AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 191 (19 FEBRUARI 2016 M / 10 JAMADILAWAL 1437 H)
SOALAN:
Assalamualaikum ustaz
Bagaimana status perkahwinan orang yang tidak bersolat?
JAWAPAN:
Waalaikumussalam wbt,
Ancaman yang begitu keras daripada Syariat berkenaan orang yang tidak melaksanakan solat fardu. Allah berfirman dalam Surah al-Muddaththir ayat 42-43:
مَا سَلَكَكُمۡ فِي سَقَرَ قَالُواْ لَمۡ نَكُ مِنَ ٱلۡمُصَلِّينَ
Maksudnya: (Setelah melihat orang-orang yang bersalah itu, mereka berkata): "Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar?" Orang-orang yang bersalah itu menjawab: "Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang.
Berkata Jabir RA, dia mendengar Nabi SAW bersabda:
إِنَّ بَيْنَ الرَّجُلِ وَبَيْنَ الشِّرْكِ وَالْكُفْرِ تَرْكَ الصَّلَاةِ
Maksudnya: Sesungguhnya antara seorang lelaki, dan kesyirikan dan kekufuran itu ialah pada meninggalkan solat.
Hadis riwayat Muslim
Diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ تَرَكَ الصَّلَاةَ مُتَعَمِّدًا فَقَدْ كَفَرَ جِهَارًا
Maksudnya: Barangsiapa yang meninggalkan solat secara sengaja maka dia telah kafir dengan nyata.
Hadis riwayat al-Tabarani. Berkata al-Haithami: Rijalnya tsiqah, kecuali Muhammad bin Abi Daud yang tidak diketahui latarbelakangnya.
Dalam Ihya` Ulum al-Din (1/147) karangan al-Ghazali, diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
الصلاة عماد الدين فمن تركها فقد هدم الدين
Maksudnya: Solat itu tiang agama, barangsiapa yang meninggalkannya maka dia telah meruntuhkan agamanya.
Berkata al-Iraqi: Hadis ini al-Bayhaqi meriwayatkannya dalam Syu`ab al-Iman dengan sanad yang daif.
Imam al-Dzahabi turut meletakkan dosa meninggalkan solat sebagai dosa terbesar selepas mengamalkan sihir, dalam al-Kabair (1/12).
Berkenaan dengan perkahwinan, hukumnya sah kerana jika seseorang itu meninggalkan solat kerana malah, dia dikira berdosa besar menurut mazhab al-Syafie tetapi tidak mengeluarkan seseorang itu daripada Islam. Walau bagaimana pun, tiada jaminan orang yang meninggalkan solat boleh memimpin keluarganya berdasarkan keredaan Allah SWT. Wallahua`lam.