
PANGKAT BUKAN SATU KEISTIMEWAAN
Pendahuluan
Islam merupakan agama yang amat menitikberatkan keadilan dalam setiap aspek kehidupan, termasuklah dalam pelaksanaan undang-undang dan hukuman. Keadilan bukan sahaja dituntut dalam hubungan sesama individu, bahkan turut menjadi prinsip utama dalam pemerintahan dan pentadbiran sesebuah masyarakat. Oleh itu, kedudukan, keturunan, kekayaan dan pengaruh seseorang tidak boleh dijadikan alasan untuk memberikan layanan yang berbeza dalam pelaksanaan hukum Allah SWT.
Dalam hal ini, terdapat sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah RA mengenai seorang wanita daripada Bani Makhzum yang telah melakukan kesalahan mencuri. Peristiwa tersebut memperlihatkan bagaimana Rasulullah SAW menegaskan prinsip keadilan dengan menolak sebarang usaha memberikan keistimewaan kepada individu yang mempunyai kedudukan dalam masyarakat.
Saidatina Aisyah RA meriwayatkan:
أَنَّ قُرَيْشًا أَهَمَّهُمْ شَأْنُ المَرْأَةِ المَخْزُومِيَّةِ الَّتِي سَرَقَتْ، فَقَالُوا: وَمَنْ يُكَلِّمُ فِيهَا رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ؟ فَقَالُوا: وَمَنْ يَجْتَرِئُ عَلَيْهِ إِلَّا أُسَامَةُ بْنُ زَيْدٍ، حِبُّ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَكَلَّمَهُ أُسَامَةُ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: " أَتَشْفَعُ فِي حَدٍّ مِنْ حُدُودِ اللَّهِ، ثُمَّ قَامَ فَاخْتَطَبَ، ثُمَّ قَالَ: إِنَّمَا أَهْلَكَ الَّذِينَ قَبْلَكُمْ، أَنَّهُمْ كَانُوا إِذَا سَرَقَ فِيهِمُ الشَّرِيفُ تَرَكُوهُ، وَإِذَا سَرَقَ فِيهِمُ الضَّعِيفُ أَقَامُوا عَلَيْهِ الحَدَّ، وَايْمُ اللَّهِ لَوْ أَنَّ فَاطِمَةَ بِنْتَ مُحَمَّدٍ سَرَقَتْ لَقَطَعْتُ يَدَهَا
Maksudnya: Bahawa kaum Quraisy berasa runsing tentang keadaan seorang wanita daripada kabilah Bani Makhzum yang telah mencuri. Lalu mereka berkata: “Siapakah yang mahu menceritakan tentangnya kepada Rasulullah SAW?” Mereka berkata juga: “Siapakah lagi yang berani ke atas (perkara) itu melainkan Usamah bin Zaid, orang yang dicintai oleh Rasulullah SAW. Lalu, Usamah pun berbicara dengan Baginda SAW. Maka Rasulullah SAW bersabda: “Adakah engkau hendak memberi pertolongan pada suatu hukuman di antara hukuman-hukuman yang telah ditetapkan oleh Allah SWT?” Kemudian, Baginda SAW bangun dan berkhutbah. Kemudian Baginda SAW bersabda: "Sesungguhnya yang membinasakan kaum sebelum kamu adalah, bahawasanya apabila yang mencuri di antara mereka merupakan orang terhormat (yang mempunyai kedudukan), maka mereka membiarkannya. (Sebaliknya) jika yang mencuri itu ialah orang yang lemah (rakyat biasa) nescaya mereka menegakkan hukuman ke atasnya. Demi Allah, sekiranya Fatimah binti Muhammad mencuri, pasti aku akan memotong tangannya!”
(Riwayat al-Bukhari)
Larangan memberikan keistimewaan dalam pelaksanaan hukuman
Hadis ini menggambarkan sikap sebahagian masyarakat Quraisy yang berusaha mendapatkan pengecualian bagi seorang wanita daripada Bani Makhzum yang telah melakukan kesalahan mencuri. Mereka memilih Usamah bin Zaid RA untuk menjadi perantara kerana kedudukan istimewanya di sisi Rasulullah SAW.
Walau bagaimanapun, Rasulullah SAW menegur tindakan tersebut dengan sabdanya, “Adakah engkau hendak memberi pertolongan pada suatu hukuman di antara hukuman-hukuman yang telah ditetapkan oleh Allah SWT?”.
