Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1092: BOLEHKAH SEDEKAHKAN KESEMUA HARTA TANPA TERSISA

sedekah semua harta.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Saya mempunyai sedikit harta dan masih bekerja. Persoalannya, apakah perlu saya menyimpan harta saya atau kesemuanya saya bersedekah dan berinfaq fi sabilillah. Ini kerana saya ada mendengar yang bahawa kita tidak perlu menyimpan harta benda kita. Apa pandangan Dato’ Seri?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Harta merupakan perkara yang amat dikehendaki oleh setiap manusia yang waras. Bahkan mereka cinta dan kasih kepadanya. terlalu banyak nas Ilahi menunjuk ke arah itu. Antaranya:

  • Firman Allah SWT:

وَتُحِبُّونَ الْمَالَ حُبًّا جَمًّا

Maksudnya: Serta kamu pula sayangkan harta secara tamak haloba!

Surah al-Fajr (20)

Al-Maraghi berkata: Kecenderunganmu menghimpun seluruh harta kekayaan adalah berlebih-lebihan. Sama ada harta itu berupa warisan mehupun bukan. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 15/7580)

  • Firman Allah SWT:

وَإِنَّهُ لِحُبِّ الْخَيْرِ لَشَدِيدٌ

Maksudnya: Dan sesungguhnya ia melampau sangat sayangkan harta (secara tamak haloba).

Surah al-‘Adiyat (8)

Al-Sobuni berkata bahawa sesungguhnya manusia amat cintakan harta dan loba untuk mengumpulnya. Dengan sebab itu, kecintaan kepada Allah serta syukur atas nikmat-Nya menjadi lemah dan berkurangan. (Lihat Sofwah al-Tafasir, 3/567)

  • Firman Allah SWT:

زُيِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ الشَّهَوَاتِ مِنَ النِّسَاءِ وَالْبَنِينَ وَالْقَنَاطِيرِ الْمُقَنطَرَةِ مِنَ الذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ وَالْخَيْلِ الْمُسَوَّمَةِ وَالْأَنْعَامِ وَالْحَرْثِ ۗ ذَٰلِكَ مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا ۖ وَاللَّـهُ عِندَهُ حُسْنُ الْمَآبِ

Maksudnya: Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga).

Surah Ali Imran (14)

Al-Wahidi berkata: Dihiasi bagi manusia cintakan syahwat disebut dalam bentuk banyak ialah yang menyebabkan runtunan nafsu kepada sesuatu terutamanya harta yang banyak yang dihimpunkan. (Lihat al-Wajiz fi Tafsir al-Kitab al-'Aziz, 1/306)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami noktahkan seperti berikut:

  • Hendaklah saudara memahami bahawa kehidupan di dunia memerlukan sejumlah harta dalam menguruskan diri sendiri dan kaum keluarga yang menjadi taklifan ke atas kita. Kesenangan kaum keluarga dan diri sendiri akan membawa kepada memelihara kemuliaan maruah yang dituntut dalam Islam.
  • Antara prinsip Islam, jangan menyusahkan orang lain dan yang lebih baik adalah menolong seseorang daripada seseorang itu ditolong atau dibantu. Justeru, amat perlu kewangan yang ada pada kita menyebabkan kita selamat daripada ditolong dan dibantu oleh seseorang.
  • Kadang-kadang masa depan kita tidak mengetahui. Boleh jadi berlaku sakit, kemalangan dan keperluan mendesak untuk penggunaan harta, tetapi tidak mampu untuk hidup dengan baik serta menghadapi ujian tersebut dek kerana kesusahan yang kita hadapi.
  • Seseorang dianggap tidak bijak apabila menderma hartanya sehingga akhirnya dia meminta-minta kepada orang lain. Ini bermakna pengurusan harta adalah lemah.
  • Bersedekah merupakan amalan yang mulia. Tangan yang di atas lebih mulia. Daripada Hakim bin Hizam R.A bahawa Nabi SAW bersabda:

