Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

MEMILIH TAREKAT YANG SESUAI

AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 172 (2 FEBRUARI 2016 / BERSAMAAN 23 RABIULAKHIR 1437H)
 
 
 
Soalan:
 
Assalamualaikum,
 
Saya hendak bertanya. Saya baru nak mendekati tarekat. Bagaimana saya hendak tahu bahawa tarekat itu tidak menyimpang dari ajaran islam? Bagaimana pula hendak memilih tarekat yangg sesuai untuk diri saya?
 
Terima kasih ustaz.
 
 
Jawapan:
 
Waalaikumussalam wbt,
 
Nasihat saya, sebelum kita melibatkan diri dalam apa-apa perkara, mestilah bersedia dengan ilmu pengetahuan. Maka hendaklah kita mengkaji terlebih dahulu. Contohnya, kita bertanya kepada mereka yang berkeahlian dan mencari guru yang berkeahlian. Apabila sudah faham, kita mengetahui mana jalan yang sesuai dengan kita dan mana yang tidak. Ikutilah nasihat Syeikh Junaid al-Baghdadi Rahimahullah, tokoh sufi yang terkenal:
 
من لم يحفظ القرآن، ولم يكتب الحديث، لا يُقتدي به في هذا الأمر لأن علمنا هذا مقيد بالكتاب والسنة
 
Maksudnya: Barangsiapa yang tidak menghafal al-Quran dan tidak menulis hadis, dia tidak diikuti dalam urusan ini (yakni tasawuf) kerana ilmu kami ini terikat dengan al-Quran dan al-Sunnah.
 
Rujuk al-Risalah al-Qusyairiah hal. 32
 
Jangan kita jadi seperti sebahagian yang melibatkan diri dengan ilmu tasawuf dan tarekat tetapi menyeleweng sehingga tidak lagi solat fardu kononnya kerana sudah mencapai makam hakikat, meninggalkan solat berjemaah, diri guru diibaratkan seperti Rasulullah SAW dan lain-lain. Carilah guru yang memiliki ilmu dan silsilah yang betul, takutkan Allah SWT, muktabar dan menepati ciri-ciri Syeikh al-Ta`lim (guru yang mengajar) dan Syeikh al-Tarbiah (guru yang mendidik).
 
Huraian lanjut boleh merujuk buku kami “Soal Jawab A-Z Tentang Tasawuf tapi Anda Tiada Tempat untuk Bertanya.”
 
Wallahua`lam.