Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-AFKAR #44: BOLEHKAH MANUSIA BIASA MELIHAT JIBRIL AS

lihat jibrilllll.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Adakah seorang manusia biasa boleh melihat Jibrail AS?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Pada asalnya, manusia tidak mampu melihat malaikat. Manusia mungkin melihat malaikat jika mereka menjelma bukan dalam wujud aslinya. Dan ini telah terjadi kepada para sahabat Nabi SAW. Mereka pernah melihat Jibril dalam bentuk Dihyah al-Kalbi. (Lihat Sahih Bukhari no. 4980 dan Muslim no. 2451). Dan mereka juga pernah melihat Jibril dalam rupa seseorang yang tidak dikenali sebagaimana disebutkan dalam hadis panjang tentang Jibril iaitu hadis Umar R.A. (Lihat Sahih Muslim no.8)

Begitu juga Jibril pernah menjelma dalam bentuk manusia di hadapan Saidatina Maryam sebagaimana firman-Nya:

فَتَمَثَّلَ لَهَا بَشَرًا سَوِيًّا

Maksudnya: Lalu ia menyamar diri kepadanya sebagai seorang lelaki yang sempurna bentuk kejadiannya.

Surah Maryam (17)

Syeikh Tahir al-Jazairi dalam kitabnya, al-Jawahir al-Kalamiyyah, berkata:

لَا يَرَى البَشَرُ غَيْرَ الأَنْبِيَاءِ الملَائِكَةَ إِذَا كَانُوا عَلَى صُوَرِهِمْ الأَصْلِيَّةِ لِأَنَّهُمْ أَجْسَامٌ لَطِيفَةٌ كَمَا أَنَّهُمْ لَا يَرَوْنَ الهَوَاءَ مَعَ كَوْنِهِ جِسْمًا مَالِئًا لِلفضَاءِ لِكَوْنِهِ لَطِيفاً وَأَمَّا إِذَا تَشَكَّلُوا بِصُورَةِ جِسْمٍ كَثِيفٍ كَالإِنْسَانِ فَيَرَوْنَهُمْ وَرُؤْيَةُ الأَنْبِيَاءِ لَهُمْ عَلَى صُوَرِهِمْ الأَصْلِيَّةِ خُصُوصِيَّةً خَصُّوا بِهَا لِتُلْقِيَ المسائِلَ الدِّينِيَّة وَالأَحْكَام الشَّرْعِيَّة

Maksudnya: Manusia tidak dapat melihat bentuk asli malaikat)kecuali para Nabi. Kerana malaikat tercipta daripada jisim halus (jismun lathif) seperti udara di dalam ruangan yang tidak dapat dilihat dengan mata (tetapi dapat dirasa kehadirannya). Namun apabila malaikat mewujudkan dirinya dalam bentuk jasmani kasar (jismin kasif) sebagaimana manusia maka semua orang dapat melihatnya. Adapun kemampuan para nabi melihat malaikat dalam bentuknya yang asli (jisim halus) tidak lain merupakan kekhususan yang diberikan Allah SWT kepada mereka bagi menyelesaikan pelbagai masalah keagamaan dan hukum- hukum Syarak. (Lihat al-Jawahir al-Kalamiyyah, hlm. 29)

Oleh itu kami katakan, ya, mungkin. Ini berdasarkan kepada hadis sahih seperti diriwayatkan oleh Muslim, sebagaimana sahabat melihat Jibril yang berupa menjadi seorang lelaki bertanyakan tentang Islam, iman, ihsan, kiamat dan tandanya.

Daripada Umar R.A, beliau berkata:

بَيْنَمَا نَحْنُ جُلُوسٌ عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه و سلم ذَاتَ يَوْمٍ، إذْ طَلَعَ عَلَيْنَا رَجُلٌ شَدِيدُ بَيَاضِ الثِّيَابِ، شَدِيدُ سَوَادِ الشَّعْرِ، لَا يُرَى عَلَيْهِ أَثَرُ السَّفَرِ، وَلَا يَعْرِفُهُ مِنَّا أَحَدٌ. حَتَّى جَلَسَ إلَى النَّبِيِّ صلى الله عليه و سلم . فَأَسْنَدَ رُكْبَتَيْهِ إلَى رُكْبَتَيْهِ، وَوَضَعَ كَفَّيْهِ عَلَى فَخِذَيْهِ،