الْيَدُ الْعُلْيَا خَيْرٌ مِنْ الْيَدِ السُّفْلَى وَابْدَأْ بِمَنْ تَعُولُ وَخَيْرُ الصَّدَقَةِ عَنْ ظَهْرِ غِنًى وَمَنْ يَسْتَعْفِفْ يُعِفَّهُ اللَّهُ وَمَنْ يَسْتَغْنِ يُغْنِهِ اللَّهُ

Maksudnya: Tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah dan mulakanlah dengan kaum keluargamu. Sebaik-sebaik sedekah adalah dalam keadaan kaya. Sesiapa yang menjaga kehormatan dirinya maka Allah akan menjaganya dan barangsiapa yang merasa cukup maka Allah akan memberikan kecukupan kepadanya.”

Riwayat al-Bukhari (1427)

Al-Mubarakfuri berkata: Tangan yang di atas adalah tangan yang memberi atau berinfaq. Sedangkan tangan yang dibawah ialah yang meminta. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 3/289)

  • Sedekah hanya sebahagian harta. Sejarah sahabat Nabi SAW iaitu Sa’d apabila sakit, ingin mewakafkan atau mendermakan seluruh hartanya sedangkan mempunyai anak. Maka Nabi SAW hanya membenarkan sepertiga sahaja daripada harta tersebut. Daripada Sa’ad Ibn Waqqas R.A, beliau berkata:

عَادَنِى رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- فِى حَجَّةِ الْوَدَاعِ مِنْ وَجَعٍ أَشْفَيْتُ مِنْهُ عَلَى الْمَوْتِ فَقُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ بَلَغَنِى مَا تَرَى مِنَ الْوَجَعِ وَأَنَا ذُو مَالٍ وَلاَ يَرِثُنِى إِلاَّ ابْنَةٌ لِى وَاحِدَةٌ أَفَأَتَصَدَّقُ بِثُلُثَىْ مَالِى قَالَ « لاَ ». قَالَ قُلْتُ أَفَأَتَصَدَّقُ بِشَطْرِهِ قَالَ : لاَ الثُّلُثُ وَالثُّلُثُ كَثِيرٌ إِنَّكَ أَنْ تَذَرَ وَرَثَتَكَ أَغْنِيَاءَ خَيْرٌ مِنْ أَنْ تَذَرَهُمْ عَالَةً يَتَكَفَّفُونَ النَّاسَ وَلَسْتَ تُنْفِقُ نَفَقَةً تَبْتَغِى بِهَا وَجْهَ اللَّهِ إِلاَّ أُجِرْتَ بِهَا حَتَّى اللُّقْمَةُ تَجْعَلُهَا فِى فِى امْرَأَتِكَ

Maksudnya: Rasulullah SAW pernah menziarahiku ketika sakit pada masa Hajjatul Wada’ yang aku rasa membawa kematian. Lantas aku bertanya, “Hai Rasulullah, telah kamu melihat keadaanku yang sakit sedangkan aku mempunyai harta dan tidak ada yang mewarisiku kecuali anak perempuanku satu-satunya. Bolehkah aku bersedekah dengan dua pertiga hartaku? Baginda menjawab: “Jangan.” Aku bertanya: Apakah aku menyedekahkan separuh daripadanya? Beliau menjawab: “Jangan.” Aku bertanya lagi: Apakah aku sedekahkan sepertiganya? Beliau menjawab: “Ya, sepertiga, dan sepertiga itu banyak. Sesungguhnya engkau meninggalkan ahli warismu dalam keadaan kaya lebih baik daripada engkau meninggalkan mereka dalam keadaan fakir meminta-minta kepada orang ramai. Dan tidaklah kamu sedekah semata-mata mencari keredaan Allah kecuali kamu diberi pahala dengannya sekalipun kamu memberi satu suapan kepada mulut isterimu juga dikira pahala.

Riwayat al-Bukhari (4409) dan Muslim (4296)

Inilah jawapan Rasulullah SAW kepada sahabatnya berkenaan harta yang sepatutnya diwariskan kepada anaknya sehingga dua pertiga daripada harta yang menjadi miliknya. Alasan Rasulullah SAW jelas supaya meninggalkan warisnya dalam keadaan kaya tanpa meminta-minta.

