Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-AFKAR #143: HUKUM ISTIGHASAH KEPADA NABI SAW

HUKUM_ISTIGHASAH_KEPADA_NABI_SAW.jpg

 

Mukadimah

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar kita Nabi SAW serta ahli keluarga, para sahabat, dan orang yang mengikuti jejak Langkah Baginda SAW sehingga hari kiamat. Semoga kita semua sentiasa di bawah lindungan-Nya.

Tular di media sosial baru-baru ini isu berkenaan seorang usahawan yang meminta pertolongan kepada Nabi SAW dalam banyak perkara. Namun, perbuatan tersebut menerima kritikan kerana bercanggah dengan pemahaman bahawa meminta pertolongan, perlindungan dan penjagaan seharusnya meminta terus kepada Allah SWT.

Jika dilihat dari sudut yang lain, perbuatan meminta pertolongan kepada Nabi SAW merupakan sebahagian daripada amalan yang dikenali sebagai istighasah. Amalan istighasah dan tawasul merupakan amalan yang diperselisihkan dalam kalangan ulama. Amalan istighasah merupakan salah satu jenis daripada amalan tawasul.

Amalan istighasah adalah perbuatan meminta pertolongan iaitu perbuatan pemohon meminta kepada pemberi pertolongan untuk menolongnya. Sementara itu, amalan istighasah dengan lafaz ‘Wahai Muhammad’ mempunyai maksud serupa seperti dalam amalan tawassul, tasyaffu’ iaitu meminta syafaat atau tawajuh yang mengambil kemuliaan kedudukan pemberi pertolongan di sisi Allah SWT.[1]

Istighasah kepada Nabi SAW menurut al-Quran dan Hadis

Amalan istighasah iaitu memohon pertolongan daripada Allah SWT mempunyai sandaran dalil daripada al-Quran dan hadis Nabi SAW. Antara dalil al-Quran bagi amalan istighasah termasuklah firman Allah SWT:

وَمَا أَرْسَلْنَا مِن رَّسُولٍ إِلَّا لِيُطَاعَ بِإِذْنِ اللَّهِ ۚ وَلَوْ أَنَّهُمْ إِذ ظَّلَمُوا أَنفُسَهُمْ جَاءُوكَ فَاسْتَغْفَرُوا اللَّهَ وَاسْتَغْفَرَ لَهُمُ الرَّسُولُ لَوَجَدُوا اللَّهَ تَوَّابًا رَّحِيمًا ‎

Maksudnya: “Dan Kami tidak mengutus seseorang Rasul pun melainkan supaya ia ditaati dengan izin Allah SWT. Dan kalaulah mereka ketika menganiaya diri mereka sendiri datang kepadamu (wahai Muhammad) lalu memohon ampun kepada Allah SWT, dan Rasulullah SAW juga memohon ampun untuk mereka, tentulah mereka mendapati Allah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.”

Surah al-Nisa’ (64)

Ayat ini menunjukkan bahawa Allah SWT memberikan panduan kepada umat Islam apabila melakukan dosa dan maksiat, maka datanglah kepada Nabi SAW dan meminta kepada Baginda SAW untuk memohon ampun kepada Allah SWT.[2] Di samping itu, ayat ini menggalakkan umat Islam untuk datang kepada Nabi SAW bagi memohon keampunan kepada Allah SWT di sisi Baginda SAW dan Baginda SAW juga memohon keampunan iaitu istighfar untuk mereka. Galakan ini tidak terhenti dengan kewafatan Baginda SAW. Ia juga menunjukkan kebergantungan kepada Allah SWT yang Maha Pengampun lagi Penyayang dengan kedatangan mereka kepada Nabi SAW, memohon keampunan iaitu istighfar mereka serta permohonan keampunan oleh Baginda SAW buat mereka.[3]

Manakala antara riwayat yang menjadi dalil kepada istighasah termasuklah riwayat daripada Abi Syu’bah, beliau berkata:

