Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-AFKAR #16: LOGIK KEWUJUDAN ALLAH UNTUK AGNOSTIK DAN ATEIS

Soalan: Apakah hujah kewujudan Allah SWT yang sesuai untuk dibentangkan kepada golongan Ateis dan Agnostik?

Jawapan:

Di dalam al-Qur’an, Allah SWT telah menampilkan seorang Nabi yang sangat bijak dalam menggunakan logik akal ketika berhujah iaitu Nabi Ibrahim AS.

Firman Allah SWT:

وَإِذْ قَالَ إِبْرَاهِيمُ لِأَبِيهِ آزَرَ أَتَتَّخِذُ أَصْنَامًا آلِهَةً إِنِّي أَرَاكَ وَقَوْمَكَ فِي ضَلَالٍ مُبِينٍ (74) وَكَذَلِكَ نُرِي إِبْرَاهِيمَ مَلَكُوتَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَلِيَكُونَ مِنَ الْمُوقِنِينَ (75) فَلَمَّا جَنَّ عَلَيْهِ اللَّيْلُ رَأَى كَوْكَبًا قَالَ هَذَا رَبِّي فَلَمَّا أَفَلَ قَالَ لَا أُحِبُّ الْآفِلِينَ (76) فَلَمَّا رَأَى الْقَمَرَ بَازِغًا قَالَ هَذَا رَبِّي فَلَمَّا أَفَلَ قَالَ لَئِنْ لَمْ يَهْدِنِي رَبِّي لَأَكُونَنَّ مِنَ الْقَوْمِ الضَّالِّينَ (77) فَلَمَّا رَأَى الشَّمْسَ بَازِغَةً قَالَ هَذَا رَبِّي هَذَا أَكْبَرُ فَلَمَّا أَفَلَتْ قَالَ يَاقَوْمِ إِنِّي بَرِيءٌ مِمَّا تُشْرِكُونَ (78)

Maksudnya: “Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berkata kepada bapanya Aazar: "Patutkah ayah menjadikan berhala-berhala sebagai tuhan-tuhan? Sesungguhnya aku melihatmu dan kaummu dalam kesesatan yang nyata".  Dan demikianlah Kami perlihatkan kepada Nabi Ibrahim kebesaran dan kekuasaan (Kami) di langit dan di bumi, dan supaya menjadilah ia dari orang-orang yang percaya dengan sepenuh-penuh yakin. Maka ketika ia berada pada waktu malam yang gelap, ia melihat sebuah bintang (bersinar-sinar), lalu ia berkata: "Inikah Tuhanku?" Kemudian apabila bintang itu terbenam, ia berkata pula: "Aku tidak suka kepada yang terbenam hilang". Kemudian apabila dilihatnya bulan terbit (menyinarkan cahayanya), dia berkata: "Inikah Tuhanku?" Maka setelah bulan itu terbenam, berkatalah dia: "Demi sesungguhnya, jika aku tidak diberikan petunjuk oleh Tuhanku, nescaya menjadilah aku dari kaum yang sesat". Kemudian apabila dia melihat matahari sedang terbit (menyinarkan cahayanya), berkatalah dia: "Inikah Tuhanku? Ini lebih besar". Setelah matahari terbenam, dia berkata pula: ` Wahai kaumku, sesungguhnya aku berlepas diri (bersih) dari apa yang kamu sekutukan (Allah dengannya).”

(Surah al-An’am: 74-78)

Dalam surah yang lain, Nabi Ibrahim AS sekali lagi menzahirkan kehebatannya dalam berhujah menggunakan logik akal dengan Raja Namrud. Firman Allah SWT:

أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِي حَاجَّ إِبْرَاهِيمَ فِي رَبِّهِ أَنْ آتَاهُ اللَّهُ الْمُلْكَ إِذْ قَالَ إِبْرَاهِيمُ رَبِّيَ الَّذِي يُحْيِي وَيُمِيتُ قَالَ أَنَا أُحْيِي وَأُمِيتُ قَالَ إِبْرَاهِيمُ فَإِنَّ اللَّهَ يَأْتِي بِالشَّمْسِ مِنَ الْمَشْرِقِ فَأْتِ بِهَا مِنَ الْمَغْرِبِ فَبُهِتَ الَّذِي كَفَرَ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ (258)

