Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1705 : BOLEHKAH MENYIFATKAN COVID - 19 SEBAGAI SATU AZAB DARIPADA ALLAH S.W.T ?

AK1705

Soalan :

Assalamu’alaikum ustaz, bolehkah kita menyifatkan Covid- 19 ini sebagai satu azab daripada Allah S.W.T ? Ini kerana ada sebahagian orang berpendapat tidak boleh menyebut azab namun perlu disebut sebagai ujian atau musibah sahaja. Mohon penjelasan.

Jawapan :

Wa’alaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikut jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Berkenaan isu ini, perkara pertama yang perlu kita jelas adalah definisi azab itu terlebih dahulu. Menurut Al-Mu’jam al-Wasith, kalimah azab membawa erti : Hukuman dan seksaan atau setiap perkara yang menimbulkan kepayahan pada diri seseorang.

Justeru, berdasarkan definisi di atas kita mengetahui bahawa sesuatu yang memenatkan, menyakitkan, memedihkan, atau menimbulkan kepayahan kepada seseorang itu disebut sebagai azab. Kerana itu terdapat sebuah hadis daripada Abu Hurairah R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

السَّفَرُ قِطْعَةٌ مِنَ الْعَذَابِ، يَمْنَعُ أَحَدَكُمْ نَوْمَهُ وَطَعَامَهُ

Maksudnya : Permusafiran itu adalah satu juzuk daripada azab. Ia menghalang salah seorang kamu dari tidur dan juga makan.

Riwayat Al-Bukhari (5429)

Melihat kepada hadis di atas, Rasulullah S.A.W sendiri menyifatkan permusafiran itu sebagai suatu bentuk azab. Ini kerana, permusafiran kebiasaannya akan menyebabkan seseorang itu keletihan, sehingga sampai kepada tahap tidak cukup rehat, tidur, bahkan kadangkala membawa kepada terputusnya bekalan makanan oleh kerana jauhnya perjalanan.

Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan di atas, berikut kami kongsikan satu firman Allah S.W.T yang menyebut :

وَلَنُذِيقَنَّهُم مِّنَ الْعَذَابِ الْأَدْنَىٰ دُونَ الْعَذَابِ الْأَكْبَرِ لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ

Maksudnya : Dan nescaya kami akan merasakan buat kamu dari azab dunia sebelum azab akhirat mudah-mudahan kamu kembali.

Surah Al-Sajdah (21)

Imam Al-Thabari dalam tafsiran beliau ke atas ayat الْعَذَابِ الْأَدْنَىٰ menukilkan kata-kata Ibn Abbas R.Anhuma yang menyebut :

مَصَائِبُ الدُّنْيَا وَأَسْقَامُهَا وَبَلَاؤُهَا مِمَّا يَبْتَلِي اللَّهُ بِهَا الْعِبَادَ حَتَّى يَتُوبُوا

Maksudnya : Kesemua musibah dunia, penyakit-penyakitnya, serta bala-bala yang Allah menguji para hamba dengannya sehinggalah mereka bertaubat.

Rujuk Tafsir Al-Thabari, Ibn Jarir (18/627)

Maka jelas dari kenyataan di atas, Abdullah Ibn Abbas turut memasukkan penyakit-penyakit di dunia sebagai sebahagian dari azab dunia. Ini kerana, kesan daripada penyakit akan menyebabkan seseorang itu berada dalam keadaan tidak selesa, meletihkan, serta pelbagai kesukaran yang lain, maka ini adalah ciri-ciri yang terdapat pada azab. Ini juga bertepatan dengan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh A’isyah R.Anha beliau berkata : Aku bertanya kepada Rasulullah S.A.W tentang taun. Lalu baginda memberitahu kepadaku :

أَنَّهُ عَذَابٌ يَبْعَثُهُ اللَّهُ عَلَى مَنْ يَشَاءُ، وَأَنَّ اللَّهَ جَعَلَهُ رَحْمَةً لِلْمُؤْمِنِينَ

Maksudnya : Sesungguhnya ia merupakan azab yang Allah utuskan kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki dan sesungguhnya Allah menjadikan ia sebagai suatu rahmat bagi orang yang beriman.

Riwayat Al-Bukhari (3474)

Justeru, jelas bahawa azab di sini merujuk kepada sesuatu yang memedihkan lagi memeritkan yang meliputi sesiapa sahaja yang Allah kehendaki sama ada dia seorang yang soleh atau tidak. Dalam masa yang sama, ujian yang datang kepada orang beriman dalam bentuk yang memeritkan ini merupakan rahmat buatnya bagi mengangkat darjatnya di sisi Allah S.W.T.

Penutup

Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa tidak terdapat sebarang masalah untuk mengatakan bahawa Covid- 19 ini sebagai suatu azab. Ini kerana penyakit ini boleh menyebabkan seseorang itu sukar untuk bernafas, demam panas, serta beberapa kesulitan yang lain. Meskipun begitu, dalam kes ini kita tidak boleh untuk mengatakan bahawa mereka yang diuji dengan penyakit Covid- 19 itu diazab oleh Allah S.W.T disebabkan dosa dan maksiat mereka. Ini kerana, ia suatu perkara ghaib yang di luar batasan pengetahuan manusia. Bahkan yang setepatnya, azab di situ merujuk kepada sesuatu yang menimbulkan kesukaran dan menyakitkan seperti yang telah kami nyatakan dalam definisinya di atas.

Akhir kalam, kami berdoa kepada Allah S.W.T agar memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.