Pilihan Bahasa:

hubungi2maklumbalas2peta2

TINTA MUFTI BIL. 161/2026:KEADILAN DALAM PENILAIAN TERHADAP PEMIMPIN DAN LARANGAN MENJATUHKAN IMEJ PEMIMPIN YANG ADIL

t.jpg

 

KEADILAN DALAM PENILAIAN TERHADAP PEMIMPIN DAN LARANGAN MENJATUHKAN IMEJ PEMIMPIN YANG ADIL

Dalam Islam, tanggungjawab memimpin adalah suatu taklif dan pertanggungjawaban yang amat berat. Selari dengan tanggungjawab yang besar tersebut, seorang pemimpin yang dapat bersikap adil dan rahmat terhadap rakyatnya akan diangkat darjat di sisi Allah SWT dan dijanjikan naungan di Padang Mahsyar kelak. Rasulullah SAW bersabda:

سبعَةٌ يُظِلُّهُمُ اللهُ في ظِلِّهِ يومَ لا ظِلَّ إِلَّا ظِلُّهُ : إِمامٌ عَادِلٌ

Maksudnya: Tujuh (golongan) yang akan dinaungi Allah pada hari di mana tidak ada naungan lain kecuali naungan-Nya iaitu (pertama), pemimpin yang adil.

(Riwayat al-Tirmidzi)

Oleh kerana kedudukan pemimpin yang adil ini begitu tinggi di sisi Allah SWT, perbuatan menciptakan persepsi palsu dan fitnah terhadap pemimpin yang adil adalah satu bentuk sangkaan buruk yang diharamkan. Terutamanya di zaman ini, di mana maklumat tersebar dengan pantas, sering kali timbul gejala melemparkan sangkaan buruk fitnah atau mencipta persepsi bahawa seorang pemimpin yang adil itu berlaku zalim atau tidak adil.

Dalam hal ini, Allah SWT secara tegas melarang umat Islam daripada bersangka buruk serta menerima sebarang berita yang tidak disahkan kebenarannya, apatah lagi jika ia bertujuan untuk menjatuhkan maruah seseorang pemimpin yang menjalankan tugas dengan baik. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ ۖ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa

(Surah al-Hujurat: 12)

Perbuatan ini dilarang keras dalam Islam kerana ia bukan sahaja menganiaya individu yang difitnah, malah boleh mencetuskan huru-hara dan mafsadah serta menghilangkan kepercayaan rakyat terhadap institusi kepimpinan. Oleh itu, sebagai seorang muslim, apabila ada pihak yang membawa naratif atau dakyah bahawa pemimpin telah berlaku tidak adil, umat Islam diwajibkan untuk menyelidiki kesahihannya terlebih dahulu. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ ‎﴿٦﴾‏

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini -dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya)- sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.

(Surah al-Hujurat: 6)

Oleh yang demikian, disimpulkan bahawa membina persepsi palsu dan negatif terhadap pemimpin yang berlaku adil merupakan perbuatan yang bertentangan dengan tuntutan syarak. Perbuatan sedemikian bukan sahaja melibatkan dosa sangkaan buruk, malah boleh membawa kepada fitnah, pembohongan dan pencemaran maruah seseorang. Islam memberikan kedudukan yang tinggi kepada pemimpin yang adil kerana tanggungjawab mereka dalam melaksanakan amanah dan menjaga kemaslahatan masyarakat. Oleh itu, sebarang penilaian terhadap kepimpinan hendaklah dibuat secara adil, berasaskan fakta dan tidak dipengaruhi oleh sentimen atau kepentingan tertentu.

Selain itu, setiap Muslim hendaklah sentiasa mengutamakan prinsip keadilan dalam menilai seseorang, khususnya mereka yang memegang jawatan kepimpinan. Penilaian terhadap seseorang pemimpin tidak seharusnya didasarkan semata-mata pada perbezaan pandangan, kecenderungan politik atau sentimen peribadi, sebaliknya perlu mengambil kira fakta, pertimbangan yang objektif terhadap sumbangan serta tindakannya. Keadilan dalam penilaian juga menuntut agar kebaikan seseorang tidak dinafikan hanya kerana terdapat kelemahan atau kekurangan tertentu pada dirinya. Prinsip ini selaras dengan tuntutan Islam supaya berlaku adil dalam setiap keadaan, termasuk terhadap pihak yang berbeza pendirian dengan kita.

Dalam konteks yang lebih luas, penyebaran maklumat palsu dan manipulasi persepsi terhadap pemimpin boleh menjejaskan kepercayaan masyarakat terhadap institusi kepimpinan, sekali gus memberi kesan kepada kestabilan negara dan perpaduan ummah (maṣlaḥah ‘āmmah). Justeru, umat Islam perlu mengamalkan prinsip tabayyun sebelum menerima atau menyebarkan sesuatu maklumat, serta mengelakkan budaya politik yang berasaskan kebencian dan permusuhan. Sekiranya terdapat perkara yang perlu ditegur, ia hendaklah disampaikan dengan cara yang beradab, berhikmah dan bersesuaian dengan keadaan. Pada masa yang sama, umat Islam sewajarnya mendoakan agar para pemimpin sentiasa diberikan petunjuk dan kekuatan untuk melaksanakan amanah serta menegakkan keadilan demi kesejahteraan masyarakat dan negara.

Waallahu a’lam.

S.S. Tuan Haji Ahmad Fauwaz bin Ali @ Fadzil

Mufti Wilayah Persekutuan

18 November 2026 / 8 Jamadilakhir 1448H