STATUS KESAHIHAN HIBAH PENDEPOSIT TABUNG HAJI BERDASARKAN PENEMUAN SURUHANJAYA SIASATAN DIRAJA (RCI)
Mukadimah
Pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH) bagi tempoh 2014 hingga 2020 telah mencetuskan polemik dalam masyarakat. Dokumen tersebut menunjukkan terdapat beberapa isu kelemahan tadbir urus dan pengurusan kewangan berskala besar. Realiti ini mengundang keraguan dalam kalangan jutaan pendeposit berhubung status hibah yang telah diterima oleh mereka sepanjang tempoh hibah diisytihar tidak mematuhi ketetapan Akta Tabung Haji 1995. Justeru, Tinta Mufti pada kali ini akan memfokuskan pencerahan ke atas isu ini dari sudut Fiqh Muamalat supaya dapat memberikan panduan yang jelas serta memelihara ketenteraman awam.
Latar Belakang Krisis Kewangan dan Pelanggaran Tadbir Urus
Siasatan RCI mendedahkan bahawa pengurusan TH pada tempoh berkenaan telah meneruskan pembayaran hibah yang tinggi secara berterusan walaupun kedudukan kewangan institusi tersebut sedang mengalami defisit yang kritikal.
RCI mengesahkan bahawa pengurusan TH pada ketika itu menggunakan kaedah Nilai Aset Boleh Direalisasikan (RAV) berbanding penyata kewangan bagi tujuan membolehkan pembayaran hibah. Tindakan ini dilakukan untuk melangkau peruntukan Seksyen 22 Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535) yang melarang sebarang pengisytiharan hibah sekiranya jumlah aset kurang daripada liabiliti.
Ini memberi kesan yang besar. Sebagai contoh, melalui kaedah RAV, TH melaporkan keuntungan yang tidak mencerminkan keadaan sebenar sebanyak RM3.4 bilion bagi tahun kewangan 2017. Namun, sekiranya MFRS diguna pakai secara telus, TH sebenarnya menanggung kerugian bersih sebanyak RM1.4 bilion pada tahun tersebut.
Hukum Hibah yang Diterima Pendeposit dalam Keadaan Defisit
Bertitik tolak daripada fakta di atas, timbul persoalan sama ada wang hibah yang dibayar itu halal atau tidak untuk dimanfaatkan oleh pendeposit. Bagi merungkaikan permasalahan ini, perkara utama yang perlu dilihat ialah status akad antara pendeposit dan TH.
Pada tempoh masa tersebut, kontrak yang berlaku antara pendeposit dan TH ialah kontrak Wadi'ah Yad Dhamanah (Simpanan Berjaminan). Dalam kerangka fiqh muamalat, TH dianggap meminjam wang daripada pendeposit untuk digunakan bagi tujuan pelaburan dan lain-lain. Oleh itu, TH tidak boleh menjanjikan sebarang keuntungan, sebaliknya pulangan yang diberikan oleh TH kepada pendeposit berstatus hibah yang bersifat sukarela. Maka, apabila sesuatu hibah yang diisytiharkan telah dimasukkan ke dalam akaun pendeposit, maka ia dianggap telah berlaku qabd dan hukumnya sah menjadi hak milik pendeposit. Hukum asal sesuatu harta yang diterima melalui sebab pemilikan yang diiktiraf oleh Syarak kekal sebagaimana asalnya sehingga terdapat perkara yang mengubah hukum tersebut. Kegagalan mematuhi piawaian perakaunan atau pelanggaran undang-undang oleh pihak pengurusan tidak membatalkan keabsahan kontrak pemberian hibah tersebut di sisi syarak.
Dalam keadaan berlakunya kekurangan terhadap transaksi lepas yang telah sempurna dan dilaksanakan secara meluas, Syarak turut mengiktiraf pendekatan mengesahkan transaksi yang telah berlaku serta mengangkat kesukaran merupakan prinsip yang diterima dalam Syarak demi menjaga hak-hak pihak yang berkontrak bagi mengelakkan kemudaratan yang lebih besar.
Menyedari lompang tadbir urus dan risiko salah faham ini, langkah TH beralih kepada kontrak Wakalah bermula Disember 2019 adalah satu tindakan yang amat tepat. Melalui Wakalah, TH bertindak sebagai ejen pelaburan. Pulangan diagihkan berasaskan keuntungan bersih sebenar hasil pelaburan, bukan lagi atas nama hibah sukarela. Oleh itu, sekiranya berlaku keadaan tiada keuntungan atau defisit pada masa hadapan, TH secara automatik tidak boleh mengagihkan sebarang pulangan. Hal Ini menutup ruang amalan tidak cermat, meningkatkan kehematan dan memastikan ketelusan sepenuhnya.
Penutup
Wang hibah yang telah diterima oleh para pendeposit pada tahun-tahun defisit tersebut adalah sah sebagai milik mereka. Wang tersebut tidak dikategorikan sebagai harta haram atau syubhah yang wajib dipulangkan kerana penerimaannya berasaskan akad hibah yang telah sempurna syarat penyerahannya. Selain itu, mana-mana jemaah yang telah menunaikan ibadah haji menggunakan wang hibah pada tempoh berkenaan, ibadah haji mereka adalah sah dan tidak terjejas.
Di samping itu, segala isu salah tadbir urus akaun, ketidakpatuhan akta dan pelaporan perakaunan kreatif menjadi beban tanggungan pihak pengurusan pada ketika itu, bukannya bebanan pendeposit atau orang awam yang tidak mengetahui realiti kedudukan kewangan dalaman. Skandal integriti ini wajib menjadi titik tolak pengislahan menyeluruh buat pengurusan institusi Islam di Malaysia. Peringatan Allah SWT cukup jelas mengenai integriti penjagaan amanah dalam firman-Nya:
مَّنْ عَمِلَ صَـٰلِحًۭا فَلِنَفْسِهِۦ ۖ وَمَنْ أَسَآءَ فَعَلَيْهَا ۗ وَمَا رَبُّكَ بِظَلَّـٰمٍۢ لِّلْعَبِيدِ
Maksudnya: "Sesiapa yang mengerjakan amal soleh maka faedahnya akan terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang berbuat kejahatan maka bahayanya akan menimpa dirinya sendiri; dan Tuhanmu tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hambaNya."
Surah Fussilat (46)
Wallahu a'lam.
