Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1240 : BOLEHKAH MENGHENTIKAN SOLAT BERJEMAAH DI SURAU-SURAU SUPAYA JEMAAH SOLAT DI MASJID?

kaFi1240

SOALAN :

Assalamualaikum Tuan Mufti. Di tempat saya ada sebuah masjid. Masyarakat di sekitar yang lebih hampir dengan masjid akan solat berjemaah di masjid. Di sekitar masjid itu juga terdapat beberapa buah surau yang jaraknya lebih kurang 1km. Semua surau ini berfungsi dengan baik dengan ada imam dan bilal yang bertugas serta jemaah seramai 15-20 orang.

Baru-baru ini ada cadangan supaya semua jemaah hendaklah melaksanakan solat berjemaah di masjid sahaja, maka tiada lagi solat berjemaah di surau-surau tadi. Soalannya, wajarkah surau-surau ini menghentikan solat berjemaah, kerana tanpa solat jemaah tentunya lama-kelamaan ia akan terbiar begitu sahaja. Mengikut pandangan Islam, mana yang lebih dituntut dan bermanfaat untuk masyarakat?

Terima kasih.

JAWAPAN :

Alhamdulillah segala puji bagi Allah Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW, dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke hari Kiamat.

Sesungguhnya masjid dan surau merupakan tempat yang perlu dimuliakan, dihormati dan dijaga sebaiknya oleh umat Islam. Allah SWT bersaksi bahawa orang yang memakmurkan rumah-rumah Allah SWT ini merupakan orang yang beriman kepada Allah SWT dan hari Akhirat serta mendapat petunjuk-Nya. Firman Allah SWT:

إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّـهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلَاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلَّا اللَّـهَ ۖ فَعَسَىٰ أُولَـٰئِكَ أَن يَكُونُوا مِنَ الْمُهْتَدِينَ

Maksudnya: Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.

(Surah al-Taubah: 18)

Begitu juga, Rasulullah SAW menyebutkan tentang kelebihan orang yang hatinya terikat ke masjid bahawa di akan berada di bawah naungan Allah SWT pada hari yang tiada naungan lain kecuali naunganNya.

وَ رَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ فِي المَسَاجِدِ

Maksudnya: Dan lelaki yang hatinya terpaut kepada masjid (untuk melaksanakan solat berjemaah).

Hadith riwayat Bukhari dan Muslim

Sebagai umat Islam, kita dituntut untuk memuliakan dan meninggikan syiar-syiar Islam kerana itu merupakan kesan daripada sifat-sifat taqwa dalam hati seseorang mukmin. Firman Allah SWT:

ذَٰلِكَ وَمَن يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللَّهِ فَإِنَّهَا مِن تَقْوَى الْقُلُوبِ

Maksudnya: Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa yang menghormati syiar-syiar agama Allah maka (dia lah orang yang bertaqwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat taqwa hati orang mukmin.

(Surah al-Taubah: 32)

Antara syiar-syiar Islam tersebut ialah masjid dan surau yang dibina di sesebuah kawasan. Bilangan masjid dan surau yang seiring dengan penambahan bilangan jemaahnya menunjukkan bahawa dakwah Islam berkembang subur di tempat tersebut. Justeru, bilangan masjid dan surau khususnya harus ditambah dan dikembangkan mengikut kepada keperluan dan garis panduan yang ditetapkan pihak berkuasa agama negeri bagi memperluaskan lagi syiar Islam.

Selain itu, fungsi antara masjid dan surau adalah berbeza. Masjid menyediakan ruang solat untuk jemaah yang lebih ramai dan kemudahan yang lebih banyak. Ini seperti yang dinyatakan oleh Sheikh Yusuf al-Qardhawi yang menyenaraikan fungsi masjid yang pelbagai, antaranya:

  • Tempat tinggal bagi penuntut-penuntut ilmu seperti ruwaq-ruwaq di Masjid al-Azhar al-Syarif.
  • Perpustakaan bagi penuntut ilmu yang menyimpan manuskrip-manuskrip lama dan tempat rujukan bagi karya-karya ulama’ seperti Maktabah Sulaimaniyyah di Istanbul, Turki yang terletak di dalam Masjid Sulaimaniyyah dan Maktabah al-Jami’ al-Azhar di Kaherah.
  • Tempat untuk beriadah yang mampu menarik minat para pemuda untuk datang ke masjid dengan mempunyai ruang yang lapang untuk bersukan.
  • Tempat untuk mengadakan majlis-majlis keramaian dan aktiviti kemasyarakatan serta yang seumpamanya. (Rujuk al-Qardawi.Net/Risalah_al-Masjid/30112015)

Manakala, surau pula hanya menumpukan kepada masyarakat yang berdekatan sahaja dan kemudahan yang terhad kepada menunaikan solat dan aktiviti kemasyarakatan yang kecil sahaja. Dengan itu, surau boleh dijadikan tempat untuk masyrakat berdekatan melaksanakan solat-solat fardu secara berjemaah yang tidak diganggu pelbagai program yang berlangsung.

Disamping itu juga, jika dilihat dari konteks perundangan Malaysia pula, semua masjid dan surau hendaklah berdaftar dengan pihak berkuasa agama di negeri masing-masing. Justeru itu, keperluan untuk mewujudkan, meneruskan operasi atau menutup mana-mana surau dan masjid adalah tertakluk kepada kuasa pemerintah. Semua perkara haruslah diambil kira dan dinilai terlebih dahulu oleh pihak berkuasa mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan.

Oleh itu, kami berpandangan bahawa sebarang cadangan untuk menghentikan operasi atau menutup surau perlu dirujuk kepada pihak berkuasa agama di negeri tersebut bagi mengelakkan apa-apa pertikaian yang akan timbul berikutan daripada perkara tersebut.

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpandangan bahawa dalam situasi ini, tidak wajar dan bukanlah satu keperluan untuk menghentikan solat berjemaah di surau-surau yang berdekatan masjid dengan tujuan supaya masyarakat kesemuanya berjemaah di masjid. Ini jika seperti apa yang digambarkan oleh saudara yang bertanya bahawa surau itu beroperasi seperti biasa dan dikunjungi jemaah seramai 15-20 orang. Ini kerana bilangan surau yang banyak menunjukkan perkembangan syiar Islam di sesuatu tempat dan kita dituntut untuk memperbanyakkannya. Selain itu, jika surau-surau tidak dijalankan solat berjemaah dibimbangi ia akan terbiar dan tidak terurus.

Namun jika ada keperluan atau arahan daripada pihak berkuasa (ulil amri) untuk berbuat demikian setelah melakukan pemerhatian dan penilaian, maka tidak salah dan hendaklah masyarakat patuh kepada arahan tersebut. Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman yang sahih terhadap agamaNya dan memberi taufiq untuk mengamalkan syariahnya dengan sebaik mungkin. Amin.

WaAllahu a’lam.