وَقَالَ: يَا مُحَمَّدُ أَخْبِرْنِي عَنْ الْإِسْلَامِ. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه و سلم الْإِسْلَامُ أَنْ تَشْهَدَ أَنْ لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ، وَتُقِيمَ الصَّلَاةَ، وَتُؤْتِيَ الزَّكَاةَ، وَتَصُومَ رَمَضَانَ، وَتَحُجَّ الْبَيْتَ إنْ اسْتَطَعْت إلَيْهِ سَبِيلًا. قَالَ: صَدَقْت . فَعَجِبْنَا لَهُ يَسْأَلُهُ وَيُصَدِّقُهُ! قَالَ: فَأَخْبِرْنِي عَنْ الْإِيمَانِ. قَالَ: أَنْ تُؤْمِنَ بِاَللَّهِ وَمَلَائِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ، وَتُؤْمِنَ بِالْقَدَرِ خَيْرِهِ وَشَرِّهِ. قَالَ: صَدَقْت. قَالَ: فَأَخْبِرْنِي عَنْ الْإِحْسَانِ. قَالَ: أَنْ تَعْبُدَ اللَّهَ كَأَنَّك تَرَاهُ، فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَإِنَّهُ يَرَاك.

قَالَ: فَأَخْبِرْنِي عَنْ السَّاعَةِ. قَالَ: مَا الْمَسْئُولُ عَنْهَا بِأَعْلَمَ مِنْ السَّائِلِ. قَالَ: فَأَخْبِرْنِي عَنْ أَمَارَاتِهَا؟ قَالَ: أَنْ تَلِدَ الْأَمَةُ رَبَّتَهَا، وَأَنْ تَرَى الْحُفَاةَ الْعُرَاةَ الْعَالَةَ رِعَاءَ الشَّاءِ يَتَطَاوَلُونَ فِي الْبُنْيَانِ. ثُمَّ انْطَلَقَ، فَلَبِثْتُ مَلِيًّا، ثُمَّ قَالَ: يَا عُمَرُ أَتَدْرِي مَنْ السَّائِلُ؟. قُلْتُ: اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ. قَالَ: فَإِنَّهُ جِبْرِيلُ أَتَاكُمْ يُعَلِّمُكُمْ دِينَكُمْ ".

Maksudnya: “Ketika kami duduk di sisi Rasulullah SAW pada suatu hari, tiba-tiba datanglah seorang laki-laki yang sangat putih pakaiannya dan sangat hitam rambutnya, tidak kelihatan padanya tanda perjalanan jauh dan tidak ada seorang pun di antara kami yang mengenalinya.

Sehinggalah dia duduk di hadapan Nabi SAW lalu merapatkan kedua lututnya kepada lutut Baginda, lalu berkata: “Wahai Muhammad, ceritakan kepadaku tentang Islam.” Sabda Rasulullah SAW: “Islam adalah engkau bersaksi bahawa tidak ada tuhan yang disembah melainkan Allah, dan Nabi Muhammad adalah utusan Allah, engkau mendirikan Solat, menunaikan zakat, berpuasa Ramadhan dan menunaikan haji jika mampu.” Kemudian dia berkata: “Anda berkata benar”. Kami hairan, dia yang bertanya, dia pula yang membenarkan.

Kemudian dia bertanya lagi: “Ceritakan kepadaku tentang Iman”. Lalu Baginda bersabda: “Engkau beriman kepada Allah, malaikat-malaikatNya, kitab-kitabNya, Rasul-RasulNya, hari akhirat dan engkau beriman kepada takdir yang baik atau yang buruk.” Kemudian dia berkata: “Anda berkata benar.” Kemudian dia berkata lagi: “Beritahukan kepadaku tentang Ihsan”. Lalu Baginda bersabda: “Ihsan adalah engkau beribadah kepada Allah seakan-akan engkau melihatNya, jika engkau tidak melihatNya maka Dia melihat engkau”.

Kemudian dia berkata: “Beritahukan kepadaku tentang hari kiamat (bila ia akan berlaku)”. Beliau bersabda: “Yang ditanya tidak lebih tahu dari yang bertanya.” Dia berkata: “Ceritakan kepadaku tentang tanda-tandanya.” Baginda bersabda: “Jika seorang hamba melahirkan tuannya dan jika engkau melihat pengembala kambing yang berkaki ayam, tidak berpakaian dan miskin, (kemudian) berlumba-lumba meninggikan bangunannya”.

Kemudian orang itu berlalu dan aku (Umar RA) membisu beberapa ketika. Kemudian Baginda bertanya: “Wahai Umar, tahukah engkau siapa yang bertanya itu?” Aku berkata: “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui”. Baginda bersabda: “Dialah Jibril yang datang kepada kamu untuk mengajarkan agama kamu.”