Menurut Ibn Battal, larangan memberikan syafaat dalam hadis ini berkaitan dengan keadaan apabila sesuatu kesalahan yang melibatkan hukuman hudud telah sampai kepada pemerintah. Beliau menjelaskan:
ذَهَبَ جَمَاعَةُ الْعُلَمَاءِ إِلَى أَنَّ الْحَدَّ إِذَا بَلَغَ الْإِمَامَ أَنَّهُ يَجِبُ عَلَيْهِ إِقَامَتُهُ، لِأَنَّهُ قَدْ تَعَلَّقَ بِذَلِكَ حَقُّ اللَّهِ، وَلَا تَجُوزُ الشَّفَاعَةُ فِيهِ
Maksudnya: Segolongan ulama berpendapat bahawa apabila sesuatu hukuman hudud telah sampai kepada pemerintah, maka wajib ke atasnya untuk melaksanakan hukuman tersebut kerana ia berkait dengan hak Allah SWT. Oleh itu, tidak dibenarkan memberikan syafaat dalam perkara tersebut.[1]
Penjelasan ini menunjukkan bahawa larangan syafaat tersebut mempunyai kaitan dengan peringkat sesuatu kes selepas sampai kepada pemerintah. Hal ini bertujuan memastikan pelaksanaan hukum tidak dipengaruhi oleh tekanan, hubungan peribadi atau kedudukan sosial pesalah.
Dalam masa yang sama, Imam Badr al-Din al-‘Ayni turut menjelaskan perkara yang sama dalam kitabnya Umdah al-Qari bahawa hadis ini menunjukkan larangan memberikan syafaat dalam hukuman hudud apabila kesalahan tersebut telah sampai kepada pihak pemerintah.[2]
Justeru, hadis ini menjadi asas penting bahawa pelaksanaan hukuman hudud tidak boleh digugurkan melalui campur tangan atau syafaat selepas kes tersebut sampai kepada pihak berkuasa yang bertanggungjawab.
Keadilan tidak boleh dipengaruhi kedudukan dan pengaruh seseorang
Rasulullah SAW menjelaskan bahawa antara faktor kebinasaan umat terdahulu ialah sikap mereka yang mengamalkan dua bentuk layanan berbeza terhadap pesalah berdasarkan kedudukan masing-masing. Golongan yang mempunyai kemuliaan dan pengaruh diberikan pengecualian, sedangkan golongan yang lemah dikenakan hukuman.
Perkataan al-Syarif dalam hadis ini merujuk kepada individu yang mempunyai kedudukan dan kemuliaan dalam masyarakat. Manakala al-Daʻif merujuk kepada golongan yang tidak mempunyai pengaruh atau kekuatan yang sama.
Rasulullah SAW menjelaskan bahawa ketidakadilan seperti ini merupakan antara sebab kebinasaan umat terdahulu. Hal ini kerana undang-undang yang dilaksanakan secara selektif akan menghilangkan kepercayaan masyarakat terhadap keadilan dan kewibawaan pihak berkuasa.
Oleh itu, prinsip keadilan dalam Islam menuntut supaya setiap individu diberikan layanan yang sewajarnya berdasarkan ketetapan syarak, tanpa dipengaruhi kedudukan atau hubungan peribadi.
Hubungan kekeluargaan bukan alasan untuk menggugurkan hukum Allah SWT
Penegasan Rasulullah SAW semakin jelas apabila Baginda menyebut nama puterinya sendiri Fatimah RA. Penyebutan Fatimah RA dalam hadis ini membawa satu penegasan yang amat besar tentang prinsip keadilan. Baginda SAW memberikan contoh individu yang mempunyai hubungan kekeluargaan paling dekat dengan dirinya bagi menjelaskan bahawa tiada sesiapa pun boleh diberikan pengecualian daripada hukum Allah SWT hanya disebabkan hubungan keturunan atau kedudukan.
Hal ini menunjukkan bahawa keadilan dalam Islam tidak bersifat selektif. Bahkan, orang yang mempunyai kedudukan paling tinggi sekalipun tetap tertakluk kepada ketetapan hukum syarak.
Kesimpulan
Hadis ini menegaskan bahawa Islam amat menitikberatkan keadilan dalam pelaksanaan hukum tanpa mengira kedudukan, keturunan, kekayaan atau hubungan kekeluargaan. Teguran Rasulullah SAW terhadap Usamah bin Zaid RA membuktikan bahawa tiada sesiapa pun boleh diberikan keistimewaan sehingga mengabaikan ketetapan Allah SWT.
Hadis ini turut mengingatkan bahawa kerosakan masyarakat berlaku apabila golongan berpengaruh diberikan perlindungan, sedangkan golongan lemah dikenakan hukuman. Justeru, setiap pihak yang diberikan amanah hendaklah memelihara prinsip keadilan dan menghindari sebarang bentuk pilih kasih dalam pentadbiran. Wallahu a'lam.
SAHIBUS SAMAHAH TUAN HAJI AHMAD FAUWAZ BIN FADZIL
Mufti Wilayah Persekutuan
12 November 2026 / 2 Jamadilakhir 1448H
[1] Ibn Battal, Syarh Sahih al-Bukhari, ed. Abu Tamim Yasir bin Ibrahim (Riyad: Maktabah al-Rusyd, 2003), jld. 8: hlm. 408.
[2] Badr al-Din al-'Ayni, Umdah al-Qari Syarh Sahih al-Bukhari (Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, t.t.), jld. 16: hlm. 60.
وَفِيهِ: النَّهْيُ عَنِ الشَّفَاعَةِ فِي الْحُدُودِ وَلَكِنْ ذَلِكَ بَعْدَ بُلُوغِهِ إِلَى الْإِمَامِ