Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #407 : REZEKI PUTUS KALAU LAMBAT BELI BERAS?

AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 407 (19 OKTOBER 2016 M / 18 MUHARRAM 1438 H)

SOALAN:

Assalamualaikum, apakah hukum mempercayai lambat membeli beras setelah kehabisan beras mengakibatkan rezeki akan putus?

JAWAPAN:

Waalaikumussalam wbt,

Kepercayaan sebegini tidak ada asalnya di dalam Islam. Jika ditanggungkan bahwa yang dimaksudkan rezeki yang terputus ialah makanan yang sudah kehabisan di rumah dan mungkin tiada makanan pada hari itu, maka munasabah dan boleh diterima sebagai istilah Bahasa sahaja.
Namun jika diiktikadkan bahawa jika beras sudah kehabisan di rumah, lambat membeli beras akan menyebabkan rezeki yang telah Allah takdirkan akan lambat, maka hal ini tidak betul dan harus dijauhkan kepercayaan seperti ini. Rezeki Allah itu sesungguhnya lebih luas daripada sekadar beras. Allah berfirman dalam al-Quran:

الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ الْأَرْضَ فِرَاشًا وَالسَّمَاءَ بِنَاءً وَأَنزَلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَأَخْرَجَ بِهِ مِنَ الثَّمَرَاتِ رِزْقًا لَّكُمْ ۖ فَلَا تَجْعَلُوا لِلَّهِ أَندَادًا وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ
Maksudnya: Dia lah yang menjadikan bumi ini untuk kamu sebagai hamparan, dan langit (serta segala isinya) sebagai bangunan (yang dibina dengan kukuhnya); dan diturunkanNya air hujan dari langit, lalu dikeluarkanNya dengan air itu berjenis-jenis buah-buahan yang menjadi rezeki bagi kamu; maka janganlah kamu mengadakan bagi Allah, sebarang sekutu, padahal kamu semua mengetahui (bahawa Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa).
Surah al-Baqarah (2:22)

Dalam susunan hadis 40 Imam al-Nawawi ada menyebut sebuah hadis Rasulullah SAW:

إنَّ أَحَدَكُمْ يُجْمَعُ خَلْقُهُ فِي بَطْنِ أُمِّهِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا نُطْفَةً، ثُمَّ يَكُونُ عَلَقَةً مِثْلَ ذَلِكَ، ثُمَّ يَكُونُ مُضْغَةً مِثْلَ ذَلِكَ، ثُمَّ يُرْسَلُ إلَيْهِ الْمَلَكُ فَيَنْفُخُ فِيهِ الرُّوحَ، وَيُؤْمَرُ بِأَرْبَعِ كَلِمَاتٍ: بِكَتْبِ رِزْقِهِ، وَأَجَلِهِ، وَعَمَلِهِ، وَشَقِيٍّ أَمْ سَعِيدٍ؛
Maksudnya Sesungguhnya setiap seorang daripada kamu dihimpunkan penciptaan dalam rahim ibunya selama 40 hari sebagai nutfah (campuran air mani), kemudian sebagai alaqah (gumpalan darah) selama itu juga, kemudian sebagai mudghah (sebentuk daging) selama itu juga, lalu diutuskan kepadanya satu malaikat dan malaikat meniupkan ruh ke dalamnya, dan ditetapkan 4 urusannya; dituliskan rezekinya, ajalnya, amalannya, penderitaannya atau kebahagiaannya.
Hadis riwayat Bukhari & Muslim.

Dalam suatu kisah yang diriwayatkan oleh Aisyah R.anha:

دَخَلَ عَلَيَّ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَاتَ يَوْمٍ فَقَالَ: هَلْ عِنْدَكُمْ شَيْءٌ؟ فَقُلْنَا: لَا، قَالَ: فَإِنِّي إِذَنْ صَائِمٌ. ثُمَّ أَتَانَا يَوْمًا آخَرَ فَقُلْنَا: يَا رَسُولَ اللهِ، أُهْدِيَ لَنَا حَيْسٌ فَقَالَ: أَرِينِيهِ، فَلَقَدْ أَصْبَحْتُ صَائِمًا، فَأَكَلَ
Maksudnya: Suatu hari Rasulullah SAW masuk (ke rumah) menemuiku dan bertanya, “Adakah kamu memiliki apa-apa (untuk kita makan)?” Aku menjawab, “Tiada.” Baginda bersabda, “Kalau begitu aku berpuasa.” Suatu hari lain baginda datang lagi dan (kali ini) aku berkata, “Wahai Rasulullah! Ada orang hadiahkan kepada hais (tamar yang bercampur lemak).” Baginda lalu berkata, “Tunjukkannya kepadaku, sesungguhnya aku telah berpuasa sejak pagi.” Lalu baginda memakannya.
Hadis riwayat Muslim

Kisah ini menunjukkan sikap zuhud dan berasa cukup Rasulullah SAW dengan apa yang ada. Langsung tidak dikaitkan apabila tidak dibeli makanan menandakan rezeki daripada Allah Taala telah terputus.
Justeru, hendaklah kita meninggalkan kepercayaan bahawa rezeki akan terputus jika terlambat memberi beras kerana ianya tidak sesuai dan bertentangan dengan konsep rezeki dan taqdir di dalam Islam.

Wallahua’lam.