Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1678: HUKUM MENGABAIKAN TANAMAN SEHINGGA MATI DAN ROSAK

abai tanaman

Soalan:

Apakah hukumnya jika saya mengabaikan pokok-pokok bunga serta tanaman tanpa menyiram, membaja serta ‘potting’ sehingga layu dan mati? Adakah saya dikira berdosa, sama seperti yang disebut dalam hadith di mana seorang wanita dimasukkan ke dalam neraka kerana mengurung kucing dan tidak memberinya makan?

 

Jawapan:

Alhamdulillah segala puji bagi-Nya selawat dan salam ke atas junjungan Nabi SAW, keluarga dan sahabat serta yang mengikuti jejak langkah hingga ke hari kesudahan.

 

Galakan bercucuk tanam dalam al-Qur’an dan al-Sunnah

Firman Allah SWT dalam al-Qur’an al-Karim:

وَفِي الْأَرْضِ قِطَعٌ مُّتَجَاوِرَاتٌ وَجَنَّاتٌ مِّنْ أَعْنَابٍ وَزَرْعٌ وَنَخِيلٌ صِنْوَانٌ وَغَيْرُ صِنْوَانٍ يُسْقَىٰ بِمَاءٍ وَاحِدٍ وَنُفَضِّلُ بَعْضَهَا عَلَىٰ بَعْضٍ فِي الْأُكُلِ ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَعْقِلُونَ

Maksudnya: Dan di bumi ada beberapa potong tanah yang berdekatan (tetapi berlainan keadaannya); dan padanya ada kebun-kebun anggur, dan jenis-jenis tanaman serta pohon-pohon tamar (kurma) yang berumpun dan yang tidak berumpun; semuanya disiram dengan air yang sama; dan Kami lebihkan buah setengahnya dari setengahnya yang lain (pada bentuk, rasa, dan baunya) Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda kekuasaan Allah bagi orang-orang yang (mahu) berfikir serta memahaminya.

Surah al-Ra’d (4)

Selain itu, terdapat banyak hadith nabawi yang memberi penekanan dan galakan untuk bercucuk tanam. Anas bin Malik R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَغْرِسُ غَرْسًا أَوْ يَزْرَعُ زَرْعًا فَيَأْكُلُ مِنْهُ طَيْرٌ أَوْ إِنْسَانٌ أَوْ بَهِيمَةٌ إِلاَّ كَانَ لَهُ بِهِ صَدَقَةٌ

Maksudnya: Tiada seorang Muslim yang menanam pokok atau menghidupkan tanah dengan tanaman, lalu burung, manusia atau binatang makan daripada hasil tanamannya, melainkan ia dikira sebagai sedeqah.

Sahih al-Bukhari (2320) dan Sahih Muslim (1553)

Menurut Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani, pahala sedeqah ini berterusan selagi mana tanaman itu masih hidup, sekalipun penanam atau pemilik tanaman telah mati, atau tanaman itu bertukar pemiliknya. (Rujuk Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari 5/4)

Anas bin Malik R.A juga meriwayatkan bahawa  Baginda SAW bersabda:

إِنْ قَامَتِ السَّاعَةُ وَفِي يَدِ أَحَدِكُمْ فَسِيلَةٌ، فَإِنِ اسْتَطَاعَ أَنْ لاَ تَقُومَ حَتَّى يَغْرِسَهَا فَلْيَغْرِسْهَا

Maksudnya: Apabila hampir tibanya hari kiamat, sedang pada tangan kalian ada keratan pokok, maka jika dia mampu hendaklah dia menanamnya sebelum kiamat terjadi.

Riwayat Imam al-Bukhari dalam Al-Adab al-Mufrad (4)

Jabir bin Abdillah R.’Anhuma pula meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

                       مَنْ كَانَتْ لَهُ أَرْضٌ فَلْيَزْرَعْهَا فَإِنْ لَمْ يَزْرَعْهَا فَلْيُزْرِعْهَا أَخَاهُ     

Maksudnya: Barangsiapa yang memiliki tanah, hendaklah dia bercucuk-tanam padanya ataupun diserahkan tanah itu kepada saudaranya (untuk bercucuk-tanam).

