Pilihan Bahasa:

hubungi2maklumbalas2peta2

TINTA MUFTI BIL. 139/2026 : KONSEP WA’AD MENURUT SYARAK DALAM KENEGARAAN

t.jpg

 

KONSEP WA’AD MENURUT SYARAK DALAM KENEGARAAN

Konsep wa‘ad menurut istilah bermaksud pengisytiharan dan pengkhabaran untuk memberi sesuatu kebaikan pada masa akan datang.[1] Istilah ini menggambarkan bahawa wa’ad merupakan janji atau komitmen yang dibuat oleh seseorang terhadap pihak lain untuk melaksanakan sesuatu perkara pada masa hadapan.

Dalam konteks kenegaraan, konsep wa‘ad dapat difahami melalui janji dan komitmen yang mendasari hubungan antara pemerintah dengan rakyat serta hubungan antara negeri demi merealisasikan perancangan masa depan negara. Konsep wa’ad dalam kenegaraan juga berkait rapat dengan prinsip keadilan. Islam menuntut pemerintah melaksanakan tanggungjawab secara adil, menghindari penindasan dan memastikan hak setiap pihak dipelihara. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ النَّاسِ أَن تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ ۚ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.”

Surah al-Nisa’ (58)

Menurut Imam al-Nawawi, para ulama bersepakat bahawa wa’ad atau janji untuk melakukan perkara yang baik hendaklah direalisasikan.[2] Walau bagaimanapun, tidak menjadi kesalahan sekiranya wa’ad atau janji tersebut gagal untuk ditunaikan atas faktor-faktor tertentu yang menghalang.

Pelaksanaan janji dalam kenegaraan hendaklah selari dengan Maqasid Syariah, iaitu tujuan utama syariat untuk memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Kerangka ini memberikan panduan agar dasar dan keputusan negara bukan sahaja memenuhi komitmen yang telah dipersetujui, malah membawa kemaslahatan kepada rakyat. Dr. Ahmad Raisuni menyebut:

الغايات التي وضعت الشريعة لأجل تحقيقها لمصلحة العباد

Maksudnya: “Matlamat yang ditetapkan oleh syariat untuk direalisasikan demi kemaslahatan manusia.”

Dalam sistem demokrasi, rakyat pula berperanan sebagai prinsipal, iaitu pihak yang memberikan mandat kepada pemimpin melalui pilihan raya untuk mentadbir negara. Kerajaan bertindak sebagai pihak yang menerima amanah tersebut dan bertanggungjawab melaksanakannya demi kepentingan rakyat. Saranan Baginda SAW:

كُلُّكُمْ رَاعٍ وَمَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، فَالإِمَامُ رَاعٍ وَمَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ

Maksudnya: “Setiap kamu ialah pemimpin dan setiap kamu akan dipertanggungjawabkan terhadap orang di bawah jagaannya. Pemerintah yang memimpin manusia juga merupakan pemimpin dan dia bertanggungjawab terhadap rakyatnya.”

Riwayat al-Bukhari

Konsep wa‘ad menurut syarak membawa pengertian yang luas dalam pembinaan negara. Penghayatan prinsip ini dalam hubungan antara pemerintah dengan rakyat dapat memperkukuh kepercayaan dan membina negara yang adil serta sejahtera. Wa’ad yang ditunaikan bukan sahaja mencerminkan integriti kepimpinan, bahkan merupakan tuntutan agama yang menyumbang kepada kestabilan dan keharmonian negara.

Wallahu’alam

SAHIBUS SAMAHAH TUAN HAJI AHMAD FAUWAZ BIN FADZIL

Mufti Wilayah Persekutuan

[1] Wizarah al-Auqaf wa syuun al-Islamiyyah, al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah. (t.t: Taba’ al-Wizarah, 1427H) Jld. 44 Hlm. 72

والوعد في الاصطلاح: الإخبار بإيصال الخير في المستقبل

[2] Abu Zakaria Mahyuddin Yahya bin Syarf al-Nawawi, al-Azkar. (beirut: Dar al-Fikr, 1414H) Hlm. 317

وقد أجمعَ العلماءُ على أن مَن وعد إنساناً شيئاً ليس بمنهيّ عنه فينبغي أن يفي بوعده، وهل ذلك واجبٌ، أو مستحبّ؟ فيه خلاف بينهم، ذهب الشافعيُّ وأبو حنيفة والجمهورُ إلى أنه مستحبّ، فلو تركه فاته الفضل، وارتكب المكروه كراهة تنزيه شديدة، ولكن لا يأثم، وذهبَ جماعةٌ إلى أنه واجب، قال الإِمامُ أبو بكر بن العربي المالكي: أجلُّ مَن ذهبَ إلى هذا المذهب عمرُ بن عبد العزيز، قال: وذهبتِ المالكية مذهباً ثالثاً أنه إن ارتبط الوعدُ بسبب كقوله: تزوّج ولك كذا، أو احلف أنك لا تشتمني ولك كذا، أو نحو ذلك، وجب الوفاء، وإن كان وعداً مُطلقاً، لم يجب.

واستدلّ مَن لم يوجبه بأنه في معنى الهبة، والهبة لا تلزم إلا بالقبض عند الجمهور، وعند المالكية: تلزم قبل القبض.