Riwayat Muslim (8)

Syeikh Abdul Muhsin al-Abbad berkata: “Dalam hadis Jibril ini terdapat dalil bahawa malaikat jika mendatangi manusia ia dapat berubah bentuk seperti manusia pula. Dan telah terdapat dalam Al-Quran bahawa Jibril datang kepada Maryam dalam bentuk manusia. Demikian pula mereka (para malaikat) datang kepada Ibrahim dan Luth dalam bentuk manusia. Mereka dapat berubah bentuk dari bentuk mereka yang sesungguhnya ke bentuk manusia dengan kekuasaan Allah SWT. (Lihat al-Kafi Syarah Hadis 40, hlm. 18-19)

Allah SWT telah menyebutkan tentang bentuk penciptaan mereka dalam firman-Nya:

الْحَمْدُ لِلَّـهِ فَاطِرِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ جَاعِلِ الْمَلَائِكَةِ رُسُلًا أُولِي أَجْنِحَةٍ مَّثْنَىٰ وَثُلَاثَ وَرُبَاعَ ۚ يَزِيدُ فِي الْخَلْقِ مَا يَشَاءُ ۚ إِنَّ اللَّـهَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Maksudnya: Segala puji bagi Allah Pencipta langit dan bumi, yang menjadikan malaikat sebagai utusan-utusan (untuk mengurus berbagai macam urusan) yang mempunyai sayap, masing-masing (ada yang) dua, tiga dan empat. Allah menambahkan pada ciptaanNya apa yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.

Surah Fathir (1)

Syeikh Abdul Halim Mahmud berkata, walaupun begitu, ini tidak bererti sesiapa sahaja boleh melihatnya mengikut kehendaknya.

Ramai ulama Salaf berpendapat: “Mereka tidak akan mampu melihat malaikat dalam wujud sebenarnya. Jikalau Kami turunkan malaikat kepada mereka, maka kami turunkan malaikat pada wujud manusia, hingga ada kemiripan dengan mereka, apakah sosok tersebut malaikat atau manusia. Mereka tidak akan mendapatkan manfaat apapun dengan diutusnya malaikat (pada wujud sebenarnya), maka Kami utus kepada mereka sosok manusia dari jenis mereka sendiri, yang memungkinkan untuk dilihat, dan talaqqi kepadanya, ini merupakan bentuk ihsan dan kasih sayang kepada makhluk”. (Lihat Minhaj Sunnah Nabawiyah, 2/333)

Syeikh Umar al-Asyqar berkata: Apabila malaikat merupakan jisim nurani yang lathif, maka hamba (manusia) tidak mampu melihat mereka, khususnya bahawa Allah tidak memberi kepada penglihatan kita kekuatan untuk melihat. Makanya manusia tidak mampu melihat malaikat pada gambaran hakikat dari kalangan umat ini, kecuali Rasulullah SAW. Makanya beliau pernah melihat Jibril sebanyak dua kali dalam bentuk rupa asalnya yang Allah ciptakan. Ini berdasarkan kepada banyak nas bahawa manusia mungkin melihat malaikat jika ia merupakan seperti rupa manusia. (Lihat ‘Alam al-Malaikah al-Abrar, hlm. 11)

Telah thabit dalam hadis kisah seorang lelaki menziarahi saudaranya di sebuah perkampungan yang lain. Maka Allah SWT perlihatkan kepadanya satu malaikat. Apabila dia melalui kawasan tersebut, malaikat bertanya, ke mana kamu mahu pergi?” Jawabnya, “Aku mahu menziarahi saudaraku di kampung ini.” Tanya malaikat, “Adakah kamu ingin membalas nikmat atau kurniaan kepadanya yang kamu perolehi daripadanya? Jawab lelaki tersebut, “Tidak kecuali aku cintakannya semata-mata kerana Allah.” Lantas malaikat itu berkata:

فَإِنِّى رَسُولُ اللَّهِ إِلَيْكَ بِأَنَّ اللَّهَ قَدْ أَحَبَّكَ كَمَا أَحْبَبْتَهُ فِيهِ

Maksudnya: “Maka sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepadamu untuk mengkhabarkan bahawa Allah mencintakanmu sebagaimana kamu mencintakannya semata-mata kerana Allah.”

Riwayat Muslim (6714)

Semoga Allah SWT menjadikan kita sentiasa memahami dan mengimani rukun iman yang enam termasuklah beriman dengan malaikat. Amin.