Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1773 : MANAKAH YANG AFDHAL, MENJAGA WUDUK ATAU MENGAMBIL WUDUK BAHARU UNTUK SOLAT SETERUSNYA?

ak1773

SOALAN

Assalamualaikum. Saya ingin bertanya yang manakah lebih baik sama ada saya menjaga wuduk sehingga ke solat fardhu seterusnya, contohnya wuduk Zohor dijaga sehingga solat Asar atau afdhal saya mengambil wuduk yang baharu untuk solat berikutnya?

Mohon penjelasan. Terima kasih.

RINGKASAN JAWAPAN

Kesimpulannya, menjaga wuduk dan sentiasa dalam keadaan berwuduk ialah satu perbuatan yang terpuji kerana kita dapat bersedia dan lebih mudah untuk menunaikan ibadah sama ada ibadah fardhu atau sunat. Jika kita menjaga wuduk sehingga ke solat fardhu seterusnya, memadai untuk kita menggunakan wuduk yang sama untuk solat tersebut. Walau bagaimanapun, disunatkan untuk kita memperbaharui wuduk walaupun kita masih lagi dalam keadaan berwuduk kerana ia merupakan sunnah dan kebiasaan yang diamalkan Rasulullah SAW.

Oleh itu, mengambil wuduk baharu bagi solat fardhu adalah lebih afdhal dan lebih baik kerana perbuatan tersebut termasuk dalam kelebihan orang yang banyak berwuduk di dalam hadith. Selain itu, kaedah fiqh menyebutkan bahawa sesiapa yang lebih banyak perbuatan ibadahnya, maka lebih kelebihan dan pahalanya.

WaAllahu a’lam.

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Perbuatan memperbaharui wuduk pada setiap kali solat ialah satu perbuatan sunat yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW dan dila. Di dalam satu hadith yang diriwayatkan daripada Saidina Anas Bin Malik, beliau berkata:

كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ  يَتَوَضَّأُ عِنْدَ كُلِّ صَلَاةٍ، قلت: كيف كنتم تصنعون؟ قال: يجزئ أحدنا الوضوء ما لم يحدث

Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah SAW berwuduk pada setiap kali solat. Aku bertanya: Bagaimanakah kalian (para sahabat) lakukan? Beliau (Anas RA) menjawab:  Pada kami cukup hanya satu wuduk sahaja jika tidak berhadas.

Riwayat al-Bukhari (214) dan al-Baihaqi (761)

Para ulama’ mazhab al-Syafie berbeza pandangan tentang syarat-syarat bagi seseorang untuk disunatkan memperbaharui wuduk. Berkaitan ini Imam al-Nawawi berkata:

قَالَ أَصْحَابُنَا وَيُسْتَحَبُّ تَجْدِيدُ الْوُضُوءِ وَهُوَ أَنْ يَكُونَ عَلَى طَهَارَةٍ ثُمَّ يَتَطَهَّرَ ثَانِيًا مِنْ غَيْرِ حَدَثٍ وَفِي شَرْطِ اسْتِحْبَابِ التَّجْدِيدِ أَوْجُهٌ أَحَدُهَا أَنَّهُ يُسْتَحَبُّ لِمَنْ صَلَّى بِهِ صَلَاةً سَوَاءٌ كَانَتْ فَرِيضَةً أَوْ نَافِلَةً وَالثَّانِي لَا يُسْتَحَبُّ إِلَّا لِمَنْ صَلَّى فَرِيضَةً وَالثَّالِثُ يُسْتَحَبُّ لِمَنْ فَعَلَ بِهِ مَا لَا يَجُوزُ إِلَّا بِطَهَارَةٍ كَمَسِّ الْمُصْحَفِ وَسُجُودِ التِّلَاوَةِ وَالرَّابِعُ يُسْتَحَبُّ وَإِنْ لَمْ يَفْعَلْ بِهِ شَيْئًا أَصْلًا بِشَرْطِ أَنْ يَتَخَلَّلَ بَيْنَ التَّجْدِيدِ وَالْوُضُوءِ زَمَنٌ يَقَعُ بِمِثْلِهِ تَفْرِيقٌ

Maksudnya:  Para ulama’ mazhab kami (al-Syafie) berpandangan disunatkan untuk memperbaharui (tajdid) wuduk iaitu seseorang yang sudah berada dalam keadaan suci (daripada hadas) kemudian dia berwuduk buat kali kedua tanpa sebab hadas. Terdapat beberapa pandangan tentang syarat-syarat memperbaharui wuduk: Pertama, disunatkan (tajdid wuduk)  bagi sesiapa yang telah mendirikan satu solat sama ada solat yang fardhu atau sunat. Kedua, tidak disunatkan kecuali bagi sesiapa yang mendirikan solat fardhu sahaja. Ketiga, disunatkan bagi sesiapa yang ingin melakukan sesuatu perbuatan yang tidak sah kecuali dengan bersuci seperti memegang mushaf al-Quran dan sujud tilawah. Keempat,  disunat walaupun tidak melakukan apa-apa (ibadah yang memerlukan wuduk) dengan syarat hendaklah disenggangkan waktu antara berwuduk dan perbuatan memperbaharui wuduk itu dengan satu kadar waktu yang sama dengan perbuatan mengambil wuduk sebagai satu pemisah. [1] (Rujuk al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 3:177)

Manakala di dalam kitab al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, beliau menyebut pandangan yang sahih di dalam mazhab al-Syafie dengan berkata:

اتَّفَقَ أَصْحَابُنَا عَلَى اسْتِحْبَابِ تَجْدِيدِ الْوُضُوءِ وَهُوَ أَنْ يَكُونَ عَلَى وُضُوءٍ ثُمَّ يَتَوَضَّأُ مِنْ غَيْرِ أَنْ يُحْدِثَ وَمَتَى يُسْتَحَبُّ: فِيهِ خَمْسَةُ أَوْجُهٍ أَصَحُّهَا إنْ صَلَّى بالوضوء الاول فرضا أو نفلا استحب والا فلا وَبِهِ قَطَعَ الْبَغَوِيّ

Maksudnya: Para ulama mazhab kami (al-Syafie) bersepakat tentang sunat untuk memperbaharui wuduk iaitu seseorang yang sudah berwuduk kemudian dia berwuduk sekali lagi tanpa disebabkan oleh hadas. Bilakah ia disunat? Terdapat lima pandangan. Pandangan yang paling sahih ialah jika sekiranya dia solat dengan wuduk yang pertama sama ada solat fardhu atau sunat, maka disunatkan (memperbaharui wuduk). Jika tidak (solat fardhu atau sunat), maka tidak disunatkan.[2] (Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 1:469)

Berdasarkan nas di atas, memperbaharui wuduk bukanlah satu perkara yang wajib, bahkan sunat sahaja. Oleh itu, memadai dengan menggunakan wuduk yang sama untuk solat yang berikut dan begitulah seterusnya selagimana wuduk tersebut tidak batal. Kita dituntut untuk menjaga wuduk supaya dapat bersedia dan lebih mudah untuk melaksanakan ibadah sama ada ibadah fardhu atau sunat.

Namun begitu, jika kita masih dalam keadaan berwuduk pada solat yang seterusnya, kita disunatkan untuk memperbaharui wuduk bagi solat tersebut. Walau bagaimanapun, perbuatan memperbaharui yang disunatkan pada perkara yang tidak membawa kepada memberat-beratkan seperti berwuduk setiap kali solat fardhu dan solat sunat yang hampir waktunya.

Sesungguhnya perbuatan sentiasa memperbaharui wuduk ini merupakan sunnah Rasulullah SAW. Baginda SAW berwuduk setiap kali solat walaupun Baginda SAW berada dalam berwuduk dan suci dari hadas sebelumnya. Baginda SAW juga banyak menyebutkan tentang kelebihan-kelebihan orang yang sentiasa berwuduk, antaranya ialah sabda Baginda SAW:

إِذَا تَوَضَّأَ الْعَبْدُ الْمُسْلِمُ أَوْ الْمُؤْمِنُ فَغَسَلَ وَجْهَهُ خَرَجَ مِنْ وَجْهِهِ كُلُّ خَطِيئَةٍ نَظَرَ إِلَيْهَا بِعَيْنَيْهِ مَعَ الْمَاءِ أَوْ مَعَ آخِرِ قَطْرِ الْمَاءِ فَإِذَا غَسَلَ يَدَيْهِ خَرَجَ مِنْ يَدَيْهِ كُلُّ خَطِيئَةٍ كَانَ بَطَشَتْهَا يَدَاهُ مَعَ الْمَاءِ أَوْ مَعَ آخِرِ قَطْرِ الْمَاءِ فَإِذَا غَسَلَ رِجْلَيْهِ خَرَجَتْ كُلُّ خَطِيئَةٍ مَشَتْهَا رِجْلَاهُ مَعَ الْمَاءِ أَوْ مَعَ آخِرِ قَطْرِ الْمَاءِ حَتَّى يَخْرُجَ نَقِيًّا مِنْ الذُّنُوبِ

Maksudnya: Apabila seseorang muslim atau mukmin mengambil wuduk, lalu dia membasuh wajahnya, maka keluarlah daripada wajahnya segala dosa yang telah dilihat oleh kedua matanya melalui air atau bersama titisan air yang terakhir. Ketika dia membasuh kedua-dua tangannya, maka keluarlah daripada kedua-dua tangannya setiap dosa yang telah dilakukan oleh tangannya itu bersama air atau bersama titisan air yang terakhir. Ketika dia membasuh kedua-dua belah kakinya, maka keluarlah daripada kedua-dua kakinya itu setiap dosa yang dilangkah oleh kedua kakinya bersama air atau bersama air terakhir, sehinggalah dia selesai berwuduk dalam keadaan bersih daripada dosa-dosa.

Riwayat Muslim: 360

Berdasarkan perbincangan dan perbahasan di atas, kesimpulannya perbuatan mengambil wuduk yang baharu adalah lebih afdhal dan lebih baik kerana seseorang akan melakukan perbuatan mengambil wuduk dengan lebih banyak. Hal ini kerana sesiapa yang lebih banyak perbuatan ibadahnya, maka lebihnya kelebihan dan pahalanya berdasarkan kepada kaedah fiqh menyebutkan:

مَا كَانَ أَكْثَرَ فِعْلًا أَكْثَرَ فَضْلًا

Maksudnya: Sesuatu yang lebih banyak perbuatannya, maka lebih banyak kelebihannya.

WaAllahu a’lam.

 RUJUKAN

[1] Al-Nawawi, Yahya Ibn Syaraf, al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, Dar al-Ihya’ al-Turath, Beirut, jld. 3, hlmn. 177.

[2] Al-Nawawi, Yahya Ibn Syarah, al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, Dar al-Fikr, jld. 1, hlmn. 469