  • Saya teringat sebuah kisah dalam riwayat yang sahih. Ini mungkin menjadi pengajaran yang penting dalam mengurus harta sehingga membawa kebaikan di dunia dan akhirat. Daripada Abi Hurairah R.A, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda:

بَيْنَا رَجُلٌ بِفَلاَةٍ مِنَ الأَرْضِ فَسَمِعَ صَوْتًا فِى سَحَابَةٍ اسْقِ حَدِيقَةَ فُلاَنٍ. فَتَنَحَّى ذَلِكَ السَّحَابُ فَأَفْرَغَ مَاءَهُ فِى حَرَّةٍ فَإِذَا شَرْجَةٌ مِنْ تِلْكَ الشِّرَاجِ قَدِ اسْتَوْعَبَتْ ذَلِكَ الْمَاءَ كُلَّهُ فَتَتَبَّعَ الْمَاءَ فَإِذَا رَجُلٌ قَائِمٌ فِى حَدِيقَتِهِ يُحَوِّلُ الْمَاءَ بِمِسْحَاتِهِ فَقَالَ لَهُ يَا عَبْدَ اللَّهِ مَا اسْمُكَ قَالَ فُلاَنٌ. لِلاِسْمِ الَّذِى سَمِعَ فِى السَّحَابَةِ فَقَالَ لَهُ يَا عَبْدَ اللَّهِ لِمَ تَسْأَلُنِى عَنِ اسْمِى فَقَالَ إِنِّى سَمِعْتُ صَوْتًا فِى السَّحَابِ الَّذِى هَذَا مَاؤُهُ يَقُولُ اسْقِ حَدِيقَةَ فُلاَنٍ لاِسْمِكَ فَمَا تَصْنَعُ فِيهَا قَالَ أَمَّا إِذَا قُلْتَ هَذَا فَإِنِّى أَنْظُرُ إِلَى مَا يَخْرُجُ مِنْهَا فَأَتَصَدَّقُ بِثُلُثِهِ وَآكُلُ أَنَا وَعِيَالِى ثُلُثًا وَأَرُدُّ فِيهَا ثُلُثَهُ.

Maksudnya“Ketika seorang lelaki sedang berada di tanah lapang, tiba-tiba dia mendengar suara di awan: “Siramilah kebun si fulan.” Maka awan itu bergerak dan menurunkan airnya ke tanah berbatu hitam sehingga salah satu saluran di antara saluran yang ada penuh berisi air, maka ia menelusuri ke mana air mengalir, tiba-tiba ada seorang laki-laki yang berdiri di kebunnya yang memindahkan air dengan pencedoknya, lalu ia berkata, “Wahai hamba Allah, siapa namamu?” Ia menjawab, “Fulan.” Sepertimana nama yang didengarnya di awan.

Lalu orang itu kembali bertanya, “Wahai hamba Allah, mengapa engkau bertanya tentang namaku?” Dia menjawab, “Sesungguhnya aku mendengar suara di awan yang di sinilah airnya (dialirkan). Suara tersebut menyebut, “Siramilah kebun si fulan,” menyebut namamu. Apa yang engkau lakukan dengan kebunmu?” Dia menjawab, “Jika kamu bertanya begitu, maka sesungguhnya aku membahagikan hasil dari kebun ini, sepertiganya aku sedekahkan, sepertiga lagi aku makan bersama keluargaku, dan sepertiga lagi aku kembalikan ke kebun.”

Riwayat Muslim (7664)

Justeru kami katakan, hendaklah saudara mengimbangi kehidupan ini untuk kesejahteraan dan kebahagiaan saudara, bukan semata-mata di dunia, atau bukan semata-mata di akhirat, tetapi hendaklah pada kedua-duanya dalam keadaan mendapat kesenangan dan kebahagiaan. Marilah sama-sama kita memahami doa yang diajar oleh Allah SWT untuk kita meraih kebaikan dalam kehidupan kita:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami, kurniakanlah kepada kami di dunia dengan kebaikan dan di akhirat dengan kebaikan. Dan selamatkanlah kami dari azab Neraka.”