Pilihan Bahasa:

hubungi2maklumbalas2peta2

TINTA MUFTI BIL. 155/2026 : STATUS PRODUK YANG TIADA LOGO HALAL MENURUT SYARAK

T.png

STATUS PRODUK YANG TIADA LOGO HALAL MENURUT SYARAK

Pendahuluan

Dalam konteks pemilihan produk makanan, ketiadaan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) atau logo halal pada sesuatu produk tidak semestinya menunjukkan bahawa produk tersebut tidak halal atau tidak menepati kehendak hukum syarak. Begitu juga, ketidakpatuhan yang berlaku di sesebuah rumah sembelihan tidak boleh dijadikan asas untuk menganggap bahawa semua rumah sembelihan yang tidak mempunyai sijil halal menjalankan proses penyembelihan yang bercanggah dengan hukum syarak. Oleh itu, penulisan ini akan menjelaskan kedudukan hukum syarak terhadap produk makanan yang tidak mempunyai logo halal, khususnya berkaitan penentuan status halal serta panduan yang perlu diberi perhatian oleh pengguna Muslim.

Kedudukan Syarak

Allah SWT telah mengurniakan pelbagai sumber rezeki yang halal di muka bumi untuk dimanfaatkan oleh manusia. Pada asasnya dalam Islam setiap perkara yang halal mahupun haram telah ditetapkan dalam nas-nas syarak. Hal ini telah dinyatakan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Nu’man bin Basyir bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إنَّ الْحَلَالَ بَيِّنٌ، وَإِنَّ الْحَرَامَ بَيِّنٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya perkara yang halal itu sudah dijelaskan dan perkara yang haram itu pun jelas

Maksud hadis ini halal yang jelas seperti halal haiwan ternakan bijirin, buah-buahan. Manakala, haram yang jelas seperti pengharaman bangkai, darah, daging babi dan perkara-perkara seumpamanya.[1]

Berkaitan isu produk makanan yang tiada logo Halal (JAKIM) ataupun produk Muslim yang rata-rata tiada logo halal (JAKIM), perkara yang wajar ditegaskan bahawa semua bahan mentah makanan seperti ayam yang tiada pensijilan halal tidak boleh dianggap tidak halal mahupun haram. Hal ini kerana status halal ini tertakluk kaedah penyembelihan dan teknik penyediaan yang menepati hukum syarak. Produk makanan umat Islam mestilah daripada sumber bahan mentah yang halal lagi suci. Sebaliknya, sumber bahan mentah daripada haiwan haram mahupun haiwan yang tidak disembelih mengikut hukum syarak, maka jelaslah makanan tersebut daripada sumber yang haram. Sehubungan itu, pengguna Muslim perlu bijak dalam membuat penelitian terhadap bahan-bahan yang dibeli sama ada bebas daripada unsur haram mahupun sebaliknya. Hal ini selaras dengan kaedah fiqh:

الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ الإِبَاحَةُ

Maksudnya: “Asal bagi sesuatu perkara adalah harus”

Kaedah ini menjelaskan bahawa hukum asal bagi sesuatu perkara yang tidak dinyatakan pengharamannya oleh syarak adalah harus, selagi tidak terdapat dalil yang mengubah hukum asal tersebut. Sehubungan itu, pemilihan makanan yang halal bukan sahaja berkait dengan pematuhan hukum syarak, bahkan turut mempunyai hubungan dengan tujuan pensyariatan Islam.

Dari perspektif Maqasid Syariah, pemilihan produk makanan yang halal berperanan dalam memelihara agama (hifz al-din) dengan memastikan umat Islam mematuhi ketetapan syarak, memelihara nyawa (hifz al-nafs) melalui pengambilan makanan yang halal lagi tayyib demi menjamin keselamatan dan kesejahteraan pengguna serta memelihara harta (hifz al-mal) dengan mengelakkan pengguna daripada kerugian akibat pembelian produk yang tidak menepati piawaian halal. Sehubungan itu, pensijilan halal menjadi mekanisme penting dalam melindungi kepentingan pengguna Muslim.