كُنْتُ أَمْشِي مَعَ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا، فَخَدِرَتْ رِجْلُهُ، فَجَلَسَ، فَقَالَ لَهُ رَجُلٌ: اذْكُرْ أَحَبَّ النَّاسِ إِلَيْكَ. فَقَالَ: «يَا مُحَمَّدَاهُ فَقَامَ فَمَشَى»

Maksudnya: “Aku berjalan bersama Ibn Umar, tiba-tiba kakinya berasa kejang (tidak dapat digerakkan), sehingga beliau terduduk.” Lalu seorang lelaki berkata kepadanya: “Sebutlah orang yang paling kamu cintai.” Lalu Ibn Umar berkata: “Wahai Muhammad.” Maka beliau pun dapat berdiri dan berjalan.”

(Riwayat Ibn al-Sunni)

Athar ini juga diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam karyanya al-Adab dengan lafaz yang lebih ringkas dan sanad yang berbeza iaitu ‘Abd al-Rahman bin Sa’d meriwayatkan bahawa:

خَدِرَتْ رِجْلُ ابْنِ عُمَرَ، فَقَالَ لَهُ رَجُلٌ: اذْكُرْ أَحَبَّ النَّاسِ إِلَيْكَ، فَقَالَ: يَا مُحَمَّدُ

Maksudnya: “Kaki Ibn Umar telah kejang tidak boleh bergerak, lalu seorang lelaki berkata kepadanya: “Sebutlah orang yang kau paling cintai”, maka Ibn Umar pun mengucapkan: “Wahai Muhammad.”[4]

Al-Bukhari mengambil hadis ini dengan sanad daripada gurunya Abu Nu’aim al-Fadl bin Dukain (w.219H), beliau berkata Sufyan al-Thauri (w.161H) menceritakan kepada kami daripada Abu Ishaq al-Sabi’i (w.129H), daripada ‘Abd al-Rahman bin Sa’d. Abu Nu’aim merupakan seorang perawi yang thiqah dan thabat.[5] Sufyan al-Thauri juga merupakan seorang yang thiqah, hafiz, faqih, ‘abid dan merupakan seorang imam.[6] Manakala Abu Ishaq al-Sabi’i perawi yang thiqah dan banyak beribadah namun banyak terkeliru di akhir hayatnya.[7] ‘Abd al-Rahman bin Sa’d al-Qarasyi pula adalah perawi yang thiqah menurut al-Nasa’i.[8] Oleh itu, jika diperhatikan kepada sanad hadis ini maka sanadnya adalah sahih.

Selain itu, terdapat hadis lain daripada Malik al-Dari yang merupakan seorang penjaga gudang makanan pada zaman Umar RA. Beliau meriwayatkan bahawa:

أَصَابَ النَّاسَ قَحْطٌ فِيْ زَمَانِ عُمَرَ فَجَاءَ رَجُلٌ إِلَى قَبْرِ النَّبِيِّ فَقَالَ: يَا رَسُوْلَ اللهِ، اسْتَسْقِ لِأُمَّتِكَ فَإِنَّهُمْ قَدْ هَلَكُوْا، فَأُتِيَ الرَّجُلُ فِيْ الْمَنَامِ فَقِيْلَ لَهُ: أَقْرِئْ عُمَرَ السَّلاَمَ وَأَخْبِرْهُ أَنَّهُمْ يُسْقَوْنَ، وَقُلْ لَهُ عَلَيْكَ الكَيْسَ الكَيْسَ، فَأَتَى الرَّجُلُ عُمَرَ فَأَخْبَرَهُ، فَبَكَى عُمَرُ وَقَالَ: يَا رَبِّ لاَ آلُوْ إِلاَّ مَا عَجَزْتُ

