Pilihan Bahasa:

hubungi2maklumbalas2peta2

TINTA MUFTI BIL. 115/2026: PUSAT RAWATAN HIV: PENJAGAAN BERTERASKAN RAHMAH

TintaMufti.jpg

PUSAT RAWATAN HIV: PENJAGAAN BERTERASKAN RAHMAH

Mukaddimah

Kerajaan Malaysia telah menubuhkan sebuah pusat perlindungan dan kebajikan khusus bagi Orang Islam yang hidup dengan HIV/AIDS (ODHA/PLHIV) yang dikenali sebagai Ilaj Home. Projek pembangunan ‘Ilaj Home bermula tahun2012 oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan diserahkan pada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) pada13 Oktober 2023 seterusnya beroperasi dibawah seliaan dan bidang kuasa JAWI. Pusat ini mengaplikasikan pendekatan rawatan berasaskan Islam yang mengintegrasikan aspek jasmani, rohani, emosi psikospritual dan psikososial bagi membantu penghuni menjalani kehidupan yang berkualiti. Pendekatan holistik ini memberi penekanan pembangunan sahsiah, pemulihan dan sokongan sosial selaras dengan prinsip rahmah. Hal ini sebagai usaha memperkukuh pembangunan modal insan yang berteraskan nilai-nilai Islam.

Konsep Rahmat dalam Rawatan (Human Immunodeficiency Virus) HIV

Dari perspektif Islam, konsep kesembuhan tidak terhad kepada pemulihan fizikal semata-mata melalui rawatan perubatan moden. Sebaliknya, ia merangkumi pendekatan yang bersifat holistik meliputi pembelaan dari sudut kebajikan, sokongan psikososial dan bimbingan kerohanian agar mereka tidak terpinggir dan terus membina jati diri dalam kehidupan berasaskan nilai-nilai Islam

Justeru, penghidap HIV/AIDS hendaklah dilayan dengan penuh penghormatan, keadilan dan kasih sayang tanpa diskriminasi. Mereka juga wajar dibimbing dengan hikmah, kelembutan serta pendekatan yang sesuai dengan keadaan dan latar belakang masing-masing sekaligus terdorong untuk memperbaiki diri dan bertaubat. Pendekatan dakwah yang berteraskan rahmat ini selaras dengan firman Allah SWT:

ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ

Maksudnya : "Serulah (manusia) ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat yang baik, serta berbahaslah dengan mereka dengan cara yang paling baik."


Surah al-Naḥl:(125)

Pendekatan seruan dengan hikmah ini membantu pesakit mencapai kesejahteraan hidup secara menyeluruh di samping meningkatkan kualiti kehidupan mereka. Ia merupakan suatu usaha yang bertepatan dengan prinsip rahmah dalam Islam.

Oleh yang demikian, pendekatan alternatif yang bersesuaian bagi penyakit HIV/AIDS yang masih belum ada penawar adalah melalui kaedah pengukuhan sokongan emosi, mental, fizikal, sosial dan kerohanian. Pendekatan holistik ini bertujuan memperkukuh daya tahan diri serta menyumbang kepada pembangunan modal insan yang lebih sejahtera.

Zero Diskriminasi dan Stigma bagi Pesakit Berjangkit

Kempen Get to Zero (GTZ) merupakan inisiatif global bagi menamatkan epidemik HIV/AIDS menjelang tahun 2030 dengan sasaran utama adalah sifar jangkitan baharu, sifar kematian berkaitan AIDS dan sifar diskriminasi. Inisiatif ini memfokuskan kepada pendekatan bersepadu melibatkan saringan awal, akses rawatan antiretroviral (ART), pendidikan kesihatan seksual yang menyeluruh serta usaha mengurangkan stigma terhadap komuniti terbabit. Oleh itu, bagi merealisasikan sasaran negara mencapai sifar diskriminasi, masyarakat perlu dididik agar tidak mudah melemparkan stigma penghidap HIV/AIDS. Masyarakat seharusnya menzahirkan sikap rahmah melalui doa untuk kesembuhan kesejahteraan mereka, memberikan sokongan emosi, memelihara maruah serta menjaga kerahsiaan status kesihatan mereka dan mengelakkan sebarang bentuk penghinaan. Terdapat riwayat yang menggambarkan sikap belas ihsan dan penolakan diskriminasi terhadap penghidap yang berjangkit seperti kusta, Baginda bersabda:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَخَذَ بِيَدِ رَجُلٍ مَجْذُومٍ فَأَدْخَلَهَا مَعَهُ فِي الْقَصْعَةِ ثُمَّ قَالَ ‏كُلْ ثِقَةً بِاللَّهِ وَتَوَكُّلاً عَلَى اللَّهِ

Maksudnya:Sesungguhnya Rasulullah SAW pernah memegang tangan seorang lelaki yang dijangkiti penyakit kusta lalu mengajak lelaki tersebut makan bersama Baginda, kemudian Baginda bersabda: ‘’Makanlah kamu dalam keadaan tsiqah (percaya) dengan Allah serta bertawakkal kepada Allah.”

