Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1501 : TIDAK PERASAN ADA TOMPOKAN DARAH SEMASA MENUNAIKAN SOLAT

 

AF1501.JPG

Soalan :

Assalamualaikum wbt. Saya nak bertanya.Ada satu hari saya pernah solat. Selesai sahaja saya solat, saya baru perasan pada baju saya ada tompok darah. Kemudian baru saya teringat yang sebelum tu saya ada tolong seseorang yang kemalangan. Macam mana dengan solat saya ustaz. Sah ke tidak?. Mohon pencerahan ustaz.

Jawapan :

Waalaikumussalam. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Syarat sah solat ada tujuh. Sah atau batalnya solat adalah bergantung kepada tujuh syarat tersebut. Jika kesemua syarat tersebut dipenuhi maka solat yang ditunaikan adalah sah. Jika sebaliknya, ia menyebabkan solat tidak sah atau kata lainnya batal.

Di antara syarat tersebut ialah memastikan badan, pakaian dan tempat solat bersih daripada najis. Jika ada najis pada mana-mana 3 bahagian yang disebutkan maka solat yang ditunaikan adalah tidak sah dan perlu diulangi semula. Kami pernah mengulas isu syarat sah solat ini di dalam mukadimah Al-Kafi Siri ke 1458.[1]

Najis ada dua jenis iaitu darah dan juga selain dari darah. Jika ianya selain dari darah dan boleh dilihat dengan mata kasar tanpa alat bantuan seperti najis anjing maka ianya adalah najis yang tidak dimaafkan. Ini kerana ianya mudah untuk dielakkan. Jika ianya benda yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar seperti habuk rokok. Maka ianya adalah najis yang dimaafkan kerana sukar untuk mengelak daripadanya.

Adapun darah, maka perlu dilihat dan dibezakan. Jika ianya darah nyamuk atau serangga maka ianya adalah najis yang dimaafkan sama ada banyak atau sedikit. Jika tidak ianya akan menyebabkan kesukaran dan menyebabkan orang ramai susah. Adapun darah haiwan seperti lembu, anjing dan lain-lain atau darah yang keluar dari tubuh manusia itu sendiri, jika sedikit maka ianya dimaafkan. Jika ianya banyak maka ia dikira sebagai najis yang tidak dimaafkan. (Rujuk Al-Mu’tamad Fi Al-Fiqh Al-Syafi’i, 1/200).

Kembali kepada persoalan yang dikemukakan, jika saudara perasan ada tompok darah sejurus selepas menunaikan solat ditambah pula ianya adalah najis yang tidak dimaafkan seperti darah, maka solat yang dilakukannya itu tidak sah dan perlu untuk diulangi semula. Ini kerana sudah menjadi satu kewajipan untuk memeriksa terlebih dahulu kebersihan pakaiannya sebelum menunaikan solat. Ianya juga merupakan syarat sah solat yang mana jika diabaikan boleh membawa kepada batalnya solat.

Imam Al-Ramli[2] menyebut jika seseorang itu solat dalam keadaan tubuh pakaian atau tempat solatnya bernajis dan tidak mengetahuinya ketika permulaan solat kemudian setelah selesai baru dia tahu yang pada pakaian, tdia tidubuh atau tempatnya itu ada najis, maka dia wajib mengganti mengulangi semula solatnya menurut Al-Qaul Al-Jadid. Ini kerana bersuci adalah perkara yang wajib ianya tidak gugur dengan memberi alasan tidak tahu. Beliau menyebut lagi sekiranya dia tahu ada najis pada pakainnya kemudian terlupa maka wajib baginya untuk mengulangi semula solatnya disebabkan dia telah cuai untuk bersuci. (Rujuk Nihayah Al-Muhtaj Ila Syarh Al-Minhaj, 5/24).

Al-Khatib Al-Syarbini menyatakan bahawa sekiranya dia tahu pada pakaiannya ada najis, kemudian dia terlupa. Kemudian dia teringat sama ada semasa solat atau selepas, maka batal lah solatnya dan perlu diulangi semula. (Rujuk Mughni Al-Muhtaj Fi Ma’rifati Ma’ani Alfaz Al-Minhaj, 1/194).

Adapun jika seseorang perasan ada najis pada pakaian dalam tempoh masa yang lama maka dia tidak perlu mengulangi solatnya. Ini berdasarkan kaedah :

الأصل في كل حادث تقديره بأقرب زمن

Maksudnya : “Asal bagi (menetapkan) setiap perkara adalah dengan ditakdirkan dengan waktu yang terdekat.”

Berdasarkan kaedah ini, ianya membawa maksud bahawa jika najis itu didapati dalam tempoh masa yang lama selepas menunaikan solat, maka dia tidak perlu mengulangi solatnya kerana ada kemungkinan najis yang ada pada pakaiannya itu melekat dalam tempoh masa selepas menunaikan solat.Akan tetapi, jika dalam tempoh masa yang lama dia yakin bahawa najis yang ada padanya itu adalah najis yang ada sebelum dari itu dan dibawa ke dalam solat, maka wajib untuk dia ulanginya. (Rujuk Al-Mu’tamad Fi Al-Fiqh Al-Syafi’i, 1/203)

Kesimpulannya, jika saudara perasan ada darah sejurus selepas menunaikan solat, maka solat yang dilakukan adalah tidak sah dan perlu diulangi semula. Namun jika baru perasan selepas tempoh masa yang lama maka tidak perlu mengulanginya.Sunat untuk ulang semula solatnya. Akan tetapi, jika telah berlalu tempoh masa yang lama dan saudara yakin bahawa najis yang ada pada baju itu ada sebelum saudara menunaikan solat lagi, maka wajib untuk mengulangi semula solat yang telah dilakukan.

Semoga Allah memberikan kefahaman kepada kita semua. Wallahu’alam.

[1] http://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3851-al-kafi-1458-terkena-percikan-air-diragui-kesuciannya

[2] Beliau ialah Imam Muhammad Bin Bin Syihabuddin Ahmad Bin Hamzah Al-Ramli. Beliau merupakan anak kepada ulama besar di dalam mazhab Al-Syafi’i iaitu Allamah Syihabuddin Ahmad Bin Ahmad Bin Hamzah Al-Ramli. Beliau digelar sebagai Al-Syafi’I Al-Saghir (Syafi’i kecil) kerana kepakarannya di dalam mazhab Imam Al-Syafi’i. Beliau wafat pada tahun 919 H. (Rujuk Al-Tabaqat Al-Sughra oleh Imam Al-Sya’rani, hlm 117-118)