Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1605 : HUKUM TAHNIK DENGAN SELAIN TAMAR

AK1605

 

Soalan :

Assalamu’alaikum tuan Mufti, saya ingin bertanya adakah boleh untuk mentahnik bayi dengan selain tamar ?

Jawapan :

Wa’alaikumussalam w.b.t Alhamdulillah segala puji dan syukur kami ucapkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami panjatkan kepada Rasulullah S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Tahnik bermaksud membelah mulut bayi yang baru dilahirkan dengan buah tamar (kurma) yang dikunyah dan digosokkan ke mulut bayi di bahagian lelangit mulut, dan sebahagiannya lagi masuk ke dalam perut bayi tersebut. Amalan mentahnikkan bayi merupakan suatu sunnah yang tsabit menerusi beberapa nas syarak. Antaranya adalah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ummu al-Mu’minin A’isyah R.Anha beliau berkata :

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم كَانَ يُؤْتَى بِالصِّبْيَانِ فَيُبَرِّكُ عَلَيْهِمْ وَيُحَنِّكُهُمْ

Maksudnya : Sesungguhnya Rasulullah S.A.W telah dibawa kepada baginda anak-anak kecil, kemudian baginda mendoakan keberkatan ke atas anak-anak tersebut dan mentahnik mereka.

Riwayat Muslim (2147)

Hadis di atas jelas menunjukkan anjuran untuk mentahnikkan bayi yang baru dilahirkan serta galakan membawa anak-anak kecil tersebut kepada orang-orang yang soleh untuk mentahnikkannya. Demikian juga disunatkan untuk orang-orang soleh tersebut mendoakan keberkatan kepada bayi-bayi yang dibawa kepadanya seperti dengan lafaz بَارَكَ اللَّهُ عَلَيْكَ (moga Allah memberkati ke atas anak ini) dan juga lafaz-lafaz yang seumpamanya.

Demikian juga anjuran bertahnik ini diambil berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A beliau berkata :

 ذَهَبْتُ بِعَبْدِ اللَّهِ بْنِ أَبِي طَلْحَةَ الأَنْصَارِيِّ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم حِينَ وُلِدَ وَرَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فِي عَبَاءَةٍ يَهْنَأُ بَعِيرًا لَهُ فَقَالَ هَلْ مَعَكَ تَمْرٌ فَقُلْتُ نَعَمْ‏ فَنَاوَلْتُهُ تَمَرَاتٍ فَأَلْقَاهُنَّ فِي فِيهِ فَلاَكَهُنَّ ثُمَّ فَغَرَ فَا الصَّبِيِّ فَمَجَّهُ فِي فِيهِ فَجَعَلَ الصَّبِيُّ يَتَلَمَّظُهُ

Maksudnya : Aku membawa Abdullah bin Abi Talhah Al-Ansari kepada Rasulullah S.A.W ketika dia baru dilahirkan dan Rasulullah S.A.W pada ketika itu memakai jubah berbulu sedang menguruskan seekor unta milik baginda. Lalu baginda S.A.W berkata : ‘’Adakah bersama dengan kamu tamar (kurma) ?’’. Aku menjawab : ‘’Ada’’. Lalu aku pun memberikan beberapa biji tamar kepada baginda, kemudian baginda memasukkan tamar itu ke dalam mulut dan melembutkannya dan baginda membuka mulut anak itu serta menyuapkan kurma tadi ke dalam mulut anak tersebut dan bayi itu pun menggerak-gerakkan lidah sambal menghisap manisnya.

Riwayat Muslim (2144)

Berdasarkan hadis di atas kita dapat memperoleh beberapa faedah yang kami ringkaskan seperti berikut :

  • Perbuatan mentahnik bayi yang baru dilahirkan adalah sunnah dan hukumnya adalah sunat.
  • Disunatkan untuk orang-orang yang soleh sama ada dari kalangan lelaki atau perempuan untuk mentahnik bayi yang baru dilahirkan.
  • Imam Al-Nawawi menyebut :

كَوْنُ التَّحْنِيكِ بِتَمْرٍ وَهُوَ مُسْتَحَبٌّ وَلَوْ حَنَّك بِغَيْرِهِ حَصَلَ التَّحْنِيكُ وَلَكِنَّ التَّمْرَ أَفْضَلُ

Maksudnya : Perbuatan tahnik dengan tamar (kurma) adalah mustahab (sunat). Sekiranya tahnik dilakukan dengan selain kurma maka tetap terhasil tahnik tersebut akan tetapi dengan kurma adalah lebih afdhal.

Rujuk Syarah Al-Nawawi ‘ala Muslim (14/124)

Penutup

Sebagai kesimpulan kami menyatakan bahawa asal bagi mentahnik bayi adalah dengan menggunakan kurma. Hukumnya adalah sunat dan ia lebih afdhal berbanding selainnya. Meskipun begitu, sekiranya seseorang mentahnik menggunakan selain dari kurma, khususnya ketika ketiadaan kurma dan ia bersifat manis maka hal ini adalah dibolehkan dan mencapai maksud dari amalan bertahnik tersebut.

Akhir kalam, kami berdoa kepada Allah S.W.T agar memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.