimanan kepada Allah SWT. Oleh itu, umat Islam dinasihatkan untuk mengelakkan diri daripada terlibat dalam perbuatan tasyabbuh (menyerupai) yang merangkumi identiti kepercayaan khurafat dan syirik. Rasulullah SAW juga melarang umat Islam daripada melakukan sesuatu perkara yang menimbulkan unsur penyerupaan dan persamaan dengan kepercayaan lain. Diriwayatkan daripada Ibn ‘Umar RA bahawa Baginda SAW bersabda:

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

Maksudnya: “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah sebahagian daripada mereka.”

(Riwayat Abu Daud)

Hadis tersebut mengingatkan umat Islam agar tidak meniru identiti atau kepercayaan agama lain yang bercanggah dengan Islam. Namun, kita perlu faham bahawa ada perbezaan antara 'sengaja meniru' (tasyabbuh) dan 'sekadar persamaan' (musyabahah). Perbuatan yang dilarang ialah perbuatan yang dibuat dengan niat sengaja untuk mengikut simbol agama dan kepercayaan kaum lain. Sebaliknya, jika sesuatu perbuatan itu hanya mempunyai persamaan dari segi budaya atau cara hidup sahaja tanpa ada niat untuk mengikut agama mereka, ia hanyalah persamaan yang biasa. Oleh itu, perbuatan yang diharamkan dalam Islam ialah perbuatan yang sengaja meniru lambang agama lain kerana ia boleh menjejaskan akidah seorang Muslim.

Secara tegasnya, umat Islam dilarang sama sekali untuk terlibat dalam sebarang upacara ritual keagamaan, penyembahan nenek moyang, atau mempercayai ramalan nasib berdasarkan zodiak yang jelas bercanggah dengan konsep tauhid. Penghormatan terhadap budaya penganut lain tidak bermakna kita perlu menyertai ibadah mereka.

MENCONTOHI AKHLAK RASULULLAH SAW

Umat Islam seharusnya mencontohi akhlak Rasulullah SAW dalam berinteraksi dengan masyarakat bukan Islam. Baginda SAW tetap menunjukkan keadilan dan kelembutan bahasa meskipun terhadap mereka yang berbeza keyakinan dan kepercayaan. Sejarah merakamkan bagaimana Baginda SAW menghormati jenazah orang Yahudi yang lalu di hadapan Baginda sebagai tanda menghormati kemuliaan insan. Akhlak ini merupakan kunci utama kepada penyebaran dakwah Islamiah yang berteraskan pendekatan memujuk, dan bukannya bersifat menghukum.

Oleh yang demikian, pendekatan berasaskan prinsip kesederhanaan dan keadilan dalam kerangka Fiqh al-Ta’ayush (Kebersamaan) ini sebenarnya menepati beberapa prinsip-prinsip dalam maqasid syariah. Antaranya prinsip Hifz al-Din (Memelihara Agama) dengan cara menghormati perbezaan dan kepelbagaian dalam masyarakat juga dapat memelihara kesucian agama Islam daripada fitnah dan tohmahan. Lebih-lebih lagi dalam persekitaran dunia ketika ini yang sering menimbulkan persepsi negatif dan sentimen kebencian terhadap agama Islam atau diistilah sebagai Islamofobia.

Selain itu, pendekatan bersederhana dan berhati-hati dalam sambutan perayaan masyarakat bukan Islam juga memelihara aspek keagamaan umat Islam daripada unsur syirik dan khurafat yang boleh menjejaskan akidah. Pada masa yang sama, pendekatan ini juga menepati prinsip Hifz al-Amn al-Mujtama’ (Memelihara Keamanan Masyarakat) yang bermatlamat menjamin keselamatan dan ketenteraman awam bagi mengelakkan perpecahan yang berisiko meruntuhkan kedaulatan sesebuah negara.

KESIMPULAN

Sebagai kesimpulan, umat Islam perlu memahami realiti kehidupan dalam sebuah masyarakat majmuk. Pendekatan yang sederhana, berasaskan ilmu dan adab, akan mewujudkan suasana yang harmoni serta memupuk semangat perpaduan antara kaum. Marilah kita memelihara keamanan dan kemakmuran negara dengan menjadi muslim yang berakhlak mulia, menghormati hak orang lain, namun tetap teguh memelihara jati diri akidah.

Wallahu a’lam.

SAHIBUS SAMAHAH USTAZ AHMAD FAUWAZ BIN FADZIL 

28 SYAABAN 1447H / 16 FEBRUARI 2026