Sahih Muslim (1536)

Hukum mengabaikan tanaman sehingga mati dan rosak

Menurut Imam al-Nawawi,  hukumnya ialah makruh jika seseorang itu tidak menyiram tanam-tanaman dan pokok-pokok sedangkan dia mampu berbuat demikian, kerana ia termasuk dibawah bab mensia-siakan harta (idha’ah al-mal). (Rujuk Raudhah al-Tolibin wa ‘Umdah al-Muftin 9/121)

Imam Ibn Hajar al-Haitami pula menambah bahawa jika tidak menyiram dan menjaga tanaman disebabkan kesibukan, maka hukumnya tidak makruh. Beliau juga menyatakan bahawa meskipun ia disifatkan sebagai mensia-siakan harta, ia tidak dihukum sebagai haram. Hal ini kerana idha’ah al-mal yang diharamkan adalah seperti mencampakkan wang ke dalam laut, di mana ia merupakan satu bentuk penyia-nyiaan harta secara terus dan langsung. (Rujuk Tuhfah al-Muhtaj 8/373-374)

Namun demikian, meskipun para ulama tidak mengharamkan pengabaian terhadap tanam-tanaman, ia sebenarnya bercanggah dengan saranan agama agar berlaku ihsan dan berbuat baik terhadap semua makhluk dan dalam setiap perkara. Syaddad bin Aus R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ الإِحْسَانَ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ

Maksudnya: Sesungguhnya Allah SWT telah menetapkan prinsip ihsan ke atas setiap perkara.

Sahih Muslim (1955)

Sikap ihsan ini merangkumi penjagaan dan pemeliharaan terhadap tanam-tanaman, sama ada pohon-pohon untuk makanan atau pokok-pokok untuk hiasan. Kesemuanya merupakan hidupan di bumi Allah SWT, dan manusia telah ditaklifkan sebagai khalifah untuk memakmurkan seluruh pelusuk bumi ini. Firman-Nya dalam al-Qu’ran:

هُوَ أَنشَأَكُم مِّنَ الْأَرْضِ وَاسْتَعْمَرَكُمْ فِيهَا

Maksudnya: Dialah (Allah SWT) yang telah menjadikan kamu daripada bahan-bahan dari bumi, dan Menghendaki kamu untuk memakmurkannya…

Surah Hud (61)

Selain itu, penetapan hukum makruh ini juga merupakan satu bentuk sikap wara’ para ulama yang tidak bermudah-mudahan dalam menghukum sesuatu sebagai haram. Ini kerana jika dihukum sebagai haram, maka ia akan memberikan kesukaran kepada ramai orang yang menceburi bidang penanaman ini, sedangkan salah satu prinsip tertinggi syari’at Islam ialah taysir wa raf’u al-haraj, iaitu kecenderungan untuk mempermudahkan serta mengangkat kesusahan daripada umat manusia.

 

Kesimpulan

Tuntasnya, kami nyatakan bahawa hukum asal sengaja mengabaikan tanaman sehingga mati dan rosak ialah makruh sepertimana yang dinyatakan oleh para ulama.

Namun ini tidak bermaksud kita boleh memandang ringan dan mengambil enteng soal memelihara pohon-pohon dan tanaman di bawah jagaan kita. Hal ini kerana ia merupakan satu bentuk mensia-siakan harta yang dilarang oleh Syarak, serta tidak menepati saranan agama agar berbuat baik dan berlaku ihsan dalam setiap perkara. Selain itu, ia bercanggah pula dengan nas-nas hadith yang secara jelas menyeru ke arah bercucuk tanam serta memelihara tanaman.

Wallahu a’lam.