Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #490: HUKUM LEBIHAN SUMBANGAN KEMPEN #DIAADALAHKITA

Soalan:

Saya Mohd Faiz yang melancarkan kempen #diaadalahkita yang melibatkan kutipan derma kepada isteri Encik Abrar, etnik Rohingya di Kedah yang memerlukan rawatan hampir RM10,000 bagi matanya. Saya telah berjaya mendapatkan jumlah kutipan RM165,000 dalam tempoh 24 jam. Di sini ada beberapa persoalan:

  1. Ada baki lebih kurang RM155,000. Adakah perlu beri semuanya kepada keluarga ini? .
  2. Bolehkah digunakan lebihan kutipan untuk wujudkan tabung bantuan kecemasan perubatan etnik Rohingya di Malaysia?
  3. Bagaimana dengan kos minyak, ulang alik, dan lain-lain kos menguruskan dana ni? Boleh ambil daripada dana?
  4. Adakah sebaiknya serah kepada NGO sebab yg uruskan sekarang, cuma saya seorang.

Jawapan:

Kami mulakan dengan ucapan syukur dan tahniah kepada saudara kerana berusaha dengan sedaya upaya sebagai seorang saudara seagama membantu saudara yang lain ketika memerlukan. Ini menandakan bahawa sifat toleransi, tolong-menolong dan bantu-membantu seperti saranan oleh Allah SWT, telah saudara lakukan dengan sebaik mungkin. Benarlah firman Allah SWT:

وَتَعاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوى وَلا تَعاوَنُوا
Maksudnya: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa…”
(Surah al-Ma'idah: 2)

Dan insyaAllah, bantuan Allah pasti akan datang kepada sesiapa yang menolong saudaranya sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

وَاللهُ فِي عَوْنِ الْعَبْدِ مَا كَانَ الْعَبْدُ فِي عَوْنِ أَخِيهِ
Maksudnya: “Allah akan selalu menolong hamba-Nya selama hamba-Nya itu menolong saudaranya.”
(Riwayat Muslim, no. 2699)

Kami meneliti hal ini sejak permulaan dan berpendapat, saudara sebaiknya melakukan tiga perkara berikut:

  1. Pertamanya, selesaikan urusan meliputi kos perubatan, kos rawatan lanjutan, dan kos sara hidup yang terjejas akibat penyakit.
  2. Kedua, saudara dibolehkan untuk menggunakan sebahagian daripada sumbangan untuk menampung kos pentadbiran dan pengurusan seperti kos bahan api kenderaan, dan lain-lain sekadar keperluan. Lebih baik jika ia direkodkan.
  3. Baki sumbangan daripada kedua-dua urusan di atas, perlu diserahkan kepada Baitulmal untuk diuruskan.