Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-AFKAR #21 : BOLEHKAH MENGGUNAKAN KHIDMAT JIN?

KHIDMAT JIN.png

 

Soalan

Bolehkah kita menggunakan khidmat jin?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

 

Jin dan Hakikatnya

Jin adalah sebahagian daripada makhluk Allah. Ia diciptakan sebelum daripada penciptaan Nabi Adam AS. Allah SWT berfirman:

وَلَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنسَانَ مِن صَلْصَالٍ مِّنْ حَمَإٍ مَّسْنُونٍ ﴿٢٦﴾ وَالْجَانَّ خَلَقْنَاهُ مِن قَبْلُ مِن نَّارِ السَّمُومِ

Maksudnya: Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia (Adam) dari tanah liat yang kering, yang berasal dari tanah kental yang berubah warna dan baunya. Dan jin pula, Kami jadikan dia sebelum itu, dari angin api yang panasnya menyerap ke liang bulu roma.

(Surah al-Hijr: 26-27)

Ibn Kathir berkata: (وَالْجَانَّ خَلَقْنَاهُ مِن قَبْلُ) “Dan jin pula, Kami jadikan dia sebelum itu,” Yakni sebelum manusia (Adam). (مِن نَّارِ السَّمُومِ) dari angin api yang panasnya menyerap ke liang bulu roma. Ibnu Abbas meriwayatkan: Iaitu api panas yang mematikan. (Lihat Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, 5/10)

Syeikh al-Maraghi berkata: “Kami menciptakan jenis Jin ini sebelum penciptaan Nabi Adam AS. Ia dicipta daripada api, angin yang sangat panas sehingga dapat membakar dan membunuh sesiapa sahaja yang mengalaminya.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 14/20)

Diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah R.Anha, Rasulullah SAW bersabda:

خُلِقَتِ الْمَلَائِكَةُ مِنْ نُورٍ، وَخُلِقَ الْجَانُّ مِنْ مَارِجٍ مِنْ نَارٍ، وَخُلِقَ آدَمُ عَلَيْهِ السَّلَامُ مِمَّا وُصِفَ لَكُمْ

Maksudnya: “Malaikat diciptakan dari cahaya, jin diciptakan dari nyala api dan Adam diciptakan dari apa yang disifatkan (diceritakan) bagi kamu”.

Riwayat Muslim (2996), Ahmad (25194)
dan Ibn Hibban (6155)

Menurut Ibnu Abbas, Ikrimah, Mujahid, al-Hasan dan lainnya, berkenaan penciptaan jin daripada “مِنْ مَارِجٍ مِنْ نَارٍ”, maksudnya ialah hujung api membara (طرف اللهب) dan dalam riwayat yang lain bermaksud daripada api yang murni (من خالصه). (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 1/59)

Jin terbahagi kepada tiga golongan. Hal ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Abi Tsa’labah al-Khusyaniy R.A, Rasulullah SAW bersabda:

الْجِنُّ ثَلاَثَةُ أَصْنَافٍ صِنْفٌ لَهُمْ أَجْنِحَةٌ يَطِيرُونَ فِي الْهَوَاءِ ، وَصِنْفٌ حَيَّاتٌ وَكِلاَبٌ ، وَصِنْفٌ يَحِلُّونَ وَيَظْعَنُونَ

Maksudnya: Jin terdiri daripada tiga golongan. Satu golongan mempunyai sayap dan terbang di udara, satu golongan berbentuk ular dan anjing, manakala satu golongan lagi mendiami sesuatu tempat dan berpindah-randah seperti Arab Badwi.

Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak (3702)
dan al-Tabarani (22/214)

 

 Hukum Menggunakan Khidmat Jin

Menjawab isu yang timbul, Islam melarang umatnya daripada mengambil atau menggunakan khidmat jin apatah lagi dalam melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh syarak.

Mengambil dan meminta pertolongan daripada jin akan menjadikan mereka lebih bongkak, sombong dan bertambah kejahatannya. Allah SWT berfirman:

وَأَنَّهُ كَانَ رِجَالٌ مِّنَ الْإِنسِ يَعُوذُونَ بِرِجَالٍ مِّنَ الْجِنِّ فَزَادُوهُمْ رَهَقًا

Maksudnya: Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang dari manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat.