Riwayat Ibn Majah (3542)

Maqasid al-Syariah dalam Menjaga Nyawa (hifz al-nafs)

Data klinikal mengesahkan bahawa tiada penawar yang boleh membunuh virus HIV atau menyembuhkan AIDS. Walau bagaimanapun, virus ini masih boleh dikawal dengan berkesan menggunakan terapi antiretroviral (ART). Pesakit yang mengambil ubat secara konsisten dapat menjalani kehidupan seperti individu normal, berkeluarga dan mempunyai jangka hayat biasa. Rawatan HIV turut membantu mencegahnya daripada bertukar menjadi AIDS yang boleh mengancam nyawa. Hal ini sama sekali tidak menafikan usaha menjagaan nyawa(hifz al-nafs) yang wajib dipelihara oleh setiap individu sebagaimana yang dituntut. Firman Allah SWT:

وَلَا تُلۡقُواْ بِأَيۡدِيكُمۡ إِلَى ٱلتَّهۡلُكَةِ

Maksudnya: Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan

Surah Al-Baqarah:(195)

Seterusnya, maqasid penubuhan pusat rawatan HIV bukan sahaja bertujuan menyediakan perlindungan dan pemulihan kepada orang yang hidup dengan HIV/AIDS (ODHA/PLHIV), malah turut menyokong usaha membendung penularan penyakit berjangkit HIV. Prinsip serta kaedah syarak untuk memastikan sebarang unsur mudarat wabak penyakit berjangkit perlu dilenyapkan agar tidak menimbulkan risiko awam. Hal ini, selaras kaedah fiqh yang masyhur menyebut:

الضَّرَرُ يُزَالُ

Maksudnya“Kemudaratan itu mestilah dihilangkan.”

Dalam mazhab Syafi’i, mereka yang ditimpa penyakit sunat untuk berusaha mencari ubat dan mendapatkan rawatan.[1] Hal ini berdasarkan kepada hadis bahawa Rasulullah SAW bersabda :

تَدَاوَوْا عبادَ اللهِ فإنَّ اللهَ لمْ يَضَعْ داءً إلا وضَعَ له شفاءً

Maksudnya: “Berubatlah, wahai hamba-hamba Allah, kerana sesungguhnya Allah tidak menurunkan suatu penyakit melainkan Dia juga menurunkan penawarnya.

(Riwayat Ibn Majah)

 

PENUTUP

Islam menuntut setiap individu yang ditimpa penyakit agar berusaha mendapatkan rawatan sebagai suatu ikhtiar yang selaras dengan objektif utama Maqasid Syariah, iaitu pemeliharaan nyawa (hifz al-nafs). Walaupun sehingga kini belum terdapat penawar yang mampu menghapuskan virus HIV sepenuhnya, mendapatkan rawatan adalah penting bagi mengawal jangkitan HIV daripada berkembang kepada AIDS yang boleh mengancam nyawa. Oleh itu, usaha mendapatkan rawatan bukan sahaja memenuhi tuntutan syarak, bahkan merupakan salah satu untuk memelihara nyawa serta meningkatkan kualiti hidup pesakit. Justeru, pendekatan Islam terhadap penghidap HIV/AIDS tidak terhad kepada aspek rawatan fizikal semata-mata, bahkan turut menitikberatkan sokongan rohani, pemeliharaan maruah, sokongan psikososial, kasih sayang dan kebajikan. Pendekatan yang menyeluruh ini mencerminkan manifestasi rahmah dalam Islam terhadap golongan yang memerlukan bimbingan, sokongan, perlindungan dan peluang untuk membina semula kehidupan berlandaskan nilai-nilai Islam

Wallahu a'lam 

 

SAHIBUS SAMAHAH USTAZ AHMAD FAUWAZ BIN FADZIL

20 MUHARAM 1448H / 6 JULAI 2026

 

Rujukan: 

[1] Shihabuddin Ahmad bin Hamzah al-Ansari al-Ramli al-Manufi al-Syafi‘i, Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj , (Beirut : Dar al-Fikr, 1984) Jlid 3 Hlm. 19

(وَيُسَنُّ) لِلْمَرِيضِ (التَّدَاوِي) لِحَدِيثِ «إنَّ اللَّهَ لَمْ يَضَعَ دَاءً إلَّا وَضَعَ لَهُ دَوَاءً غَيْرَ الْهَرَمِ»