Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-AFKAR #111 : 'CURANG DENGAN IZIN ALLAH' DAN MENISBAHKAN KEBURUKAN KEPADA ALLAH SWT

afkar

SOALAN :

Assalamualaikum. Baru-baru ini dalam twitter kecoh tentang kenyataan seorang influencer yang menyebut bahawa seseorang itu curang dengan izin Allah. Banyak lagi kenyataan beliau yang boleh menimbulkan salah faham kepada masyarakat khususnya golongan remaja yang menjadi ‘follower’ beliau. Boleh atau tidak kita menisbahkan sesuatu perkara maksiat atau jahat yang kita lakukan kepada Allah SWT? Seakan-akan kita mengatakan bahawa Allah redha dengan kejahatan yang kita lakukan. Seperti curang dengan izin Allah, mencuri dengan izin Allah, buat salah dengan izin Allah.

Mohon pencerahan. Terima kasih.

RINGKASAN JAWAPAN :

Kesimpulannya, perbuatan menisbah kejahatan, keburukan dan maksiat yang dilakukan kepada Allah SWT ialah perbuatan yang tidak beradab terhadap-Nya. Ya, Allah SWT menciptakan semua perkara termasuk semua keburukan dan kejahatan, namun sebagai adab terhadap Allah SWT kita tidak boleh menisbahkan kepada-Nya kecuali perkara-perkara yang baik sahaja.

Menurut Ahli Sunnah Wal Jamaah, setiap hamba Allah mempunyai pilihan sama ada melakukan perkara kebaikan atau kejahatan. Namun kesemuanya tidak terkeluar dari kehendak Allah SWT. Daripada pilihan inilah manusia diuji dan akan diberikan balasan berdasarkan pilihan mereka semasa di dunia.

Selain itu, ucapan ‘saya melakukan maksiat ini dengan izin Allah SWT’ tidak melazimi bahawa Allah SWT redha terhadap perbuatan maksiat tersebut. Ini kerana kehendak (iradah) Allah SWT tidak melazimi keredhaan-Nya. Oleh itu, sesiapa yang melakukan maksiat dengan pilihan dan kehendaknya sendiri, maka dia mendapat kemurkaan Allah SWT. Ucapan sebegini tidak sepatutnya disebut dan malah perlu dielakkan, apatahlagi jika diniatkan untuk menghalalkan perbuatan maksiat dilakukan oleh seseorang.

WaAllahu a’lam

HURAIAN JAWAPAN : 

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Tidak dapat dinafikan bahawa segala sesuatu itu diciptakan oleh Allah SWT. Ini adalah perkara pokok yang wajib untuk diimani. Ianya berdasarkan kepada beberapa ayat al-Quran. Antaranya Allah SWT berfirman :

ذَٰلِكُمُ اللَّـهُ رَبُّكُمْ ۖ لَا إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ ۖ خَالِقُ كُلِّ شَيْءٍ فَاعْبُدُوهُ ۚ وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ وَكِيلٌ

Maksudnya: “Yang demikian (sifat-sifatNya dan kekuasaanNya) ialah Allah Tuhan kamu, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, yang menciptakan tiap-tiap sesuatu, maka beribadatlah kamu kepadaNya. Dan (ingatlah) Dia lah yang mentadbirkan segala-galanya.”[1]

Allah SWT berfirman lagi :

اللَّـهُ خَالِقُ كُلِّ شَيْءٍ ۖ وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ وَكِيلٌ

Maksudnya: “Allah Yang Menciptakan tiap-tiap sesuatu, dan Dia lah Yang Mentadbirkan serta menguasai segala-galanya.”[2]

Dalam ayat yang lain, Allah SWT berfirman :

ذَٰلِكُمُ اللَّـهُ رَبُّكُمْ خَالِقُ كُلِّ شَيْءٍ لَّا إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ فَأَنَّىٰ تُؤْفَكُونَ