(Surah al-Jin: 6)

Ibn Kathir berkata: Ketika jin-jin itu melihat bahawa manusia melindungkan diri kepada mereka, maka mereka pun semakin menambahkan rasa takut dan seram serta sifat pengecut sehingga manusia merasa lebih takut dan lebih bersungguh-sungguh dalam melindungkan diri kepada mereka. Qatadah menyebut, (فَزَادُوهُمْ رَهَقًا) “menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat,” iaitu dosa. Dan dengan demikian, jin semakin bertambah berani melawan mereka. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 18/6)

Mereka yang cuba untuk mendapatkan khidmat jin biasanya beranggapan bahawa jin mengetahui perkara-perkara ghaib. Sedangkan pada hakikatnya, jin tidak mengetahui perkara ghaib. Hal ini jelas sepertimana yang berlaku dalam kisah Nabi Sulaiman A.S:

فَلَمَّا قَضَيْنَا عَلَيْهِ الْمَوْتَ مَا دَلَّهُمْ عَلَىٰ مَوْتِهِ إِلَّا دَابَّةُ الْأَرْضِ تَأْكُلُ مِنسَأَتَهُ ۖ فَلَمَّا خَرَّ تَبَيَّنَتِ الْجِنُّ أَن لَّوْ كَانُوا يَعْلَمُونَ الْغَيْبَ مَا لَبِثُوا فِي الْعَذَابِ الْمُهِينِ

Maksudnya: Setelah Kami tetapkan berlakunya kematian Nabi Sulaiman, tidak ada yang menunjukkan kepada mereka tentang kematiannya melainkan semut putih (anai-anai) yang telah memakan tongkatnya. Maka apabila ia tumbang, ternyatalah kepada golongan jin itu, bahawa kalaulah mereka sedia, mengetahui perkara yang ghaib nescaya mereka tidak tinggal sedemikian lamanya di dalam azab (kerja berat) yang menghina.

(Surah Saba’: 14)

Ibn Kathir berkata: “Nyatalah bagi kita bahawa jin dan manusia tidak mengetahui perihal yang ghaib. Asbagh berkata: Telah sampai kepadaku bahawa tongkat itu tegak selama setahun lalu menjadi rapuh dan akhirnya Nabi Sulaiman AS rebah tersungkur. Ini senada dengan ucapan ulama salaf yang lain. Ini menunjukkan jin tidak mengetahui perkara ghaib. Hal ini berdasarkan beberapa riwayat secara marfu’ yang dinyatakannya.” (Lihat Tafsir al-Qur’an al-Azim, 3/638)

Al-Maraghi berkata: “Setelah Kami mewafatkan Nabi Sulaiman AS, sehinggalah jin melihat tongkatnya dihurungi anai-anai barulah mereka mengetahui kewafatannya. Ini disebabkan Nabi Sulaiman AS wafat dalam keadaan berdiri sambil memegang tongkat sehingga akhirnya tongkatnya hancur di makan anai-anai, barulah baginda jatuh tersungkur. Kemudian barulah jin menyedari sebenarnya mereka tidak mengetahui perkara ghaib dan mereka tetap meneruskan pekerjaan yang di amanahkan oleh Nabi Sulaiman kerana mereka menyangka baginda masih hidup.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 22/68)

 

Kesimpulan

Oleh itu, berdasarkan apa yang dinyatakan, kami berpandangan menggunakan khidmat jin adalah dilarang bagi menyekat jalan-jalan yang boleh membawa kepada kerosakan akidah. Ini dikenali sebagai sadd al-zari’ah.

Sebagai penutup, kami nukilkan keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan berkaitan penggunaan jin menurut Islam, menyebut:

  • Bersahabat dengan jin dengan tujuan mendapatkan pertolongan dalam perkara-perkara yang ditegah oleh syarak adalah haram.
  • Meminta pertolongan jin dalam rawatan perubatan sehingga membawa kepada syirik adalah haram.
  • Meminta pertolongan jin untuk mencari kekuatan dan kehebatan adalah haram.
  • Meminta dan menggunakan khidmat jin untuk ilmu sihir atau nujum adalah haram.[1]

Semoga keyakinan kita kepada Allah begitu tinggi selaras dengan bacaan al-Fatihah kita:

إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ

Maksudnya: Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.

(Surah al-Fatihah: 5)

Ibn Kathir berkata: Bahagian pertama, iaitu “Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah,” ialah pernyataan berlepas diri daripada kemusyrikan. Manakala pada bahagian kedua, iaitu “kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan,” merupakan sikap berlepas diri dari upaya dan kekuatan serta berserah diri kepada Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/214)

Semoga Allah kurniakan kefahaman kepada kita untuk beragama mengikut neraca Syariah yang sebenar. Amin.

[1] Lihat Kompilasi Muzakarah MKI 2016 – Jakim di pautan berikut: http://www.islam.gov.my/images/ePenerbitan/KOMPILASI_MUZAKARAH_MKI_2016.pdf