Maksudnya: “Tidakkah engkau (pelik) memikirkan (wahai Muhammad) tentang orang yang berhujah membantah Nabi Ibrahim (dengan sombongnya) mengenai Tuhannya, kerana Allah memberikan orang itu kuasa pemerintahan? Ketika Nabi Ibrahim berkata: "Tuhanku ialah Yang menghidupkan dan Yang mematikan". Ia menjawab: "Aku juga boleh menghidupkan dan mematikan". Nabi Ibrahim berkata lagi: "Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari timur, oleh itu terbitkanlah dia dari barat?" Maka tercenganglah orang yang kafir itu (lalu diam membisu). Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim.”

(Surah al-Baqarah: 258)

Berkenaan dengan maksud kalimah (فَبُهِتَ الَّذِي كَفَرَ) :

  • Imam al-Nasafi mentafsirkannya sebagai teragak-agak dan tersentak. (Madarik al-Tanzil wa Manazil al-Ta’wil, 1/213)
  • Imam al-Baghawi mentafsirkannya sebagai teragak-agak, tersentak dan terputus hujahnya. (Tafsir al-Baghawi, 1/352)
  • Ibn ‘Abbas mentafsirkannya sebagai kalah, terpukul Raja Namrud atau terdiam tanpa hujah (Tanwir al-Miqbas, 37)
  • Syeikh al-Maraghi mentafsirkannya sebagai terkesima dan tidak menemui jawapan seakan-akan Raja Namrud menelan batu. (Tafsir al-Maraghi, 3/21)

Maka, jelas di sini bahaw kaedah yang terbaik bagi berhujah dengan mereka yang menimbulkan keraguan (golongan sofis) ini adalah menggunakan kaedah Qur’ani berdasarkan dialog-dialog mantiqi yang wujud dalam al-Qur’an.

Sebenarnya, al-Qur’an telah menyediakan satu kerangka falsafah yang sangat ampuh bagi membuktikan kewujudan Allah SWT. Ia juga boleh difahami secara logik (aqli) oleh golongan Ateis dan Agnostik tanpa perlu merujuk kepada al-Qur’an sendiri.

Firman Allah SWT:

أَمْ خُلِقُوا مِنْ غَيْرِ شَيْءٍ أَمْ هُمُ الْخَالِقُونَ (35) أَمْ خَلَقُوا السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ بَلْ لَا يُوقِنُونَ (36)

Maksudnya: “(Mengapa mereka tidak beriman?) (i) Adakah mereka telah tercipta dengan tiada yang menciptanya, atau (ii) adakah mereka yang mencipta diri mereka sendiri? (iii) Adakah mereka yang mencipta langit dan bumi itu? (Sudah tentu tidak!) (iv) Bahkan mereka adalah orang-orang yang tidak meyakini (kebenaran apa yang mereka pernah mengakuinya).”

(Surah al-Tur: 35-36)

Imam al-Nasafi dalam Madarik al-Tanzil wa Manazil al-Ta’wil (3/386) menjelaskan kalimah

  • (أَمْ خُلِقُوا) bermaksud: “Adakah mereka telah diwujudkan dan telah ditetapkan takdir atas fitrah mereka sendiri?”
  • (مِنْ غَيْرِ شَىْءٍ) bermaksud: “Tanpa tiada yang menentukan.”
  • (أَمْ هُمُ الخالقون) bermaksud: Adakah mereka yang menciptakan diri mereka sendiri, di mana mereka tidak menyembah Pencipta. Dikatakan mereka telah diciptakan tanpa sesuatu tujuan apa pun daripada balasan dan perhitungan. Adakah mereka yang mencipta diri mereka sendiri? Maka mereka tidak
  • (أَمْ خَلَقُواْ السماوات والأرض) bermaksud: “Maka mereka tidak menyembah yang menjadi keduanya (langit dan bumi).

