Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1172 : MANA YANG LEBIH UTAMA, TANGGUNGJAWAB KEPADA KELUARGA ATAU KELUAR BERDAKWAH BERSAMA JEMAAH TABLIGH?

kafi1172

 

SOALAN :

Assalamualaikum, saya ingin meminta penjelasan berkaitan keutamaan keluar berdakwah berbanding tanggungjawab kepada isteri dan anak-anak dari sudut zahir dan batin. Ini kerana ada dalam kalangan jemaah tabligh yang menyatakan bahawa keluar berdakwah lebih penting berbanding tanggungjawab kepada keluarga. Mohon penjelasan.

JAWAPAN :

Alhamdulillah segala puji bagi Allah Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW, dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kiamat.

Allah SWT memerintahkan umat Islam supaya menyebarkan hidayah Islam kepada seluruh pelusuk dunia. Firman Allah SWT:

وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ ۚ وَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

Maksudnya: Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.

(Surah Ali Imran: 104)

Selepas kewafatan Baginda SAW, para sahabat telah bertebaran di muka bumi bagi tujuan menyebarkan dakwah Islam kepada umat manusia. Ini supaya umat manusia dapat mengenali agama yang benar dan menyembah Tuhan yang sebenar iaitu Allah SWT.

Kita perhatikan betapa Allah SWT sangat menekankan tentang kepentingan dan tanggungjawab berdakwah ke atas umat Islam. Para ulama’ telah meletakkan hukum wajib bagi menyeru manusia kearah kebaikan seperti dalam firman Allah SWT:

كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللّهِ وَلَوْ آمَنَ أَهْلُ الْكِتَابِ لَكَانَ خَيْراً لَّهُم مِّنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ الْفَاسِقُونَ

Maksudnya: Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik.

(Surah Ali Imran: 110)

Usaha dakwah ini digerakkan oleh pelbagai jemaah dakwah di dunia antaranya termasuklah jemaah Tabligh. Jemaah Tabligh diasaskan oleh Maulana Muhammad Ilyas di India pada tahun 1927. Ia kemudiannya diteruskan oleh generasi keturunannya iaitu Muhammad Yusuf al-Kandahlawi, seterusnya In’amul Hassan al-Kandahlawi dan Mawlana Muhammad Zakariyya al-Kandahlawi, seorang ulama hadis yang terkenal. Ia sebuah jemaah yang menumpukan perhatian terhadap keimanan dan amal soleh tanpa mencampurkannya dengan politik, isu-isu kontroversi dan sebagainya.

Di samping berdakwah, Islam juga menuntut kita untuk mengimbangi di antara urusan keperluan dunia dan akhirat. Kita ditegah daripada melakukan sesuatu secara berlebih-lebihan atau mengabaikan sesuatu perkara secara total sepertimana hadis yang diriwayatkan daripada Salman, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ لِنَفْسِكَ عَلَيْكَ حَقًّا وَلِرَبِّكَ عَلَيْكَ حَقًّا وَلِضَيْفِكَ عَلَيْكَ حَقًّا وَإِنَّ لأَهْلِكَ عَلَيْكَ حَقًّا فَأَعْطِ كُلَّ ذِي حَقٍّ حَقَّهُ ‏

Maksudnya: Sesungguhnya tubuh badan kamu mempunyai hak ke atas kamu, Tuhan kamu juga mempunyai hak ke atas kamu, tetamu kamu juga mempunyai hak ke atas kamu dan isteri kamu juga mempunyai hak ke atas kamu. Oleh itu, berikanlah bagi setiap yang mempunyai hak ke atas diri kamu itu akan haknya.

(Riwayat al-Tarmizi, 36:111)

Kita harus menghindari sikap keterlaluan dalam beragama. Sebaliknya, kita hendaklah menimbang setiap sesuatu itu dengan pertimbangan yang betul dan saksama. Setiap kebaikan dilakukan pada kadar yang sesuai dengan awlawiyyatnya tanpa mengabaikan tanggungjawab lain yang lebih besar. Islam menganjurkan supaya kita bersikap sederhana dalam semua hal samada dalam urusan dunia mahupun akhirat. Firman Allah SWT:

وَابْتَغِ فِيمَا آتَاكَ اللَّهُ الدَّارَ الْآخِرَةَ ۖ وَلَا تَنسَ نَصِيبَكَ مِنَ الدُّنْيَا ۖ

Maksudnya: Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia.

(Surah al-Qasas: 77)

Ini juga termasuklah dalam urusan berdakwah kepada Allah SWT dan mencari nafkah buat keluarga. Kesibukan dan tumpuan kita kepada berdakwah kepada Allah SWT haruslah tidak menjejaskan kewajipan lain yang lebih besar seperti tanggungjawab kepada keluarga, dan begitu juga sebaliknya.

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan dan hujah di atas, kami berpendapat bahawa seseorang yang ingin keluar berdakwah seperti khuruj bersama jemaah Tabligh dalam tempoh yang lama hendaklah memastikan dirinya telah menunaikan hak bagi sesiapa yang mempunyai hak ke atasnya terlebih dahulu. Tanggungjawab untuk memberi nafkah dan menjaga kebajikan keluarga adalah lebih besar dan utama jika ingin dibandingkan dengan keperluan berdakwah seperti itu. Ini kerana dakwah boleh juga dilakukan dalam kawasan berdekatan dan tempoh masa yang singkat. Ini termasuklah berdakwah kepada ahli keluarga, kaum kerabat, jiran tetangga dan masyarakat setempat.

Namun, jika seseorang itu mempunyai kecukupan daripada sudut kewangan, keupayaan dan meninggalkan ahli keluarganya dalam keadaan yang baik, seperti ahli keluarga mengizinkan dan cukup nafkah yang ditinggalkan, maka perkara tersebut adalah tidak salah.

Amalan tafakkud iaitu mengenalpasti kesediaan ahli Tabligh sebelum khuruj yang dilakukan oleh jemaah Tabligh adalah sesuatu yang baik. Ini supaya sebelum seseorang itu keluar berdakwah, dia hendaklah dipastikan bahawa akan meninggalkan ahli keluarganya dalam keadaan yang baik dan selesa.

Oleh itu, seseorang yang ingin untuk keluar berdakwah dalam tempoh yang lama hendaklah memastikan bahawa dia memenuhi syarat yang ditetapkan. Selain itu, ahli keluarga juga hendaklah bersikap tolak-ansur dan faham atas kepentingan berdakwah dan kemuliaannya seperti dalam firman Allah SWT:

وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا مِمَّنْ دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ

Maksudnya: “Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: "Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)"

(Surah al-Fussilat: 33)

WaAllahu a’lam.