Maksudnya: “Yang bersifat demikian ialah Allah, Tuhan kamu; yang menciptakan tiap-tiap sesuatu (dari tiada kepada ada); tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; maka bagaimana kamu dapat dipalingkan (daripada menyembahNya).”[3]

Dalam ayat yang lain pula, Allah SWT menegaskan :

بَلَىٰ وَهُوَ الْخَلَّقُ الْعَلِيمُ

Maksudnya: “…Ya! Diakui dan dipercayai berkuasa! Dan Dia lah Pencipta yang tidak ada bandinganNya, lagi Yang Maha Mengetahui.”[4]

Kesemua ayat-ayat ini menunjukkan bahawa segala sesuatu sama ada perkara baik, buruk, iman dan kekufuran adalah ciptaan Allah SWT. Imam Al-Baidhawi menyebut:

‌اللَّهُ ‌خالِقُ ‌كُلِّ ‌شَيْءٍ من خير وشر وإيمان وكفر. وَهُوَ عَلى كُلِّ شَيْءٍ وَكِيلٌ يتولى التصرف.

Maksudnya: “Allah Maha Mencipta segala sesuatu sama ada perkara kebaikan, kejahatan keimanan dan kekufuran. Dialah yang mentadbir segala sesuatu yang Allah yang menguruskan segalanya.”[5]

Menurut Imam Fakhruddin Al-Razi ketika menafsirkan firman Allah SWT, Surah Al-An’am ayat 102, berkata:

تَمَسَّكَ أَصْحَابُنَا بِقَوْلِهِ: خالِقُ كُلِّ شَيْءٍ عَلَى أَنَّهُ تَعَالَى هُوَ الْخَالِقُ لِأَعْمَالِ الْعِبَادِ قَالُوا أَعْمَالُ الْعِبَادِ أَشْيَاءُ، واللَّه تَعَالَى خَالِقُ كُلِّ شَيْءٍ بِحُكْمِ هَذِهِ الْآيَةِ فَوَجَبَ كَوْنُهُ تَعَالَى خَالِقًا لَهَا

Maksudnya: “Para ulama kami berpegang dengan firman-Nya bahawa Dialah yang menciptakan segala sesuatu bahawa Allah juga yang menciptakan perbuatan hamba-hamba. Mereka berkata: Perbuatan hamba-hamba adalah sesuatu dan Allah menciptakan segala sesuatu. Maka berdasarkan ayat ini, maka Allah SWT yang menciptakan perbuatan-perbuatan tersebut.”[6]

Namun begitu, ini bukan bermakna kita boleh sewenang-wenangnya menisbahkan sesuatu keburukan atau kejahatan yang dilakukan oleh seseorang kepada Allah SWT. Dari satu sudut menyandarkan keburukan dan kejahatan kepada Allah SWT merupakan perkara yang dianggap tidak beradab kepada Allah. Hal ini sepertimana yang disebutkan oleh Shaykh Ali Jum’ah di dalam kitabnya, Aqidah Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah, bahawa:

والفعل خيره و شرّه والإيمان والكفر من خلق الله ولكن الأدب يستوجب علينا أن لا ننسب لله إلّا الحسن فينسب الخير لله والشرّ للنفس كسبا وإن كان منسوبا إلى الله إيجادا

Maksudnya: Setiap perbuatan sama ada baik atau buruk, iman atau kufur, semuanya adalah ciptaan Allah SWT. Namun begitu, adab kepada Allah SWT mewajibkan kita untuk tidak menisbahkan kepada Allah SWT kecuali perkara-perkara yang baik sahaja. Manakala perbuatan buruk pula dinisbahkan kepada diri sebagai pelaku (kasb) walaupun hakikatnya dinisbahkan kepada Allah SWT yang menjadikannya.[7]

Oleh kerana itu, di antara isi kandungan doa iftitah yang pernah dibaca oleh Nabi SAW seperti mana yang diriwayatkan oleh Ali Bin Abu Talib R.A :

