Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1768: HUKUM MENGAJAR NON-MUSLIM AYAT AL-QURAN UNTUK SEMBUH DARI PENYAKIT

Non Muslim Al Quran

Soalan

Assalamualaikum wbt tuan/puan. Bagaimana atau hukum kalau saya menyuruh non-muslim amalkan zikir sepotong ayat dari quran untuk tujuan sembuh dari penyakitnya. Adakah non-muslim itu perlu mengucap shahadah dahulu dan beriman? Minta panduan.

 

Ringkasan Jawapan

Al-quran secara umumnya diturunkan sebagai panduan untuk keseluruhan umat manusia, baik untuk orang Islam dan juga untuk orang yang bukan Islam. Diharuskan kepada yang bukan Islam untuk belajar, membaca, dan menghayati isi Al-Quran, apatah lagi jika sekadar untuk mengamalkan atau membaca beberapa ayat daripada Al-Quran sebagai pengharapan untuk sembuh dari penyakit. Tidak perlu wajib ke atasnya untuk mengucap syahadah dahulu sebelum membaca atau menghayati ayat Al-Quran.

 

Huraian Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat. Firman Allah SWT:

وَإِنۡ أَحَدٞ مِّنَ ٱلۡمُشۡرِكِينَ ٱسۡتَجَارَكَ فَأَجِرۡهُ حَتَّىٰ يَسۡمَعَ كَلَٰمَ ٱللَّهِ ثُمَّ أَبۡلِغۡهُ مَأۡمَنَهُۥۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمۡ قَوۡمٞ لَّا يَعۡلَمُونَ

Maksudnya: “Dan jika seseorang dari kaum musyrik meminta perlindungan kepadamu (untuk memahami Islam), maka berilah perlindungan kepadanya sehingga ia sempat mendengar keterangan-keterangan Allah (tentang hakikat Islam itu), kemudian hantarlah dia ke mana-mana tempat yang ia beroleh aman. Perintah yang tersebut ialah kerana mereka itu kaum yang tidak mengetahui (hakikat Islam)”

(Surah At-Taubah: 6)

Menurut Imam Al-Qurtubi dalam tafsirnya, jika seorang Musyrik datang ke tempat kaum Muslimin secara aman, contohnya seperti mahu berjual beli dan berdagang, maka tiada masalah untuk diberi perlindungan. Dan jika dia mahu mendengar atau belajar Al-Quran, maka hendak lah dibacakan kepadanya Al-Quran.

[Lihat Jami’ Ahkam Al-Quran: 3/49]

 

Prof. Dr. Wahbah az-Zuhaili pula mengatakan dalam tafsirnya, ayat ini bukan sahaja mengatakan tentang seorang Musyrik yang meminta perlindungan untuk mendengarkan Al-Quran, tetapi juga terpakai untuk seseorang yang ingin mendengarkan hujah-hujah serta ilmu pengetahuan bahawa Islam adalah agama yang benar atau ingin mengetahui jawapan-jawapan terhadap pelbagai kerancuan terhadap Islam yang didengarnya.

(Lihat Tafsir Al-Munir: 5/391).

 

Imam Nawawi mengatakan dalam kitabnya berkenaan hukum seorang kafir atau musyrik mendengarkan bacaan Al-Quran dan mempelajarinya walaupun bukan seorang Islam:

قال أصحابنا: لا يمنع الكافر سماع القرآن، ويمنع مس المصحف، وهل يجوز تعليمه القرآن؟ ينظر: إن لم يرج إسلامه لم يجز، وإن رجي جاز في أصح الوجهين، وبه قطع القاضي حسين، ورجحه البغوي وغيره،

“Para Ashab (Fuqaha’ Shafie) kami berkata: orang kafir tidak sepatutnya dihalang daripada mendengar Al-Quran, tetapi dilarang daripada menyentuh mushaf. Adakah diizinkan untuk diajarkan kepadanya Al-Quran? Bergantung kepada keadaan, jika tiada diharapkan untuk dia menjadi seorang Muslim, maka tidak dibenarkan, tetapi jika ada harapan untuk dia menjadi seorang Muslim, maka ia dibenarkan mengikut pandangan yang paling sahih; ini adalah pandangan Al-Qadhi Husain, dan diiktiraf oleh Al-Baghawi dan yang lain”

[Lihat Al-Majmu’: 2/85]

Di dalam kes non-Muslim menggunakan ayat Al-Quran untuk menyembuhkan penyakit, kita sedia maklum bahawa non-Muslim dibenarkan untuk belajar, membaca, dan menghayati Al-Quran secara umum. Maka untuk perkara yang lebih kecil seperti menggunakan beberapa potong ayat Al-Quran untuk merawat penyakit, adalah dibenarkan dan tiada larangan.

 

Kesimpulan

Tuntasnya, tiada larangan khusus berkenaan non-Muslim mengamalkan ayat Al-Quran untuk merawat penyakit. Mereka juga tidak perlu mengucapkan syahadah untuk belajar Al-Quran, tetapi amat dialu-alukan untuk mereka belajar dan menghayati Al-Quran secara ikhlas. Antara sebab mengapa ramai Ulama’ membenarkan non-Muslim membaca dan mempelajari Al-Quran adalah untuk membuka jalan kepada ramai lagi orang untuk memeluk Islam, sekaligus menepati konsep bahawa Islam itu adalah rahmat untuk sekalian alam. Wallahua’lam

 

Bibiliografi

Salim Mustafa Badri. 2000. Tafsir Jami’ Ahkam Al-Quran li Imam Al-Qurtubi. Terbitan Dar Al-Kutub Al-Ilmiyah: Beirut

Wahbah Az-Zuhaili. 2018. Tafsir Al-Munir: Aqidah, Syariah & Manhaj. Terbitan Gema Insani: Jakarta

Muhammad Najib Al-Muti’ie. 1980. Kitab Al-Majmu’ Syarhul Mazhab li As-Syairazi li Imam Nawawi. Terbitan Maktabah Al-Irsyad: Jeddah