Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #267 : HUKUM MEMOTONG RAMBUT PENDEK BAGI WANITA (EDISI KEMASKINI)

AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 267 (10 MEI 2016 M / 3 SYAABAN 1437 H)

SOALAN:

Assalamualaikum..saya terdengar dalam tv, menyatakn seorang perempuan jika memotong rambut pendek seperti lelaki..adalah haram, walaupun menutup aurat dgn sempurna. Bolehkah ustaz bg pencerahan.

JAWAPAN:

Waalaikumusalam wbt,

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ كَانَ لَهُ شَعْرٌ فَلْيُكْرِمْهُ

Maksudnya: “Barangsiapa yang memiliki rambut maka hendaklah dia memuliakannya.”

Hadis riwayat Imam Abu Daud (4163)

Justeru bagi wanita hendaklah dia menjaga rambutnya dan haram memotong rambutnya kerana menyerupai lelaki, ataupun kerana meniru golongan yang buruk akhlak. Manakala makruh jika dilakukan bukan kerana uzur. Jika terdapat keuzuran seperti sakit dan sebagainya, maka hukumnya ialah harus. Begitu juga jika tidak diniatkan kerana menyerupai lelaki, maka hukumnya harus. Daripada Abu Salamah bin Abdurrahman RA, bahawa dia menyatakan:

وَكَانَ أَزْوَاجُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْخُذْنَ مِنْ رؤوسهن حَتَّى تَكُونَ كَالْوَفْرَةِ

Maksudnya: “Para isteri Nabi SAW menipiskan sedikit rambut di kepala mereka, sehingga menjadi seperti ‘wafrah’ (iaitu rambut yang tidak melebihi telinga).“

Riwayat Muslim (no.320)

Kata Imam Nawawi: “Hadis ini menunjukkan harus menipiskan rambut wanita, Wallahu A’lam.”

Rujuk Syarah Sahih Muslim (4/4)

Berkata Syeikh Muhammad Amin al-Syanqiti: “Antara budaya Barat (yang tidak Islamik) ialah apabila wanita memotong rambut sehingga pendek.”

Daripada Ibn Umar R.anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

Maksudnya: “Barangsiapa yang menyerupai dengan suatu kaum maka dia adalah daripada kalangan mereka.”

Riwayat Imam Abu Daud (no.4031)

Daripada Ibn Abbas R.anhuma:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ المُتَشَبِّهِينَ مِنَ الرِّجَالِ بِالنِّسَاءِ، وَالمُتَشَبِّهَاتِ مِنَ النِّسَاءِ بِالرِّجَالِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki.”

Riwayat al-Bukhari (no.5885)

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَعَنَ الرَّجُلَ يَلْبَسُ لُبْسَةَ الْمَرْأَةِ، وَالْمَرْأَةَ تَلْبَسُ لُبْسَةَ الرَّجُلِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW melaknat lelaki yang memakai baju wanita dan wanita yang memakai baju lelaki.”

Riwayat Ahmad (no. 8309)

Semoga Allah SWT memberi kita kekuatan untuk bertaqwa kepada-Nya

Wallahua’lam.

Imej diperoleh dari Dreamstime