وَالْخَيْرُ كُلُّهُ فِي يَدَيْكَ، وَالشَّرُّ ‌لَيْسَ ‌إِلَيْكَ،

Maksudnya : “Segala kebaikan berada di kekuasaan Engkau dan kejahatan bukan dikembalikan kepada Engkau.”[8]

Imam Al-Nawawi menjelaskan frasa yang disebutkan oleh Nabi SAW ini, yang mana pada asasnya beliau menukilkan pandangan Al-Khattabi berkenaan menisbahkan sesuatu yang buruk kepada Allah. Al-Khattabi menyatakan :

فِيهِ الْإِرْشَادُ إِلَى الْأَدَبِ فِي الثَّنَاءِ عَلَى اللَّهِ تَعَالَى وَمَدْحِهِ بِأَنْ يُضَافَ إِلَيْهِ مَحَاسِنُ الْأُمُورِ دُونَ مَسَاوِيهَا عَلَى جِهَةِ الْأَدَبِ

Maksudnya: “Dalam hadith tersebut terdapat panduan adab memuji Allah SWT iaitu menisbahkan perkara-perkara yang baik kepada Allah tanpa menisbahkan perkara yang buruk dari sudut adab.”[9]

Beliau menjelaskan lagi bahawa hadith tersebut perlu ditakwil kerana pada asasnya setiap perkara yang baharu sama ada yang baik atau yang buruk adalah ciptaan Allah SWT menurut pandangan Ahli Sunnah. Beliau menyebut :

فَمِمَّا يَجِبُ تَأْوِيلُهُ لِأَنَّ ‌مَذْهَبَ ‌أَهْلِ ‌الْحَقِّ ‌أَنَّ ‌كُلَّ ‌الْمُحْدَثَاتِ ‌فِعْلُ ‌اللَّهِ ‌تَعَالَى ‌وَخَلْقُهُ سَوَاءٌ خَيْرُهَا وَشَرُّهَا

Maksudnya: “ Maka ia antara frasa (dan kejahatan bukan dikembalikan kepada Engkau) ayat yang wajib ditakwilkan kerana mazhab ahli Haq adalah kesemua perkara yang baharu adalah ciptaan dan makhluk Allah SWT sama ada yang baik atau yang buruk.”[10]

Antara takwilan yang dibawa oleh beliau :

وَالشَّرُّ لَيْسَ شَرًّا بِالنِّسْبَةِ إِلَيْكَ فَإِنَّكَ خَلَقْتَهُ بِحِكْمَةٍ بَالِغَةٍ وَإِنَّمَا هُوَ شَرٌّ بِالنِّسْبَةِ إِلَى الْمَخْلُوقِينَ

Maksudnya: “Kejahatan itu bukan kejahatan yang dinisbahkan kepada Engkau, Sesungguhnya Engkau menciptakan kejahatan itu dengan hikmah. Ianya adalah kejahatan bila dinisbahkan kepada makhluk.”[11]

Dari sudut yang lain pula, Allah SWT juga menciptakan kejahatan dan kebaikan adalah sebagai satu ujian kepada makhluk. Allah SWT berfirman:

وَنَبْلُوكُم بِالشَّرِّ وَالْخَيْرِ فِتْنَةً ۖ

Maksudnya : “…Dan Kami menguji kamu dengan kejahatan dan kebaikan sebagai cubaan…”[12]

Justeru, menurut Ahli Sunnah Wal Jamaah, hamba mempunyai pilihan sama ada melakukan perkara kebaikan atau kejahatan.Namun kesemuanya tidak terkeluar dari kehendak Allah SWT. Ianya adalah sebagai satu pelaksanaan sebab. Daripada pilihan inilah manusia diuji dan akan diberikan balasan berdasarkan pilihan mereka semasa di dunia. Ini sepertimana yang disebutkan oleh Sheikh Abdurrahman Bin Hasan Habannakah. Beliau menyebut :

