Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1108: ADAKAH WAJIB MEMBAYAR HUTANG NON-MUSLIM?

hutang non muslim.PNG

Soalan:

Adakah wajib membayar hutang orang non-Muslim?

 

Jawapan:

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Hutang merupakan satu bentuk perjanjian antara pemiutang dan penghutang, yang telah diperintahkan oleh Allah SWT agar dipatuhi dan dipenuhi. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَوْفُوا بِالْعُقُودِ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian.

Surah al-Ma’idah (1)

Sighah (lafaz) perintah dalam ayat ini agar memenuhi setiap perjanjian yang dibuat adalah berbentuk mutlaq dan umum, mencakupi perjanjian sesama Muslim atau dengan non-Muslim.

Mematuhi perjanjian juga merupakan antara sifat seorang mu’min yang sejati:

وَالَّذِينَ هُمْ لِأَمَانَاتِهِمْ وَعَهْدِهِمْ رَاعُونَ

Maksudnya: (Orang mu’min itu ialah) yang menunaikan amanah dan perjanjian mereka.

Surah al-Mu’minin (8)

Selain itu terdapat banyak hadith yang memberi ancaman terhadap sesiapa yang tidak membayar hutang, antaranya ialah:

يُغْفَرُ لِلشَّهِيدِ كُلُّ ذَنْبٍ إِلاَّ الدَّيْنَ

Maksudnya: Diampuni dosa bagi seorang syahid, kecuali dosa tidak membayar hutang.

Sahih Muslim (1886)

Terdapat juga riwayat yang menyebut bahawa Nabi Muhammad SAW sendiri pernah berjual beli secara hutang dengan seorang Yahudi. Saidatina ‘Aisyah R.Anha berkata:

اشْتَرَى رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم طَعَامًا مِنْ يَهُودِيٍّ بِنَسِيئَةٍ، وَرَهَنَهُ دِرْعًا لَهُ مِنْ حَدِيدٍ‏

Maksudnya: Rasulullah SAW pernah membeli bijiran barli dari seorang Yahudi secara bayaran tertangguh (salam / nasi’ah), dan Baginda mencagarkan perisai besi Baginda sebagai jaminan.

Sahih al-Bukhari (2251) dan Sahih Muslim (1603)

Begitu juga Baginda pernah berhutang dengan seorang Yahudi yang bernama Zaid bin Sa’nah, dan Baginda segera membayarnya apabila dituntut, meskipun waktu pembayarannya masih belum tiba:

أَنَّ زَيْدَ بْنَ سَعْنَةَ، كَانَ مِنْ أَحْبَارِ الْيَهُودِ أَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَتَقَاضَاهُ، فَجَبَذَ ثَوْبَهُ عَنْ مَنْكِبِهِ الْأَيْمَنِ، ثُمَّ قَالَ: إِنَّكُمْ يَا بَنِي عَبْدِ الْمُطَّلِبِ أَصْحَابُ مَطْلٍ، وَإِنِّي بِكُمْ لَعَارِفٌ، قَالَ: فَانْتَهَرَهُ عُمَرُ فَقَالَ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «يَا عُمَرُ أَنَا وَهُوَ كُنَّا إِلَى غَيْرِ هَذَا مِنْكَ أَحْوَجَ، أَنْ تَأْمُرَنِي بِحُسْنِ الْقَضَاءِ، وَتَأْمُرَهُ بِحُسْنِ التَّقَاضِي، انْطَلِقْ يَا عُمَرُ أَوْفِهِ حَقَّهُ، أَمَا إِنَّهُ قَدْ بَقِيَ مِنْ أَجَلِهِ ثَلَاثٌ فَزِدْهُ ثَلَاثِينَ صَاعًا لِتَزْوِيرِكَ عَلَيْهِ

Maksudnya: Sesungguhnya Zaid bin Sa’nah – seorang pendeta Yahudi- telah mendatangi Nabi Muhammad SAW dan menuntut pembayaran hutang dari Baginda dan menarik baju Baginda pada bahagian bahu kanan lalu berkata: “Sesungguhnya kalian Bani Muthalib merupakan golongan yang melengah-lengahkan pembayaran hutang, dan aku sangat arif akan hal ini”. Umar RA berasa marah kepadanya, lalu Rasulullah SAW bersabda kepada Umar: “Wahai Umar, antara aku dan dia ada urusan, janganlah engkau masuk campur. Sebaiknya kamu menasihati aku supaya membayar hutang dengan baik, dan menasihati dia supaya menuntut bayaran hutang dengan baik. Pergilah wahai Umar dan tunaikan haknya, walaupun sebenarnya masih berbaki tiga hari sebelum tiba tempoh untuk aku membayar hutang; dan tambahlah 30 saa’, kerana engkau telah menakutkannya.”

(Rujuk Al-Mustadrak ‘ala al-Sahihain oleh Al-Hakim al-Naisaburi, riwayat bernombor 2237 dan 6547. Menurut beliau, isnad riwayat ini adalah sahih, namun tidak diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim; juga diriwayatkan dalam Sahih Ibn Hibban, hadith bernombor 288)

Bahkan para ulama turut menjelaskan bahawa hutang dan perjanjian dengan golongan kafir harbi juga wajib ditunaikan. Imam al-Ramli menyebut keadaan jika seorang kafir menjadi tawanan perang dan diambil sebagai hamba, dan ada Muslim yang berhutang dengannya, Muslim itu tetap wajib membayar hutang tersebut. (Rujuk Fatawa al-Ramli 3/216)

Maka jika hak golongan kafir harbi dan tawanan perang kafir pun wajib dihormati dan dipenuhi, maka terlebih patut lagi kita menghormati dan memenuhi perjanjian dengan golongan non-Muslim yang bertaraf warganegara dan hidup dengan aman damai dalam kalangan kita.

Wallahu a’lam.