Kami susun semula ayat di atas dalam premis-premis yang mudah difahami. Di dalam Surah al-Tur ayat 35-36, ada 4 kemungkinan bagi menyatakan bagaimana sesuatu itu diciptakan atau wujud:

  1. Tercipta dengan tiada yang menciptanya.
  2. Menciptakan diri sendiri.
  3. Diciptakan oleh sesuatu yang diciptakan.
  4. Diciptakan oleh sesuatu yang tidak diciptakan.

Kenyataan Satu: Tercipta dengan tiada yang menciptanya.

Logikkah jika dikatakan sesuatu itu diciptakan oleh sesuatu yang tiada? Secara matematiknya, 0 + 0 = 0 dan bukannya 2. Sesuatu yang diciptakan daripada sesuatu yang tiada, semestinya memerlukan kondisi sebab-akibat yang membawa kepada penciptaannya. Jika tidak, ia bercanggah dengan rasional akal manusia, begitu juga metafizik. Sebagai contoh, mereka yang percaya dunia ini tercipta tanpa ada Pencipta, sudah pasti tidak bermasalah untuk menerima sebuah kereta tiba-tiba hilang tanpa ada sebab. Walaubagaimanapun, ia jelas tidak dapat diterima akal.

Kenyataan Dua: Menciptakan diri sendiri.

Adakah alam semesta ini terjadi dengan sendiri? Perkataan ‘cipta’ itu sendiri sudah menunjukkan bahawa ianya tidak ada sebelum diadakan. Bilamana ianya wujud, sudah pasti ia “pernah” tidak wujud sebelumnya. Memahami konsep penciptaan membuatkan kita mengetahui bahawa sesuatu itu mustahil untuk wujud dan tidak wujud dalam satu masa yang sama.

Sama juga jika kita menyatakan bahawa seekor kucing telah melahirkan dirinya sendiri. Untuk berpendirian sebegini, semestinya kita perlu meyakini bahawa kucing itu telah wujud sebelum ia lahir lagi. Logik ini terpakai untuk semua perkara yang wujud di dalam semesta ini.

Kenyataan Tiga: Diciptakan oleh sesuatu yang diciptakan.

 Isu ini telah lama dihuraikan oleh ulama' Asya'irah di dalam perbahasan dawr (circular reasoning) dan tasalsul (infinite regress). Contohnya, A adalah sebab bagi B dan B sebagai sebab bagi A. Begitu juga A sebab bagi B, B sebab bagi C, C sebab bagi D dan D sebab bagi A.

Secara logik, jika A menjadi sebab bagi B, maka B tidak akan pernah menjadi sebab bagi A. Sebagai contoh, jika Ahmad makan, maka perutnya kenyang. “Kenyang” merupakan akibat dari “makan”. Tidak logik sama sekali "kenyang" itu penyebab Ahmad makan kerana penyebab makan adalah lapar. Sebab dan akibat tidak pernah berputar, tetapi berlanjutan. A sebab dari B, B sebab dari C, C sebab dari D. Allah suci daripada hal ini.

Dalam masa yang sama, jika difahami Tuhan itu dari bentuk tasalsul, adalah jauh dari logik akal. Tuhan A mencipta Tuhan B, Tuhan B mencipta Tuhan C...sehinggalah tidak ada penamatnya. Jelas dengan logik mudah ini, teori dawr dan tasalsul adalah tidak tepat dari sudut akan dan bercanggah dengan konsep Qidam Allah SWT.

Sifat Qidam ialah ketiadaan permulaan bagi keberadaan atau wujud Allah, sebab Allah adalah sumber semua makhluk, Pencipta makhluk, dan pencipta itu mesti lebih dahulu daripada yang dicipta. Dia sedia adanya tanpa sesuatu yang mengadakan-Nya. Allah SWT. berfirman :

هُوَ الْأَوَّلُ وَالْآخِرُ وَالظَّاهِرُ وَالْبَاطِنُ ۖ وَهُوَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ

Maksudnya : “Dia-lah Yang Awal dan Yang Akhir, Yang Zahir dan Yang Batin, dan Dia Maha Mengetahui segala sesuatu.”