فأفعال العباد إذن مخلوقة الله تعالى بالنظر إلى المؤثر الحقيقي وهي أفعال العباد إلى صور الأسباب الظاهرة وقد وجهوا إرادتهم إلى فعلها باختيارهم الحر وبذلك يتم ابلاؤهم وامتحانهم.وبذلك يصح في العقل وفي العدل أن يترتب على أفعالهم المدح والثواب أو الذم والعقاب

“Justeru perbuatan hamba adalah makhluk Allah melihat kepada muatthir (pemberi kesan) yang hakiki (kehendak Allah). Ia juga adalah perbuatan hamba itu sendiri melihat kepada gambaran sebab yang zahir. Mereka dengan kehendak mereka melakukan satu perkara dengan pilihan mereka. Oleh kerana itu, di sini lah berlakunya ujian. Begitu juga benar pada akal dan keadilan bahawa perbuatan mereka akan diberikan balasan sama ada pujian dan pahala ataupun celaan dan azab.”[13]

Banyak ayat Al-Quran yang menisbahkan satu perbuatan kepada hamba itu sendiri. Antaranya Allah SWT berfirman :

وَقُلِ اعْمَلُوا فَسَيَرَى اللَّـهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُولُهُ وَالْمُؤْمِنُونَ

Maksudnya : “Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramalah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan.”[14]

Dalam ayat yang lain, Allah berfirman :

اعْمَلُوا مَا شِئْتُمْ ۖ إِنَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ

Maksudnya : “Buatlah apa yang kamu suka, sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu lakukan (dan akan membalasnya).”[15]

Firman Allah dalam ayat lain :

جَزَاءً بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

Maksudnya : “…sebagai balasan bagi amal-amal soleh yang mereka telah kerjakan.”[16]

Sheikh Ali Al-Jumu’ah menjelaskan :

فإرادة الله تعلقت بأن يكون الإنسان مريدا وبذلك سرت إرادة الله إلى كل ما يريده ويختاره من الأعمال وإذا فلا يمكن أن يقع أي تعارض  بين إرادة الله وإرادة العبد فالعبد مختار لفعله غير مجبر عليه وهو قادر عليه مكتسب له وفعله مفتقر لإرادته

“Iradat Allah mengkehendaki manusia mempunyai kehendak. Dengan itu, maka kehendak Allah berjalan kepada setiap apa yang hamba mahukan dan pilih. Oleh itu, tidak mungkin berlakunya percanggahan antara kehendak Allah dan kehendak hamba. Hamba mempunyai pilihan untuk melakukan satu perbuatan tanpa ada paksaan. Hamba boleh melakukannya dan diberikan balasan. Perbuatan hamba juga memerlukan kehendak-Nya.”[17]

Di samping itu, ucapan seperti ‘saya melakukan maksiat ini dengan izin Allah SWT’ dan seumpamanya jelas sekali salah dari sudut akidah. Para ulama’ telah membahaskan jika sekiranya Allah SWT mengizinkan atau berkehendak untuk seseorang melakukan maksiat, ia tidak bermakna Allah SWT redha terhadap perbuatan tersebut. Ini kerana terdapat perbezaan di antara kehendak (iradah) Allah SWT dengan keredhaan-Nya, iaitu kehendaknya tidak melazimi keredhaan-Nya. Hal ini seperti disebutkan oleh Imam al-Baijuri di dalam kitabnya Hasyiah ‘ala Jawharat al-Tauhid bahawa:

وغايرت الارادة رضاه تعالى، وهو قبول الشيء والاثابة عليه، وغرضه بذالك الردّ على من فسّر الارادة بالرضا، فإنّ الارادة قد تتعلق بما لايرضى به الله تعالى، كالكفر الواقع من الكفّار فإنّه أراده تعالى ولا يرضى به