Maksudnya: “Apabila tiba musim kemarau pada zaman Umar RA, maka salah seorang sahabat mendatangi kubur Nabi dan mengatakan: Wahai Rasulullah! mohonkanlah hujan kepada Allah untuk umatmu kerana sungguh mereka betul-betul telah binasa, kemudian orang ini bermimpi bertemu dengan Rasulullah SAW lalu Baginda SAW bersabda kepadanya: “Sampaikan salamku kepada Umar dan maklumkan bahawa hujan akan turun untuk mereka, sebutkan juga kepadanya, “bersungguh-sungguhlah dalam melayani umat.” Kemudian sahabat tersebut datang kepada Umar RA dan memberitahukan apa yang dilakukannya dan mimpi yang dialaminya. Umar RA menangis dan mengatakan: “Wahai Allah, Saya akan kerahkan semua upayaku kecuali apa yang aku tidak mampu.”[9]

(Riwayat Ibn Abi Syaibah)

Hadis di atas menunjukkan bahawa boleh beristighasah (memohon pertolongan) kepada Nabi SAW walaupun setelah Baginda SAW meninggal dunia. Ibn Hajar al-’Asqalani menyebutkan bahawa hadis ini diriwayatkan oleh Ibn Abi Syaibah dengan sanad yang sahih daripada riwayat Abi Salih al-Samman daripada Malik al-Dari yang merupakan penjaga gudang makanan pada zaman Umar RA.[10]

Huraian di atas membahaskan bahawa meminta pertolongan tersebut bererti meminta kepada Rasulullah SAW kerana bersesuaian dengan kedudukan Baginda SAW yang mulia. Hal ini kerana mukjizat Nabi SAW tidak terhad ketika baginda SAW masih hidup sahaja, bahkan mukjizat baginda SAW berterusan hingga tempoh selepasnya. Mukjizat Nabi SAW terbukti jelas sehinggakan dapat membantu ketika kesusahan bagi umatnya yang berselawat, bertawasul atau beristighasah kepada baginda SAW.[11]

Hukum Istighasah kepada Nabi SAW

Hukum melakukan amalan istighasah kepada Nabi SAW adalah harus. Amalan ini boleh dilakukan berdasarkan fatwa Shihab al-Din al-Ramli (w.957H) seperti:

بِأَنَّ الِاسْتِغَاثَةَ بِالْأَنْبِيَاءِ وَالْمُرْسَلِينَ وَالْأَوْلِيَاءِ وَالْعُلَمَاءِ وَالصَّالِحِينَ جَائِزَةٌ وَلِلرُّسُلِ وَالْأَنْبِيَاءِ وَالْأَوْلِيَاءِ وَالصَّالِحِينَ إغَاثَةٌ بَعْدَ مَوْتِهِمْ؛ لِأَنَّ مُعْجِزَةَ الْأَنْبِيَاءِ وَكَرَامَاتِ الْأَوْلِيَاءِ لَا تَنْقَطِعُ بِمَوْتِهِمْ. أَمَّا الْأَنْبِيَاءُ فَلِأَنَّهُمْ أَحْيَاءٌ فِي قُبُورِهِمْ يُصَلُّونَ وَيَحُجُّونَ كَمَا وَرَدَتْ بِهِ الْأَخْبَارُ وَتَكُونُ الْإِغَاثَةُ مِنْهُمْ مُعْجِزَةً لَهُمْ.

Maksudnya: Amalan istighasah kepada para nabi, rasul, wali, ulama dan orang-orang soleh adalah merupakan perkara yang harus. Para rasul, nabi, wali dan orang-orang soleh mempunyai ighasah iaitu kelayakan untuk memberi pertolongan selepas kewafatan mereka. Ini kerana mukjizat para nabi dan karamah para wali tidak terputus dengan kewafatan mereka. Bagi para nabi, mereka benar-benar hidup di alam kubur dalam keadaan mendirikan solat dan menunaikan haji sepertimana yang telah dinyatakan dalam riwayat berkenaan perkara ini. Hal ini menunjukkan kelayakan dalam memberi pertolongan ini merupakan antara salah satu mukjizat mereka.[12]

Dalam pada itu, amalan istighasah kepada Nabi SAW merupakan suatu amalan yang baik seperti amalan tawasul dan tashaffu’ kepada Nabi SAW untuk berdoa menuju Allah SWT. Hal ini dinyatakan oleh Taqiyy al-Dīn al-Subki (w.756H) bahawa:

اعْلَمْ أنه يجوز ويَحسُنُ التوسلُ والاستغاثة والتشفعُ بالنبي صلى الله عليه وآله وسلم إلى ربه سبحانه وتعالى، وجوازُ ذلك وحسنُه من الأمور المعلومة لكلِّ ذي دِين، المعروفةِ مِن فعل الأنبياء والمرسلين، وسِيَر السلف الصالحين، والعلماء والعوامِّ من المسلمين.