(Al-Hadid: 3)

Memetik kata Imam al-Sanusi dalam Umm al-Barahin,

"Dalil yang menunjukkan kewujudan Allah SWT tidak ada permulaannya ialah sekiranya Allah SWT baru diciptakan, maka pastilah ia berhajat kepada pencipta-Nya. Perkara ini akan membawa kepada masalah dawr atau tasalsul. Kedua-dua perkara ini mustahil pada akal fikiran manusia."

Sekiranya kita katakan “Ya. Mungkin kita diciptakan oleh sesuatu yang diciptakan.” Maka, timbul persoalan, “Siapa pula yang menciptakaan pencipta berkenaan?” Ia adalah kenyataan yang tidak berpenghujung sama sekali (infinite regress). Sebagai contoh, sekiranya seorang pekerja memerlukan tandatangan majikannya bagi urusan tertentu, tetapi majikannya meminta beliau berjumpa dengan pihak atasan. Pihak atasan pula mengarahkannya bertemu dengan pihak yang lebih atas dan seterusnya. Ia semestinya berakhir dengan seorang atau sekumpulan individu tertinggi dalam satu-satu syarikat. Amat mustahil jika sebaliknya berlaku.

Kenyataan Empat: Diciptakan oleh sesuatu yang tidak diciptakan.

Maka, hanya ada satu “kemungkinan” yang pasti iaitu, sesuatu yang wujud itu diciptakan oleh sesuatu yang tidak diciptakan. Oleh itu, ia juga bermaksud “sesuatu” itu sentiasa wujud sifatnya dan tidak ada permulaan daripada tiada kepada ada. “Sesuatu” itu juga semestinya tidak ada pengakhiran. Dialah Allah SWT yang mana diluar kemampuan akal manusia untuk ditanggapi hakikat Zat-Nya yang Maha Tinggi. Firman Allah SWT:

ذَلِكُمُ اللَّهُ رَبُّكُمْ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ خَالِقُ كُلِّ شَيْءٍ فَاعْبُدُوهُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ وَكِيلٌ (102) لَا تُدْرِكُهُ الْأَبْصَارُ وَهُوَ يُدْرِكُ الْأَبْصَارَ وَهُوَ اللَّطِيفُ الْخَبِيرُ (103)

Yang demikian (sifat-sifatNya dan kekuasaanNya) ialah Allah Tuhan kamu, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, yang menciptakan tiap-tiap sesuatu, maka beribadatlah kamu kepadaNya. Dan (ingatlah) Dia lah yang mentadbirkan segala-galanya. Ia tidak dapat dilihat dan diliputi oleh penglihatan mata, sedang Ia dapat melihat (dan mengetahui hakikat) segala penglihatan (mata), dan Dia lah Yang Maha Halus (melayan hamba-hambaNya dengan belas kasihan), lagi Maha Mendalam pengetahuanNya.

  (Surah al-An’am: 102-103)

 

Kesimpulan

Kami sendiri meyakini bahawa golongan Ateis masih berusaha untuk mencapai hujah yang benar-benar logik bagi membuktikan ketidakwujudan Tuhan. Manakala golongan Agnostik pula, lebih kepada persoalan-persoalan yang belum mereka temui jawapannya sedangkan ianya ada jawapan.

Lihatlah sendiri bagaimana Richard Dawkins dalam perdebatannya bersama Dr. Rowan Williams, akhirnya mengakui bahawa beliau sendiri masih tidak yakin sepenuhnya (6.9 / 7 menurut dialog berkenaan) akan tiada Pencipta bagi alam ini. Maka, sebenarnya masih ada ruang dan peluang untuk kajian dilanjutkan bagi Ateis dan Agnostik yang ikhlas ingin mencari Tuhan dengan syarat hendaklah direndahkan ego dan menerima pandangan dengan hati terbuka.

Semoga kita sama-sama mendapat manfaat daripada penulisan ini dan dapat meningkatkan keimanan kita kepada Allah SWT.