Memang tidak dapat dinafikan, pengguna Muslim mempunyai satu hak untuk memilih barangan yang bermutu, berkualiti dan lebih-lebih lagi memilih produk yang terdapat logo halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).   Sehubungan itu, kami berpendapat bahawa pengguna Muslim perlu berpegang pada prinsip yakini bahan mentah yang jelas bebas daripada unsur haram serta teknik penyediaan yang menepati kehendak syarak. Panduan tersebut terbina atas dasar kaedah fiqh berikut:

اليقين لا يزول بالشكّ

Maksudnya: “Keyakinan tidak terluput dengan syak”.

Namun, sekiranya ragu-ragu terhadap sebarang bahan makanan atau haiwan sembelihan yang tiada logo halal yang diiktiraf mahupun melihat cara penyembelihan dan penyediaan yang tidak menepati kehendak syarak. Panduan tersebut terbina berdasarkan hadis berikut:

Daripada Hasan bin Ali R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

دَعْ مَا يَرِيبُكَ إِلَى مَا لاَ يَرِيبُكَ فَإِنَّ الصِّدْقَ طُمَأْنِينَةٌ وَإِنَّ الْكَذِبَ رِيبَةٌ

Maksudnya: “Tinggallah apa yang menjadi keraguan kepadamu kepada yang tidak meragukan. Maka sesungguhnya kebenaran itu adalah satu ketenangan dan sesungguhnya dusta itu adalah satu keraguan”.

Selain itu, pengusaha Muslim, khususnya Industri Kecil dan Sederhana (IKS) amat digalakkan untuk memohon Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM). Pengusaha juga bertanggungjawab memastikan keseluruhan rantaian pengeluaran produk sentiasa mematuhi kehendak halal dan tayyib meliputi proses pemilihan bahan mentah, pengeluaran, penyediaan, pengendalian, penyimpanan, pemprosesan, pembungkusan dan penghantaran agar terpelihara daripada unsur haram serta pencemaran najis. Hal ini penting bagi memastikan produk yang dihasilkan memenuhi ketetapan syarak. Pensijilan halal bukan sahaja menjadi mekanisme pengesahan dan pemantauan pematuhan hukum syarak, bahkan memperkukuh kawalan operasi serta kebolehkesanan rantaian bekalan, sekali gus meningkatkan keyakinan pengguna Muslim. Tanggungjawab ini juga merupakan tuntutan terhadap pengusaha Muslim dalam menyediakan produk yang halal lagi baik kepada masyarakat. Implikasinya, barangan yang terdapat logo halal akan terus menjadi pilihan utama untuk kegunaan seharian para pengguna Muslim.

Penutup

Sumber makanan yang diyakini halal dan bebas daripada unsur haram adalah harus untuk dimakan. Namun, sekiranya timbul keraguan terhadap status haiwan sembelihan, atau terdapat pemerhatian jelas bahawa kaedah penyembelihan tidak menepati kehendak syarak serta proses penyediaan makanan dicemari najis, maka makanan tersebut hendaklah ditinggalkan sehingga statusnya dapat dipastikan. Walau bagaimanapun, semua premis makanan amat digalakkan untuk memohon Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) daripada pihak berautoriti. Pensijilan ini dapat memperkukuh kawalan dan pemantauan operasi dan kebolehkesanan rantaian bekalan di samping memberikan jaminan dan keyakinan kepada pengguna Muslim terhadap status halal produk yang dihasilkan. Oleh itu, pengguna Muslim hendaklah bijak dan peka dalam memilih makanan dengan mengutamakan produk yang telah memperoleh SPHM.

S.S. Tuan Haji Ahmad Fauwaz bin Ali @ Fadzil

Mufti Wilayah Persekutuan

7 November 2026 / 27 Jamadilawal 1448H

[1] Salleh Al-’Uthaimin, Syarah Riyadh Al-Salihin (Riyadh. 1426 H) 3/491.