Maksudnya: Ketahuilah bahawa hukum harus dan baik untuk melakukan amalan tawasul, istighasah dan tashaffu’ kepada Nabi SAW untuk menuju Allah SWT. Keharusan dan kebaikan amalan itu merupakan sebahagian perkara-perkara yang sudah diketahui oleh setiap orang yang beragama. Sudah diketahui juga ia sebagai sebahagian amalan para nabi, rasul, salafussoleh, ulama dan dalam kalangan masyarakat awam.[13]

 

Kesimpulan

i.          Amalan istighasah dengan menyandarkan kepada Nabi SAW ketika memohon doa kepada Allah SWT adalah sandaran majazi sahaja. Hal ini disebabkan bahawa Nabi SAW merupakan orang dikasihi Allah SWT yang menjadi sebab majazi kepada Allah SWT untuk mengasihi kepada orang yang berdoa dan dimustajabkan doa.[14]

ii.         Walau bagaimanapun, umat Islam mestilah berhati-hati ketika berdoa secara istighasah atau tawasul supaya setiap doa yang dibacakan mestilah selaras dengan akidah Ahli Sunah Waljamaah. Menurut ‘Abd al-Malik ‘Abd al-Rahman al-Sa’di menyatakan bahawa sekiranya seseorang yang meminta (al-mustaghis) itu beriktikad bahawa seorang wali atau nabi boleh memberi pertolongan sebagaimana Allah SWT, maka perkara ini boleh jatuh kepada hukum kafir. Namun, jika seseorang itu memohon dengan syafaat dan kemuliaan wali atau nabi serta beriktikad bahawa Allah SWT jualah yang mampu memberi pertolongan kepada hamba-Nya, maka ia tidak jatuh kepada hukum kafir. Lebih utama bagi seorang muslim untuk menggunakan perkataan yang jelas dan menjauhi untuk menggunakan perkataan yang boleh ditafsir secara lain yang membawa kepada kekufuran.[15]

iii.       Pada waktu yang sama, umat Islam hendaklah tidak mudah mengkafirkan orang yang melakukan amalan istighasah dengan melakukan syirik kepada Allah SWT. Hal ini bersangkut paut dengan akidah Ahli Sunah Waljamaah yang mana apabila melihat seorang Muslim meminta pertolongan daripada makhluk, maka sudah pasti bahawa individu Muslim tersebut tidak menyekutukan Allah SWT Yang Maha Esa dengan makhluk itu, sebaliknya dia meminta pertolongan atau kembali kepada Tuhan untuk mendapat keberkatan makhluk itu.[16]

Wallahu A'lam

 

Rujukan:

[1] Syihab al-Din al-Qastallani, al-Mawahib al-Laduniyyah bi al-Manh al-Muhammadiyyah, (Kaherah: al-Maktabah al-Taufiqiyyah, t.t.), 3: 604-605. Teks asal:

واعلم أن الاستغاثة هي طلب الغوث، فالمستغيث يطلب من المستغاث به أن يحصل له الغوث منه، فلا فرق بين أن يعبر بلفظ "الاستغاثة"، أو "التوسل"، أو "التشفع"، أو "التجوُّه"، أو "التوجُّه"؛ لأنهما من الجاه والوجاهة، ومعناه: علو القدر والمنزلة

[2] Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-’Azim, ed. Sami bin Muhammad Salamah, (t.tp.: Dar al-Tayyibah, 1999), 2: 347. Teks asal:

وقوله: {وَلَوْ أَنْهُمْ إِذْ ظَلَمُوا أَنْفُسَهُمْ جَاءُوكَ فَاسْتَغْفَرُوا اللَّهَ وَاسْتَغْفَرَ لَهُمُ الرَّسُولُ لَوَجَدُوا اللَّهَ تَوَّابًا رَحِيمًا} يُرْشِدُ تَعَالَى الْعُصَاةَ وَالْمُذْنِبِينَ إِذَا وَقَعَ مِنْهُمُ الْخَطَأُ وَالْعِصْيَانُ أَنْ يَأْتُوا إِلَى الرَّسُولِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَيَسْتَغْفِرُوا اللَّهَ عِنْدَهُ، وَيَسْأَلُوهُ أَنْ يَسْتَغْفِرَ لَهُمْ، فَإِنَّهُمْ إِذَا فَعَلُوا ذَلِكَ تَابَ اللَّهُ عَلَيْهِمْ وَرَحِمَهُمْ وَغَفَرَ لَهُمْ، وَلِهَذَا قَالَ: {لَوَجَدُوا اللَّهَ تَوَّابًا رَحِيمًا}

[3] Aḥmad Ibn Muḥammad Ibn ʿAlī Ibn Ḥajar al-Haytamī al-Makki, al-Jauhar al-Munazzam fi Ziyarah al-Qabr al-Syarif al-Nabawi al-Mukarram, ed. Muhammad Zainihim Muhammad Azab, (Kaherah: Maktabah Madbuli, 2000), 17. Teks asal:

دلت على حث الأمة على المجئ إليه والاستغفار عنده واستغفاره لهم، وهذا لا ينقطع بموته. ودلت أيضاً على تعليق وجدانهم الله توّاباً رحيما بمجيئهم واستغفارهم واستغفار الرسول لهم.

[4] Muhammad bin Ismail al-Bukhari, al-Adab al-Mufrad, ed. Muhammad Fu’ad ‘Abd al-Baqi, (Beirut: Dar al-Basya’ir, 1989), hadis no. 168, hlm. 335.

[5] al-Mizzi, Tahzib al-Kamal fi Asma’ al-Rijal, ed. Basyar ‘Awwad Ma’ruf (Beirut: Mu’assasah al-Risalah, 1980), 23: 212. Teks asal:

قَال أَبُو حاتم: سألت عَلِيّ بْن المديني: من أوثق أصحاب الثوري؟ قال: يَحْيَى بْن سَعِيد، وعبد الرحمن بن مهدي، ووكيع، وأَبُو نُعَيْم، وأَبُو نُعَيْم من الثقات. وَقَال العجلي: أَبُو نُعَيْم الأحول كوفي، ثقة ثبت في الحديث.

[6] Al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala’, (Beirut: Mu’assasah al-Risalah, 1985), 7: 270. Teks asal:

وَقَالَ أَبُو حَاتِمٍ الرَّازِيُّ: سُفْيَانُ فَقِيْهٌ، حَافِظٌ، زَاهِدٌ، إِمَامٌ، هُوَ أَحْفَظُ مِنْ شُعْبَةَ

[7] Al-Zahabi, Mizan al-I’tidal, ed. Ali Muhammad al-Bijawi, (Beirut: Dar al-Ma’rifah, 1963), 3: 270. Teks asal:

أبو إسحاق السبيعي، من أئمة التابعين بالكوفة وأثباتهم إلا أنه شاخ ونسى ولم يختلط

[8] Ibn Hajar al-’Asqalani, Tahzib al-Tahzib (India: Matba’ah Da’irah al-Ma’arif al-Nizamiyyah, 1326), 6: 186. Teks asal:

قال النسائي ثقة

[9] Abu Bakr bin Abi Syaibah, Musannaf Ibn Abi Syaibah, ed. Kamal Yusuf al-Hut (Riyad: Maktabah al-Rusyd, 1409), hadis no. 32002, jld. 6: hlm. 356.