Maksudnya: Kehendak (iradah) Allah SWT berbeza dengan keredhaan-Nya (maksud keredhaan Allah ialah penerimaan sesuatu perkara dan diberikan balasan baik. Pengarang kitab mendatangkan perbahasan ini bagi menjawab-balas pandangan yang mentafsirkan kehendak tersebut dengan redha Allah SWT). Sesungguhnya kehendak Allah SWT adakalanya berkait dengan apa yang tidak diredhai oleh Allah SWT, seperti perbuatan kufur yang dilakukan oleh orang-orang kafir. Perbuatan tersebut dikehendaki oleh Allah SWT, namun Dia tidak meredhainya.[18]

Oleh itu, kita tidak boleh menganggap setiap apa yang diizinkan oleh Allah SWT untuk kita lakukan tersebut semuanya diredhai oleh-Nya. Bahkan, sesiapa yang sengaja melakukan maksiat dan melanggar perintah Allah SWT, walaupun perbuatan tersebut diizinkan oleh Allah SWT, namun dia mendapat kemurkaan daripada-Nya.

Kesimpulan

Kesimpulannya, perbuatan menisbah kejahatan, keburukan dan maksiat yang dilakukan kepada Allah SWT ialah perbuatan yang tidak beradab terhadap-Nya. Ya, Allah SWT menciptakan semua perkara termasuk semua keburukan dan kejahatan, namun sebagai adab terhadap Allah SWT kita tidak boleh menisbahkan kepada-Nya kecuali perkara-perkara yang baik sahaja.

Menurut Ahli Sunnah Wal Jamaah, setiap hamba Allah mempunyai pilihan sama ada melakukan perkara kebaikan atau kejahatan. Namun kesemuanya tidak terkeluar dari kehendak Allah SWT. Daripada pilihan inilah manusia diuji dan akan diberikan balasan berdasarkan pilihan mereka semasa di dunia.

Selain itu, ucapan ‘saya melakukan maksiat ini dengan izin Allah SWT’ tidak melazimi bahawa Allah SWT redha terhadap perbuatan maksiat tersebut. Ini kerana kehendak (iradah) Allah SWT tidak melazimi keredhaan-Nya. Oleh itu, sesiapa yang melakukan maksiat dengan pilihan dan kehendaknya sendiri, maka dia mendapat kemurkaan Allah SWT. Ucapan sebegini sewajarnya tidak disebut dan dielakkan , apatahlagi jika diniatkan untuk menghalalkan perbuatan maksiat dilakukan oleh seseorang.

WaAllahu a’lam

 

[1] Surah Al-An’am : 102

[2] Surah Al-Zumar : 62

[3] Surah Ghafir : 62

[4] Surah Yasin : 36

[5] Al-Baidhawi, Abdullah Bin Umar, Anwar Al-Tanzil Wa Asrar Al-Ta’wil, Tahkik : Abdurrahman Al-Mara’syili,  Dar Ihya Al-Turath Al-‘Arabi, j.5 h.47.

[6] Fakhruddin Al-Razi, Muhammad Bin Umar, Mafatih Al-Ghaib, Dar Ihya’ Turath Al-‘Arabi, Beirut, j.13 h.93.

[7] Ali Jum’ah, Aqidah Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah, al-Muqattam li al-Nasyr wa al-Tawzi’, h. 66

[8] Riwayat Muslim no 771

[9] Al-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, Dar Ihya’ Turath Al-‘Arabi, Beirut, j.6 h.96.

[10] Syarh Sahih Muslim, j.6 h.96

[11] Syarh Sahih Muslim, j.6 h.96.

[12] Surah Al-Anbiya’ : 35

[13] Abdurrahman Bin Hasan Habannakah, Al-‘Akidah Al-Islamiyah Wa Ususuha, Dar Al-Qalam, Damsyik, h.638>

[14] Surah Al-Taubah : 105

[15] Surah Fusilat : 40

[16] Surah Al-Sajadah : 14

[17] Ali Jum’ah, Aqidah Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah, al-Muqattam li al-Nasyr wa al-Tawzi’, h. 67-68

[18] Ibrahim al-Laqqani, Hasyiah ‘ala Jawharat al-Tauhid, Dar al-Salam, Kaherah, h. 125.