Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1335: HUKUM MENAMAKAN ANAK DENGAN NAMA MALAIKAT

nama anaak.JPG

Soalan:

Bolehkah kita menamakan anak-anak dengan nama para malaikat, contohnya Jibril, Mikail dan sebagainya?

 

Jawapan:

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke hari Kiamat.

Menurut Imam al-Nawawi, mazhab Syafi’e dan jumhur ulama mengharuskan memberi nama anak dengan nama-nama para anbiya’ dan malaikat, dan tiada larangan yang tsabit daripada Nabi SAW berkenaan perkara ini. (Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab 8/417) Imam al-Buhuti daripada mazhab Hanbali juga sependapat dengan mazhab Syafi’e yang menafikan kemakruhan menamakan anak dengan nama malaikat. (Rujuk Kasyaf al-Qina’ 3/27)

Namun terdapat juga para ulama yang memakruhkannya, antaranya ialah Imam Malik yang memakruhkan penggunaan nama Jibril. Imam Ibn al-Qayyim pula memakruhkan penggunaan semua nama malaikat, dengan berdalilkan hadith yang diriwayatkan oleh Abdullah ibn Jarrad R.A:

صحبني رجل من مزينة فَأتى النَّبِي صلى الله عَلَيْهِ وَسلم وَأَنا مَعَه فَقَالَ يَا رَسُول الله ولد لي مَوْلُود فَمَا خير الْأَسْمَاء قَالَ إِن خير الْأَسْمَاء لكم الْحَارِث وَهَمَّام وَنعم الِاسْم عبد الله وَعبد الرَّحْمَن وتسموا بأسماء الْأَنْبِيَاء وَلَا تسموا بأسماء الْمَلَائِكَة قَالَ وباسمك قَالَ وباسمي وَلَا تكنوا بكنيتي

Maksudnya: Seorang lelaki dari Mazinah bersamaku, dan Nabi SAW datang sedang aku bersama rakanku itu, lalu dia bertanya kepada Rasulullah SAW “apakah sebaik-baik nama?” Nabi SAW menjawab “sebaik-baik nama bagi kalian ialah al-Harith dan Hammam, dan dan seelok-elok nama ialah Abdullah dan Abdurrahman. Namakanlah anak-anak dengan nama para anbiyaa’, dan jangan namakan mereka dengan nama para malaikat. Kawanku bertanya lagi “bolehkah kami menggunakan nama kamu (wahai Rasulullah)? Nabi SAW menjawab “ya, kalian boleh menggunakan namaku, namun jangan kamu menggunakan kuniyah aku.”

Riwayat Imam al-Bukhari dalam al-Tarikh al-Kabir (5/35) dan Imam al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (8268). Menurut Imam al-Bukhari dan Imam al-Baihaqi, terdapat sedikit perbincangan pada isnadnya. Syeikh al-Albani mengkategorikannya sebagai hadith yang teramat lemah (dha’if jiddan). (Rujuk Tuhfah al-Maulud, hlm. 119-120)

Imam al-Munawi turut menggunakan hadith ini dalam menyokong pandangan yang memakruhkan penamaan anak dengan nama malaikat. (Rujuk Faidh al-Qadir Syarh al-Jami’ al-Saghir 4/113)

Menurut pandangan kami, mengambil kira larangan bersifat makruh oleh sebahagian ulama daripada menggunakan nama-nama khusus bagi malaikat seperti Jibril dan Mikail, maka kami juga berpandangan bahawa nama-nama tersebut adalah khusus bagi malaikat dan makruh untuk kita menggunakannya. Lebih-lebih lagi kita dapati tiada dalam kalangan para sahabat R.Anhum yang menggunakan nama tersebut.

Adapun bagi nama-nama seperti Malik, hukumnya adalah jelas akan keharusannya, dan kerana itu kita dapati sekian ramai para ulama yang menggunakan nama tersebut seperti Imam Malik bin Anas dan sebagainya.

 

Kesimpulan

Tuntasnya, menamakan anak dengan nama para malaikat hukumnya adalah harus, kecuali nama-nama yang sinonim dengan nama Malaikat, iaitu Jibril, Mikail, Izra’il dan Israfil.

Adapun nama-nama lain bagi malaikat yang turut biasa digunakan oleh orang ramai seperti Malik dan Ridhwan, maka tiada kemakruhan padanya.

Wallahu a’lam.