[10] Ibn Hajar al-’Asqalani, Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari (Beirut: Dar al-Ma’rifah, 1379), 2: 496. Teks asal:

وقد روى سيف في الفتوح أن الذي رأى المنام المذكور هو بلال بن الحارث المزني أحد الصحابة وظهر بهذا كله مناسبة الترجمة لأصل هذه القصة أيضا والله الموفق

[11] ʻUthmān ibn ʻAbd al-Raḥmān Ibn al-Ṣalāḥ, Fatawa ibn al-salah, (Beirut: Maktaba Ulum wal al-Hikam, 1407 H), 1: 210. Teks asal:

نبوة نَبينَا صلى الله عَلَيْهِ وَسلم كلما ذكره ذَاكر وَكلما غفل عَن ذكره غافل مَعَ انتشار آيَاته المستبينة ومعجزاته المستنيرة حَتَّى لقد انتدب بعض الْعلمَاء لاستقصائها فَجمع مِنْهَا ألف معْجزَة وعددناه مقصرا إِذا فَوق ذَلِك بأضعاف لَا تحصى فَإِنَّهَا لَيست محصورة على مَا وجد مِنْهَا فِي عصره صلى الله عَلَيْهِ وَسلم بل لم تزل تتجدد بعده صلى الله عَلَيْهِ وَسلم على تعاقب العصور وَذَلِكَ أَن كرامات الْأَوْلِيَاء من أمته وإجابات المتوسلين بِهِ فِي حوائجهم ومغوثاتهم عقيب توسلهم بِهِ فِي شدائدهم براهين لَهُ صلى الله عَلَيْهِ وَسلم قواطع ومعجزات لَهُ سواطع وَلَا يعدها عد وَلَا يحصرها حد أعاذنا الله من الزيغ عَن مِلَّته وَجَعَلنَا من المهتدين الهادين بهديه وسنته

[12] Ahmad Ibn Hamzah al-Ramli, Fatawa al-Ramli, (Kaherah: Maktabah Islamiyyah, t.t.), 4: 382.

[13] ‘Alī Ibn ‘Abd al-Kāfī al-Subki, Shifa al-Siqam fi Ziyara Khayr al-Anam, (Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 2008), 357.

[14] Sayyid Muhammad Ibn 'Alawi al-Maliki, Mafahim Yajibu an Tusahhah, (Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 2009), 118. Teks asal:

أنَّ المُتَوسل ما توسل بهذه الواسطة إلا لمحبته لها واعتقاده أنَّ الله سبحانه وتعالى يحبها، ولو ظهر خلاف ذلك؛ لكان أبعد الناس عنها وأشد الناس كراهة لها .

[15] ‘Abd al-Malik ‘Abd al-Rahman al-Sa’di, al-Bid’ah fi al-Mafhum al-Islami al-Daqiq (Amman: Dar al-Nur, 2014), 77-78. Teks asal:

إن اعتقد المستغيث أو المستمد أن هذا الولي أو النبي يُمِدُّ ويُغيث كما يُمِدُّ ويُغيث الله تعالى على حد سواء: فهذا كفر وشرك والعياذ بالله وإن عنى بذلك التشفع به إلى الله، أي يعتقد أن الله هو سيغيثه ويمده إكراماً لهذا الولي: لا يكون كفراً. المسلم أن تكون ألفاظه ظاهرة بعيدة عما يتحمل التأويل. وكذا لو قال : أردت أن يدعو لي الميت من الله بالمدد والإغاثة

[16] Najm al-Din al-Tufi, al-Isyarat al-Ilahiyyah ila al-Mabahis al-Usuliyyah, (Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 2005), 408. Teks asal:

ولأن اعتقاد التوحيد من لوازم الإسلام فإذا رأينا مسلما يستغيث بمخلوق علمنا قطعا أنه غير مشرك لذلك المخلوق مع الله عز وجل، وإنما ذلك منه طلب مساعدة أو توجه إلى الله ببركة ذلك المخلوق